Rahsia Kekal Menawan

Wajahnya kelihatan sihat dan bersih. Sekali pandang tentu ramai dapat mengagak wanita ini mengamalkan rejim penjagaan wajah secara berdisiplin.

Duta jenama Estee Lauder, Constance Jablonski ternyata mempunyai amalan penjagaan kesihatan bukan saja untuk kulit tetapi tubuh badan secara konsisten.

Kali ini, Constance berkongsi panduan penting untuk mendapatkan tubuh dan minda sihat sekali gus mempengaruhi penampilan wajah yang lebih bersinar serta berseri.

Gaya hidup

Senaman menjadi rahsia kepada gaya hidupnya yang sihat dan seimbang. Dia bermain tenis seminggu sekali dan berlari dua minggu sekali jika ada masa terluang.

“Saya juga sukakan aktiviti fizikal yang membantu meregangkan otot badan seperti pilates. Biasanya saya banyak melakukan gabungan latihan senaman sehingga membantu mengekalkan bentuk tubuh menawan.

“Malah ia juga membantu untuk merehatkan diri dan kekal segar. Bagi saya, senaman suatu cara terbaik untuk menenangkan fikiran,” katanya yang turut menjadikannya sebagai langkah berkesan mengurangkan tekanan.

Selepas senaman, dia dapat melihat kesannya pada wajah yang tampak lebih berseri ditambah pula dengan senyuman yang terukir di bibir.

Bukan itu saja, dia juga mementingkan amalan pengambilan diet seimbang dengan memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Namun, dia tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya dan kadangkala ada juga mengambil makanan yang disukai walaupun diketahui mengandungi bahan yang kurang sihat.

“Biasanya saya mengambil granola atau muesli (sarapan yang mengandungi campuran bijiran atau buah-buahan kering) dengan yogurt untuk sarapan.

“Jika di Perancis, saya lebih gemar menikmati roti gandum yang segar dengan madu manakala untuk makan tengah hari, saya gemarkan makanan laut atau ayam bersama campuran sayur-sayuran.

“Untuk makan malam, saya lebih suka menikmati hidangan yang lebih ringan seperti salad,” katanya.

Selain itu, Constance begitu menggemari lobak merah sejak kecil kerana percaya ia mempunyai kebaikan pada kulit.

Pada masa sama, dia juga mengambil banyak sumber kekacang seperti kacang hazel, walnut dan badam kerana ia baik ketika banyak melakukan senaman.

Dia juga tidak mengamalkan pengambilan makanan tambahan atau vitamin. Baginya, dia lebih memerlukan vitamin C yang diambil daripada sumber semula jadi dalam buah-buahan seperti oren segar.

Pelihara kesihatan kulit

Selain mengamalkan senaman dan menjaga diet seimbang untuk kesihatan tubuh badan, Constance turut memastikan dirinya banyak minum air setiap hari selain menggunakan rangkaian penjagaan wajah Nutritious Radiant Vitality Energy Lotion Fresh Moist untuk mengekalkan kecantikan kulit wajah.

“Kulit saya mudah kelihatan kusam dan kering apabila berada dalam cuaca kering atau ketika mengalami perubahan musim.

“Jika saya mengalami keadaan kulit sedemikian, saya sapukan beberapa titik pati minyak Nutritious Radiant Vitality bagi memastikan kulit sentiasa kelihatan cerah dan berseri,” katanya.

Sebagai wanita, dia harus menjaga kecantikan kulit menerusi amalan gaya hidup dan minda yang sihat. Sebaiknya, dapatkan waktu tidur dan rehat mencukupi jika ingin memastikan tubuh badan dan kulit kekal cantik.

Selain itu, Constance juga menggalakkan wanita untuk minum air dalam jumlah yang banyak dan lebihkan pengambilan buahan-buahan serta sayur-sayuran dalam diet harian.

Baginya, amalan menggunakan pelembap setiap hari juga penting dan disebabkan itu, dia juga gemar menyapu krim pelembap Nutritious Vita -Mineral yang diperkaya dengan manfaat buah delima.

“Saya sukakan rangkaian Nutritious kerana bau harum buah-buahan yang menyegarkan. Selain itu, saya suka teksturnya yang ringan, cair dan melancarkan proses penghidratan selepas memakainya,” katanya.

Rangkaian Nutritious pernah dilancarkan pada 2007 dan kini dipertingkatkan khasiat kandungan buah delima dengan tambahan formula baru.

Pemakaiannya setiap hari membantu menyegarkan kulit dengan sumber nutrien diperlukan kulit, proses penghidratan dan tenaga untuk menjadikan wajah tampak segar serta berseri seperti selepas bersenam.

Ia diperkaya dengan penerapan madu buah delima yang digabungkan bersama khasiat beberapa buah jenis beri yang kaya antioksidan untuk membantu proses penyahtoksin iritasi, meneutralkan radikal bebas dan menyerap tenaga serta nutrien penting kepada kulit.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,882 views