Rahsia Bibir Besar, Mungil

KUASA solekan dapat mengubah wajah seseorang daripada pucat dan tidak sekata kepada penampilan bertenaga serta meyakinkan.

Malah jika bijak menggunakan kemahiran dan gabungan warna mengikut jenis kulit yang betul, wajah juga bertukar menjadi lebih sempurna.

Menurut jurusolek artis, Stevensunny, solekan harus dimulakan pada bahagian wajah menggunakan bedak asas bagi meratakan ton kulit di kawasan itu.

“Pada bahagian muka dan leher, bedak asas jenis berbuih sesuai digunakan untuk memastikan cela pada wajah dapat ditutup manakala bedak asas batang lebih cantik disapu sebagai penyamar cela di bahagian bawah mata, mulut serta hidung.

“Selepas itu, gunakan bedak kompak menggunakan berus sesuai agar ia rata di keseluruhan kawasan muka dan leher,” jelasnya.

Bagi menambah kecantikan, solekan di bahagian mata penting untuk memastikan komunikasi yang baik melalui pandangan. Solekan pada mata boleh digabung dengan penggaris mata pensel dan gel bagi memastikan ia kekal lebih lama serta kalis air.

Jika inginkan mata kelihatan tajam dan menampilkan kesan tiga dimensi (3D), gunakan penggaris mata berwarna putih. Caranya, hanya calit sedikit di bahagian garisan bawah mata selepas sapuan penggaris mata berwarna hitam selesai dilakukan.

Jelasnya, bagi memastikan solekan pada garisan mata tahan lebih lama atau diperkemas semula, calit sedikit pembayang mata warna sama dengan celak menggunakan putik kapas.

Selain itu, untuk mata tampak lebih tajam dan menimbulkan kesan 3D di kawasan itu, berikan tumpuan pada hujung mata dengan sapuan ke atas menggunakan pembayang mata berwarna putih.

Tidak hanya memberi tumpuan pada mata, solekan bibir juga harus diambil perhatian untuk mereka yang gemarkan wajah tampil semula jadi.

“Solekan pada bibir memainkan peranan penting bagi menyerlahkan penampilan.
Jika dulu, ramai yang gemar menggunakan pengilat bibir terlebih dulu dan selepas itu mengenakan gincu.

“Namun, cara terbaru adalah dengan mencalit gincu terlebih dulu, kemudian barulah gunakan pengilat bibir bagi menimbulkan kesan lebih menarik.

“Bagi mereka yang inginkan bibir tampak besar dan mungil, setelah mengenakan gincu, sapu pengilat bibir di bahagian garisan saja bukan keseluruhan bibir untuk memberi impak seperti diinginkan,” katanya yang menggunakan barangan terbaru daripada jenama Maybelline New York untuk disapu pada wajah manis pelakon remaja, Elfira Loy.

Walaupun tangannya pantas melengkapkan solekan terakhir, Stevensunny sempat memberikan tip kepada pembaca termasuk fungsi lain bedak asas sebagai penanggal kotoran.

Jelasnya, bedak asas jenis cecair boleh digunakan untuk menanggalkan kekotoran pada wajah ketika menyiapkan solekan, maskara atau penggaris mata bersifat gel yang terkena pada pipi, hidung dan dagu.

Caranya, hanya sapu sedikit bedak asas pada bahagian comot dan ratakan menggunakan span bersesuaian bagi membersihkan kotoran.

Bagi mereka yang ingin mencuba solekan untuk menampilkan wajah semula jadi, ikuti langkah mudah ditunjukkan oleh Stevensunny.

Baru-baru ini, Elfira dipilih sebagai jurucakap jenama terkini Maybelline New York. Hadir sama pada majlis pelantikan berkenaan, Pengurus Produk Kumpulan Maybelline New York, Ping Fong dan Pengarah Pemasaran Maybelline New York, Christina Low.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,017 views