Pupuk Semangat Setia Kawan

LELAKI berusia lewat 50-an itu ralit berbual dengan anak gadisnya sambil matanya sesekali memerhatikan sekumpulan lelaki dan wanita mengecat kain rentang konsert sepanjang 50 meter berhampiran pintu masuk dewan.

Di satu sudut pula, beberapa wanita sabar menantikan pesanan mereka di gerai makanan sambil masing-masing menunjukkan barangan yang dibeli dari dalam dewan.

Kawasan pentas tidak ketinggalan menjadi tumpuan dengan persembahan serta pertandingan tarian yang mengundang sorakan gemuruh hadirin.

Sekeliling dewan juga dipenuhi gerai jualan produk kecantikan, barangan memorabilia, pakaian dan tawaran percubaan menyertai kelas bahasa.

Sekali imbas, ia suasana biasa di karnival hujung minggu dengan kehadiran masyarakat tempatan tanpa mengira bangsa dan usia.

Namun, Festival Hallyu 2012 yang berlangsung di Universiti Taylor’s, Ahad lalu bukan pesta biasa kerana ia menghimpunkan lebih 300 peminat K-Pop yang majoritinya hadir dari sekitar Lembah Klang.

Meskipun objektif utama penganjurannya adalah untuk mendedahkan pelajar universiti terbabit serta masyarakat terhadap Hallyu (Gelombang Korea) di negara ini, ia sebenarnya bagaikan platform mega untuk ahli kelab peminat artis K-Pop beramah mesra dan saling berkongsi cerita.

Kelab K-Generation, yang bertindak sebagai penganjur festival, menyifatkan acara seperti ini bukan saja memberi ruang peminat K-Pop berkongsi minat sesama sendiri, tapi membantu pengelola ahli kelab peminat mengembangkan rangkaian, memupuk semangat setia kawan dan mempertingkatkan skil pengurusan acara.

“Festival ini berusaha menggabungkan semua kelab peminat artis K-Pop dalam satu acara bagi mewujudkan kesedaran serta ruang untuk peminat Malaysia yang ingin tahu lebih lanjut mengenai artis kegemaran mereka.

“Mereka bukan saja dapat berkenalan dengan ahli baru dan bersua muka selepas selama ini hanya berbual menerusi laman sosial seperti facebook dan twitter, tapi Festival Hallyu ini boleh dijadikan tempat perbincangan dan pengurusan aktiviti sesama ahli kelab.

“Namun, tidak lengkap apabila mengadakan aktiviti kelab peminat tanpa mengaitkannya dengan budaya masyarakat Korea. Justeru, kami sediakan bermacam aktiviti berkaitan seperti teknik pemakaian Hanbok (pakaian tradisional Korea), cabaran permainan tradisi, pencarian bintang tarian K-Pop serta pertandingan kuiz agar pengunjung mendapat lebih banyak manfaat daripadanya.

“Beberapa gerai jualan barangan artis K-Pop juga disediakan, lalu memudahkan peminat mendapatkannya tanpa perlu memesan secara dalam talian,” jelas Presiden Kelab K-Generation, Migo Ho, merangkap salah seorang pengelola untuk kelab peminat Big Bang dikenali Big Bang 1st.

Salah seorang pengelola MY-VIP, juga kelab peminat untuk Big Bang, Zaty Aziz berkata, penganjuran festival seperti ini sememangnya satu usaha menarik bagi mengeratkan persahabatan sesama ahli.

“Kita biasa dengar mengenai ahli kelab peminat di negara lain bergaduh sesama sendiri, tapi di Malaysia, semuanya saling menyokong, malah membantu apabila diperlukan.

“MY-VIP misalnya, diwujudkan bukan untuk menandingi kelab peminat lain, tapi sebagai alternatif untuk komuniti khususnya bagi peminat Melayu.

“Jadi dengan adanya kelab seperti ini, peminat K-Pop dapat berinteraksi sesama sendiri tanpa kekangan, sekali gus meneruskan aktiviti yang dijalankan oleh kelab lain,” katanya.

Sentimen sama disuarakan Lulu Low yang mengasaskan kelab peminat 2NE1 Malaysia 2009. Biarpun kini kelab peminat itu diuruskan pengelola lain, Lulu menyifatkan ia platform terbaik untuk mendidik pengelola cara mengendalikan satu-satu organisasi.

“Semuanya secara sukarela. Masing-masing melakukannya secara sambilan kerana terikat dengan komitmen kerja dan pelajaran. Jadi secara langsung ia mengajar kami bagaimana untuk menguruskan masa dengan baik agar dapat mengendalikan kelab secara lebih teratur,” ujarnya.

Bagi Bernice Hing dan Mah Zoeyi, masalah dana dan masa sering menyebabkan kelab peminat kelolaan mereka jarang melakukan aktiviti secara besar-besaran.

Pengelola kelab peminat MYUKISS dan MYNAME itu cuma menganjurkan pertemuan kecil bersama ahli kelab biarpun ahlinya kini mencecah lebih 9,500 orang.

“Biasanya kami cuma bantu anjurkan sesi bertemu peminat ketika UKISS datang ke Malaysia dan selebihnya hanya pertemuan ringkas sesama ahli kerana masalah masa, tempat dan faktor kewangan.

“Dengan adanya festival seperti ini, lebih ramai ahli peminat berpeluang bertemu dan mendapatkan barangan memorabilia idola mereka kerana semuanya di bawah satu bumbung.

“Cara ini bukan bukan saja memudahkan pengelola ahli kelab peminat lain untuk merancang aktiviti, malah menyemarakkan lagi jalinan persahabatan kami dengan ahli lain,” jelas Bernice.

Kepentingan dan kesefahaman di kalangan setiap ahli kelab sememangnya menjadi intipati dalam festival ini.

Menurut Audrey Liew, salah seorang pengelola kelab YG-HYPE yang menyokong kelab peminat artis naungan label YG Entertainment seperti Big Bang, 2NE1, SE7EN, Psy dan Tablo, kewujudan kelab peminat lebih daripada sekadar membantu ahli mendapatkan maklumat atau barangan memorabilia idola mereka.

“Kelab peminat adalah satu unit atau komuniti untuk peminat bergabung melakukan aktiviti bersama-sama, seiring dengan apa yang dilakukan artis idola mereka.

“Pembabitan dalam kelab peminat ini juga sepatutnya dilihat daripada sudut positif. Ia boleh mengelakkan aktiviti kurang sihat di kalangan golongan muda kerana tumpuan mereka akan lebih terarah kepada aktiviti kelab.

“Hubungan sesama ahli kelab juga tidak terhad pada perkara berkaitan hiburan tapi kebanyakannya menjalin persahabatan erat di luar kelab serta saling berkongsi susah senang dalam kehidupan harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

565 views