Pusat Kajian Termoden Avon

JEMPUTAN untuk ke Shanghai, China disambut dengan rasa teruja biarpun tidak pasti apa yang menanti terutama apabila mendapat tahu salah satu tujuan ke sana untuk melawat pusat penyelidikan dan pembangunan produk Avon.

Rupa-rupanya destinasi yang ingin dibawa itu bukan calang-calang kerana ia adalah kemudahan saintifik kedua terbesar bagi syarikat kosmetik dan jualan langsung antarabangsa berkenaan.

Dengan teknologi hijau, bangunan seluas enam tingkat dengan keluasan 3,716 meter persegi menempatkan penyelidik yang bertanggungjawab dalam pembangunan produk, ujian keselamatan dan kualiti, mikrobiologi, kejuruteraan kimia serta penyelidikan pelanggan.

Semua enam tingkat itu menempatkan beberapa bahagian makmal uji kaji terhadap produk penjagaan kulit, rambut, kosmetik serta produk pewangi mereka sebelum hasil terakhir diproses dan dikeluarkan.

Tidak pernah pula terlintas dalam fikiran untuk mengetahui bagaimana proses sesuatu produk kecantikan dihasilkan, namun peluang diberikan Avon untuk meninjau makmal mereka amat dihargai.

Menurut Naib Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Saintifik Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Global Avon, Dr Xiaochun Luo, pusat yang terletak di Jinqiao Hi-Tech Park itu membolehkan mereka membangunkan produk bagi pasaran wanita Asia termasuk rangkaian Anew serta kosmetik Avon.

“Ia juga menjadi kemudahan penting bagi kami untuk memperkukuhkan inovasi produk di China dan rantau ini,” katanya.

Selepas mengenakan kot putih khas, lawatan yang turut disertai delegasi Avon Filipina serta Taiwan bersama wakil media masing-masing dibawa ke tingkat satu untuk melihat bagaimana penyelidik membuat ujian terakhir terhadap salah satu krim penjagaan kulit.

Kunjungan itu turut disertai Duta Anew Malaysia dan Filipina, Soo Wincci dan Lucy Torres-Gomez.

Penyelidik yang bekerja tidak ramai kerana hanya terdapat sekitar dua hingga tiga orang pada satu masa, namun tugas yang dilakukan amat teliti.

Mereka juga bertanggungjawab memastikan produk yang bakal dikeluarkan itu tidak mengakibatkan sebarang komplikasi atau alahan terhadap pengguna.

Apa kaedah yang digunakan? Penyelidik berkenaan sambil bersahaja memberitahu mereka sebenarnya mencuba bahan penyelidikan berkenaan ke atas diri sendiri tanpa rasa bimbang.

Berisiko atau tidak namun hakikatnya itulah yang dilakukan penyelidik terbabit bagi memastikan keluaran produk Avon mencapai standard mereka.

Lebih menarik apabila dibawa melawat ke makmal di tingkat tiga bagi meninjau penyelidik melakukan ujian terhadap pemilihan warna sesuai untuk digunakan dalam produk kosmetik.

Malah, lampu khas turut dipasang di makmal berkenaan bagi membolehkan warna berkenaan dilihat dengan jelas seperti di bawah cahaya matahari.

Selain dedikasi tenaga penyelidik, pusat yang belum cukup setahun beroperasi itu sudah berjaya mendapat pengiktirafan tinggi apabila dianugerahkan sijil LEED Platinum terhadap rekaan bangunan berkenaan.

Pengiktirafan itu diberi berdasarkan rekaan bangunan serta beberapa ciri yang mementingkan tenaga hijau termasuk penggunaan air serta elektrik secara cekap, kitar semula bahan buangan manakala 87 peratus daripada peralatan pejabat yang digunakan diberi taraf Energy Star.

Pusat penyelidikan itu berhubung secara terus dengan pusat penyelidikan antarabangsa Avon di New York. Pembukaannya sebagai memperluaskan operasi penyelidikan dan pembangunan produk terutama di Asia.

Selain Shanghai, Avon mempunyai kemudahan sama di Guangzhou yang akan meneruskan tumpuan terhadap pembangunan produk makanan tambahan.

Revolusi rangkaian Anew

Mengimbas kejayaan revolusi rangkaian Anew, Avon muncul dengan produk menggunakan teknologi asid alpha hydroxy (AHA) pada 1992.

Teknologi yang digunakan terhadap Anew kemudian berkembang kepada formulasi menggalakkan penghasilan sel kulit serta alternatif rawatan dermatologi di rumah.

Dr Luo yang juga mengetuai inovasi dan pembangunan teknologi produk mengakui rangkaian Anew adalah kejayaan Avon sejak 20 tahun lalu.

Katanya, jenama berkenaan mencetuskan fenomena baru dalam penggunaan AHA untuk pasaran umum terutama dalam industri kecantikan.

“Rangkaian produk ini sudah terlalu lama dalam pasaran dan teknologi yang digunakan semakin berkembang sejak diperkenalkan pada 1992.

“AHA yang semakin dikenali dalam penggunaan pelbagai jenis produk penjagaan kulit sekarang diperkenalkan menerusi produk Anew kira-kira 20 tahun lalu.

“Terbukti teknologi yang kita gunakan menjadi pencetus terhadap industri pasaran produk berkenaan pada hari ini,” katanya.

Usaha Avon tidak terhenti di situ apabila kajian selama 10 tahun mereka membawa kepada penemuan baru hingga terhasilnya Anew Genics.

Menurutnya, kumpulan antarabangsa Avon terdiri daripada pengkaji dan pencipta produk melabur masa sehingga 10 tahun untuk mencari formula terbaik itu bagi melawan penuaan.

“Kajian di Itali membuktikan ada orang mampu hidup lebih lama dan lebih sihat melalui gen muda aktif.

“Kami cukup bangga memperkenalkan Anew Genics,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,557 views