Pulihkan Pendengaran

Kira-kira 30 peratus daripada penduduk Malaysia yang berusia lebih 60 tahun mengalami masalah hilang pendengaran.

Data yang dikumpulkan Pusat Perubatan Sunway ini juga mendapati punca utama kehilangan pendengaran kerana kemerosotan semula jadi fungsi telinga dalam, juga dikenali sebagai presbikusis.

Satu lagi kumpulan lebih kecil, tetapi sangat penting yang mengalami kehilangan pendengaran adalah golongan yang pekak sejak lahir dengan dua hingga tiga daripada setiap 1,000 kanak-kanak didapati pekak sepenuhnya semasa lahir.

Kehilangan keupayaan mendengar akibat kebisingan juga satu lagi punca kehilangan pendengaran yang dialami sebilangan individu di semua peringkat usia.

Masalah ini disebabkan pendedahan berulang dan berpanjangan kepada tahap kebisingan tinggi sama ada menerusi hobi atau persekitaran kerja.

Punca yang lebih jarang dialami, tetapi amat membahayakan adalah kehilangan upaya mendengar tiba-tiba akibat jangkitan seperti meningitis dan pelbagai jangkitan sistemik lain.

Punca kehilangan pendengaran lain termasuk pengumpulan tahi telinga, objek di dalam telinga, kecederaan telinga atau kepala, jangkitan telinga, gegendang telinga yang pecah dan keadaan lain yang menjejaskan telinga tengah atau telinga dalam seperti otosklerosis dan penyakit Meniere.

Menurut Pakar Runding dan Bedah Otolaringologi, Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Sunway, Dr Koay Cheng Boon, ramai orang menyedari pendengaran mereka kian merosot, tetapi keberatan untuk mendapatkan bantuan.

“Mungkin mereka tidak mahu mengakui masalah, malu dengan apa yang mereka anggap sebagai kelemahan atau mereka mungkin percaya boleh meneruskan hidup tanpa alat bantuan mendengar.

“Malangnya, mereka menunggu terlalu lama, ada sehingga puluhan tahun untuk menangani kesan kehilangan pendengaran. Pelbagai kajian yang dijalankan jelas menunjukkan kesan ketara kehilangan pendengaran terhadap perkembangan, selain kesan sosial, psikologi, kognitif dan kesihatan yang negatif jika kehilangan pendengaran tidak dirawat.

“Setiap satu mempunyai kesan yang luas yang bukan saja terhad kepada pendengaran.

“Malah, mereka yang mengalami masalah mendengar mungkin dengan cara yang tidak tepat dan tidak lengkap sehingga menjejaskan kehidupan peribadi dan profesional mereka,” kata Dr Koay.

Pilihan rawatan bagi masalah pendengaran bergantung kepada jenis dan tahap kehilangan upaya mendengar. Bagi kehilangan upaya mendengar ringan hingga sederhana, alat bantuan mendengar menyediakan penyelesaian yang mudah.

Pakar Runding dan Bedah Otolaringologi, Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Sunway Dr Shailendra Sivalingam pula berkata, alat bantuan mendengar boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ia dilengkapi dengan fungsi khas dan boleh diatur cara yang direka untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup individu.

“Untuk jenis kehilangan upaya mendengar konduktif tertentu seperti efusi telinga tengah, penembusan membran timpanum dan otosklerosis, pembedahan telinga tengah biasa boleh memulihkan pendengaran.

“Sejak akhir-akhir ini, kemajuan teknologi menyediakan pilihan lanjutan seperti alat bantuan mendengar yang dipaut pada tulang, alat bantuan mendengar implan penuh seperti ‘vibrant soundbridge’ dan ‘bone bridge’ juga implan koklea dan implan tangkai otak auditori.

“Bagi mereka yang pekak sepenuhnya yang tidak dapat menggunakan alat bantuan mendengar, implan koklea (CI) lazimnya pilihan terbaik dan satu-satunya jalan penyelesaian.

“Implan koklea atau digelar telinga bionik’ memberi harapan kepada ramai yang hilang pendengaran untuk mengembalikan keupayaan mendengar.

“Ia juga membolehkan kanak-kanak yang pekak sejak lahir mempelajari kemahiran bertutur dan berbahasa.

“Implan koklea sejenis alat kecil yang diletakkan pada telinga dalam menerusi pembedahan. Ia berfungsi dengan menghantar impuls atau denyutan terus kepada saraf auditori iaitu saraf mendengar pada telinga dalam yang membawa isyarat ke otak yang seterusnya diterjemahkan kepada bunyi yang boleh dikenal pasti,” katanya.

Dr Koay menambah, walaupun ia bukan alat ajaib yang memberikan pemulihan penuh, implan koklea boleh membantu sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa, malah mereka yang dilahirkan pekak atau yang mengalami kehilangan pendengaran selepas itu.

“Tiada satu rawatan atau prosedur yang boleh menyelesaikan masalah setiap kanak-kanak atau pesakit sepenuhnya.

“Rawatan kehilangan pendengaran membabitkan pendekatan pelbagai bidang, yang memerlukan peralatan terkini dan kepakaran perubatan serta rancangan rawatan yang membabitkan pemantauan rapi, susulan, penjagaan dan sokongan selepas pembedahan.

“Dalam kebanyakan kes, kehilangan pendengaran tidak boleh pulih sepenuhnya kepada paras audiometrik normal, tetapi boleh dipulihkan kepada pendengaran fungsi penuh yang membawa manfaat besar untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan pesakit,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

782 views