Pusat Sehenti ‘raja Sehari’

Semuanya bermula apabila satu demi satu sahabat baik ini melangkah ke alam rumah tangga bersama pasangan tercinta masing-masing, hingga hati mereka terdetik memulakan majalah portal sendiri, Songket Affairs, sebagai pusat sehenti pertama di negara ini untuk pencarian barangan keperluan perkahwinan, dek kesukaran serta masa yang banyak dihabiskan mereka sebelum ini demi mengatur majlis yang meriah.

Bermula secara suka-suka dan ingin mencuba, laman www.songketaffairs.com berkembang pantas apabila mendapat banyak maklum balas positif daripada bakal pengantin hingga ada yang memberi idea untuk memperkembangkan lagi produk yang boleh ditawarkan melalui ruangan maya itu.

Operasi laman yang dimulakan Irda Nurhidayah Mohd Salleh, 29, dan kakaknya, Irda Suriana Mohd Salleh, 32, Intan Juliana Zulkifli, 32 dan Liza Adrina Osman, 28, menjadi lebih lancar dan semakin maju memandangkan keempat-empat mereka ‘sekepala’ kerana mempunyai hubungan yang erat sejak zaman universiti dan berkongsi minat yang sama dalam bidang perniagaan.

Biarpun masing-masing sibuk dengan keluarga selain Intan Juliana menetap di Bandung, Indonesia kerana mengikut suami yang bertugas di sana, ia tidak sekali-kali merenggangkan hubungan mereka atau membuatkan perniagaan yang diuruskan bersama tergendala, sebaliknya rakan baik itu sering berkomunikasi menggunakan semua teknologi sosial terbaru yang tersedia ketika ini.

Menurut Irda Suriana, biarpun bertugas sebagai akauntan, tetapi minat yang mendalam pada pengurusan perkahwinan membuatkan dia dan adiknya, memulakan laman berkenaan dengan kerjasama dua rakan baik mereka.

Katanya, masing-masing mempunyai bidang tugasan yang sudah ditetapkan dalam usaha mempromosi, mencari pelanggan serta bertemu dengan vendor bagi menjalinkan kerjasama.

“Apa yang menarik mengenai kami adalah selain laman ini bertindak sebagai pusat sehenti bagi mencari barangan dan persediaan majlis perkahwinan, kami juga mempunyai kerjasama dengan pereka yang mempunyai kredibiliti tinggi dalam menghasilkan produk istimewa untuk pelanggan kami.

“Malah harga pakej yang ditawarkan oleh vendor melalui laman kami jauh lebih murah berbanding sekiranya pelanggan pergi terus kepada mereka. Itulah keistimewaan perkhidmatan kami,” katanya.

Pada pertemuan itu, suasana agak meriah kerana keempat-empat mereka jarang dapat duduk bersama disebabkan masing-masing sibuk, manakala Liza Adrina pula baru habis berpantang selepas melahirkan anak pertamanya.

Irda berkata, dia banyak melakukan kajian ketika hendak melangsungkan perkahwinannya pada 2010 kerana agak sukar membuat persediaan majlis perkahwinan sekiranya terpaksa mencari sendiri setiap satu maklumat, daripada rekaan baju, kek, kasut hinggalah kepada majlis perkahwinan.

Katanya, banyak maklumat yang dikumpulnya sepanjang bertunang sehinggalah selepas sudah melangsungkan perkahwinan dan daripada semua maklumat yang dikumpul itu, dia mula menulis di blog mengenainya sebelum memulakan laman web yang lebih khusus memudahkan pasangan untuk mendirikan rumah tangga.

“Laman kami memberi maklumat mengenai persiapan perkahwinan dari A hingga Z. Malah kami turut memberikan dan berkongsi tip secara percuma kepada bakal pengantin.

“Pelbagai pakej ditawarkan di ruangan ini termasuk pakaian pengantin, katering dan sebagainya melalui kerjasama istimewa dengan vendor yang terbabit. Malah pakej berbulan madu juga disediakan dan pasangan boleh berjimat kerana kami sudah melakukan perbincangan dengan vendor yang menawarkan harga istimewa khas buat pelanggan kami,” katanya.

Disebabkan oleh keunikan Songket Affairs, ia mendapat perhatian dan kunjungan ramai bakal pengantin yang tidak mahu pening kepala memikirkan persiapan perkahwinan yang sememangnya memakan banyak masa, tenaga dan wang.

Bagi menjaga kualiti produk supaya ia sentiasa eksklusif, setiap pakej yang ditawarkan mempunyai tempoh masa terhad di mana pakej baru dan terkini akan dipaparkan setiap beberapa minggu.

Biarpun mendapat kerjasama eksklusif termasuk bersama pereka ternama dengan reputasi tinggi serta selebriti termasuk Serina Redzuawan, Emelda Rosmila dan Natasha Hudson untuk menghasilkan produk premium, harga yang ditawarkan adalah berpatutan kerana keempat-empat sahabat ini bersepakat mahu menawarkan pakej yang mampu dinikmati semua golongan.

“Lagipun dengan adanya laman ini, ia menawarkan harga berpatutan yang boleh dinilai sendiri oleh bakal pengantin selain mereka tidak berasa tertipu. Kami juga sangat selektif memilih vendor dan hanya memilih yang terbaik. Setakat ini kami sudah ada 25 vendor yang menyediakan pakej eksklusif.

“Apa yang kami mahu sebenarnya adalah menyediakan seberapa banyak maklumat yang boleh untuk memudahkan urusan perkahwinan dengan menawarkan produk berkualiti. Ini kerana kami sudah melalui fasa itu dan tahu betapa sukarnya membuat persediaan sekiranya tidak ada semua maklumat ini,” katanya.

Sambutan menggalakkan daripada bakal pengantin membuatkan mereka memasang impian melangkah lebih maju dalam bidang perniagaan itu dan merancang melebarkan sayap hingga ke negara jiran seperti Indonesia, apalagi salah seorang daripada mereka sudah lama menetap di negara itu serta mula mahir dengan selok-belok perniagaan di sana.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

465 views