Pusat Sehenti Fesyen Muslimah

Pertemuan dengan beberapa kenalan baru ketika menghadiri satu acara melahirkan usahawan baru peringkat antarabangsa, menjadi permulaan kepada wanita kecil molek ini dalam perniagaan pakaian Muslimah atas talian.

Menariknya, perniagaan pakaian Muslimah atas talian yang memaparkan pereka tempatan itu diusahakan bersama beberapa rakan kongsi berasal dari beberapa negara luar selain kakitangannya terdiri dari rakyat Denmark, Perancis, Iran, Kanada dan Sepanyol.

Pengasas bersama Hijab2go, Ozlin Mohd Zin, 34, berkata hasil pertemuan dengan beberapa peserta di acara berkenaan membuatkan mereka sepakat membina perniagaan berkenaan biarpun ada yang melihat kerjasama itu agak unik.

Ini kerana laman kedai maya itu memfokus pada jualan pakaian Muslimah antaranya tudung, selendang, jaket dan jubah, selain memaparkan aksesori termasuk beg tangan mengikut cita rasa wanita Islam masa kini.

Katanya yang pernah bekerja makan gaji, dia sudah lama berminat untuk terbabit dalam perniagaan seumpama itu kerana minatnya yang mendalam pada fesyen dan tidak sangka akhirnya hasrat itu berjaya dicapai.

“Biarpun kami dari berlainan negara, berbeza bangsa dan agama, namun visi kami adalah sama iaitu untuk berjaya dalam perniagaan fesyen. Kami memilih pakaian Muslimah kerana pasarannya yang begitu luas untuk diterokai apalagi ketika ini ia sedang popular di mana-mana saja.

“Lagipun warna, corak dan fesyennya semakin menarik dan wanita Islam semakin pandai bergaya. Berikutan lambakan fesyen Muslimah ketika ini, saya dan rakan kongsi merasakan penyediaan satu platform untuk memudahkan wanita Islam membeli-belah menerusi Internet adalah penting.

“Kami baru bermula kira-kira lima bulan lalu dan sedang mengumpul sebanyak mungkin pereka tempatan untuk memasarkan produk mereka di laman Hijab2go,” katanya.

Selain fesyen, Ozlin berkata, pihaknya juga sedang merangka strategi terbaru untuk memasarkan produk kosmetik dan penjagaan kulit halal, seterusnya menjadi pusat sehenti fesyen dan produk kecantikan bagi wanita Islam.

Pada masa sama, dia turut memberi penekanan kepada jualan barangan seni dan buku berkaitan Islam dan sedang mengembangkan lagi kategori produk supaya laman berkenaan dapat menawarkan pelbagai barangan Muslimah, tidak terhad hanya kepada fesyen.

Katanya, dia mahu menawan pasaran tempatan sebelum ia dikembangkan lebih luas ke negara lain seperti Indonesia, Brunei dan Timur Tengah. Sehingga kini, kira-kira 30 pereka pakaian Muslimah sudah memasarkan produk mereka di laman berkenaan dan jumlahnya semakin bertambah.

“Malah, kita ada menerima permintaan pengusaha pakaian Muslimah dari Indonesia yang mahu menyertai laman ini. Peranan laman ini adalah membantu memasarkan, mempromosi dan menguruskan penghantaran produk kepada pelanggan,” katanya.

Dalam usaha mencari dan menggalakkan ramai usahawan wanita tempatan menyertai laman berkenaan, Ozlin berkata, dia dan rakan sanggup turun padang, mencari dan bertemu sendiri pereka dan pengusaha pakaian Muslimah untuk memberi penerangan mengenai laman itu dan mengajak mereka menyertainya.

Biarpun ada tidak memahami konsep dibawanya, rata-rata tertarik dan gembira untuk menyertainya melihat keuntungan yang boleh dijana daripada pasaran yang lebih luas.

“Ramai gembira dan mahu menyertai kami kerana promosi yang dijalankan selain sasaran pasaran lebih meluas. Sekiranya mereka mahu menjual sendiri, mereka mungkin tidak ada masa untuk memikirkan soal pemasaran kerana banyak masa dihabiskan dengan membuat rekaan pakaian.

“Ramai juga yang kurang arif dalam pemasaran dan lebih suka menghasilkan produk. Oleh itu kami menawarkan perkhidmatan yang membantu membawa jenama mereka pergi lebih jauh hingga ke peringkat antarabangsa. Ia adalah kerjasama yang menguntungkan semua pihak,” katanya.

Selain pengusaha pakaian Muslimah yang beroperasi dari kedai, pihaknya turut memasarkan produk peniaga Muslimah yang hanya beroperasi dari rumah. Ia secara tidak langsung membuka peluang kepada suri rumah untuk menjana pendapatan lebih besar kerana pasaran pakaian Muslimah sedang berkembang dengan pantas.

Menurut Ozlin, pakaian Muslimah kini sedang hangat dan menawarkan pulangan yang lumayan bukan saja di dalam negara, malah di seluruh dunia. Ini kerana fesyen yang menutup aurat semakin diminati dan mudah diterima semua orang, tidak terhad kepada orang Islam saja.

Selain itu, laman berkenaan memudahkan wanita membeli-belah kerana mereka tidak perlu terbang ke Dubai semata-mata untuk melihat dan mendapatkan fesyen pakaian Muslimah terbaru, sebaliknya hanya memesan menerusi Internet saja.

“Setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan biarpun kita baru beroperasi dan sedang merangka pelan untuk mengembangkan perniagaan. Kami mahu melakukan semuanya dengan pantas dan membangunkan syarikat ini menerusi kerjasama rakan kongsi dari beberapa negara luar.

“Produk Muslimah semakin diterima kerana ia juga cantik dan semakin bergaya. Jika di sesetengah negara wanita hanya memakai tudung hitam, tetapi apabila melihat apa yang ditawarkan dari negara lain dengan fabrik penuh warna-warni, ia membuka mata mereka betapa cantiknya fesyen Muslimah, seterusnya berminat mendapatkannya,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

787 views