Rancang Tubuh Tabung Khas

Menyedari masih ramai golongan kurang bernasib baik yang tidak diberi perhatian sewajarnya, sekumpulan sukarelawan diberi nama sebagai ‘Skuad Tamak Pahala’ bergabung tenaga menghulurkan bantuan terutama kepada kanak-kanak memerlukan pelbagai bantuan khususnya peralatan sekolah dan barangan keperluan.

Skuad ini yang kini sudah memiliki kira-kira 100 ahli di seluruh negara bergiat aktif memberi pelbagai bantuan termasuk baju sekolah dan barangan keperluan.

Mereka berinteraksi melalui laman sosial Facebook sebelum berjumpa dan membuat agenda bagi membantu golongan susah.

Baru-baru ini, kumpulan ini menghulurkan bantuan kepada lebih 600 pelajar sekolah masing-masing 200 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur serta selebihnya mangsa banjir di Pahang.

Baju sekolah itu hasil sumbangan orang ramai yang begitu prihatin dengan nasib mereka dan mahu anak-anak mendapat pakaian dan peralatan sekolah yang elok untuk mencari ilmu.

Ketua projek amal, Rohana Ismail berkata, sebagai sukarelawan mereka berasa bertanggungjawab untuk membantu golongan memerlukan dalam meringankan bebanan mereka.

Pada permulaan, sukarelawan mengagihkan baju dan keperluan sekolah kepada pelajar kerana mahu melihat anak-anak bersemangat untuk ke sekolah dengan peralatan baru.

“Kebiasaannya pada awal tahun, majoriti pelajar akan memakai pakaian baru manakala golongan kurang bernasib baik pula tidak mampu menyediakan keperluan ini dan anak mereka terpaksa memakai pakaian lama.

“Menyedari betapa pentingnya keperluan ini bagi membangkitkan semangat pelajar untuk menuntut ilmu, kami bersepakat mengumpulkan dana dan bantuan untuk disumbangkan kepada mereka.

“Hasil keprihatinan semua pihak, kami berjaya mendapatkan lebih 600 helai baju dan peralatan sekolah yang berjaya diagihkan kepada mereka mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, melihat kegembiraan wajah anak-anak selepas memperoleh baju baru itu memberi kepuasan kepada sukarelawan dan semangat untuk membantu lebih ramai lagi yang memerlukan.

Sukarelawan dalam kumpulan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang yang bermatlamat mahu membantu golongan susah di kawasan kampung dan bandar.

“Kami tahu kos sara hidup di bandar sangat tinggi, jadi kami berasa bertanggungjawab untuk membantu mereka.

“Walaupun hanya bantuan kecil, kami berharap ia dapat memberi manfaat yang besar kepada mereka,” katanya.

Rohana berkata, tugas sukarelawan itu banyak dilakukan pada hujung minggu kerana kebanyakan ahli mereka mempunyai komitmen kerja.

Jika terpaksa mereka berkumpul pada hari biasa dan sedia memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, skuad itu kini merancang untuk menubuhkan satu tabung khas bagi memudahkan sumbangan masyarakat prihatin yang akan disampaikan kepada golongan memerlukan.

“Kami harap tabung ini akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat kurang bernasib baik dan memberi sinar baru dalam kehidupan mereka,” katanya.

Bergiat aktif dalam bidang sukarelawan memberi banyak pengalaman kepada dirinya iaitu berjumpa dengan pelbagai latar belakang masyarakat dan mendengar masalah mereka.

Dia bersyukur kerana suaminya, Jamaluddin Zainal, 54, yang bekerja sebagai doktor memberi sokongan penuh padanya untuk bergiat aktif sebagai sukarelawan.

Ketua Sukarelawan Skuad Tamak Pahala, Wan Hilmi Wan Mohd Nor berkata, sebelum menyampaikan sumbangan mereka berhubung melalui telefon dan Facebook untuk membuat semua perancangan dan perbincangan, sekiranya mempunyai masa mereka akan berkumpul dan berbincang.

Walaupun ada sukarelawan yang tinggal jauh dari Kuala Lumpur, ia tidak menjadi halangan kepada mereka untuk memberi bantuan.

“Tugas memberi bantuan bukannya mudah, namun dengan muafakat dan kerjasama sukarelawan ia menjadi senang melaksanakan semua program.

“Selepas dana dikumpul, kami mencari golongan memerlukan dengan bantuan ramai pihak sebelum mengagihkan bantuan itu.

“Kami tahu masyarakat negara kita amat prihatin dan sentiasa terbuka untuk menghulurkan sumbangan pada bila-bila masa,” katanya.

Sebaik membuat pengumuman memohon bantuan untuk disumbangkan kepada individu memerlukan, ramai pihak tampil menyumbangkan wang ringgit, makanan dan pakaian kepada mereka.

Pengalaman berharga

Melakukan kerja sukarelawan membolehkannya merasai kesusahan hidup masyarakat melalui cerita dan pengalaman mereka.

“Walaupun sedih dengan kehidupan mereka, sebagai manusia saya mahu memberi semangat supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas ini,” katanya.

Wan Hilmi berkata, walaupun baru ditubuhkan, dia bangga kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mahu turut serta menjadi sukarelawan.

Semua golongan termasuk orang muda menyertai skuad itu dan mereka sangat bersemangat membantu.

“Kami mahu semangat golongan muda ini terus mekar supaya dapat bersama-sama turun padang membantu golongan memerlukan,” katanya.

Budaya suka membantu itu akan mengeratkan hubungan sesama masyarakat dan dapat memastikan tiada masyarakat yang terbiar dan tertinggal.

“Hari ini giliran kami membantu mereka mana tahu esok orang lain pula membantu kami dalam kesusahan,” katanya yang turut mengalu-alukan orang ramai yang mahu menyertai kumpulan berkenaan.

Sementara itu, penerima bantuan, Haziah Abd Wahab daripada Pertubuhan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, berasa bersyukur kerana ramai pihak mengambil berat kesusahan yang dialami anak-anak yang memerlukan.

“Bantuan itu sudah tentu akan memberi semangat kepada mereka supaya belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

583 views