Rangsang Pengeluaran Susu Ibu

“Tiada susu, susu tidak keluar atau susu sedikit”. Ini antara rungutan yang biasa didengar terutama bagi ibu yang baru kali pertama melahirkan anak.

Berhadapan situasi ini membuatkan ada antara mereka terfikir untuk memberikan susu formula kepada bayi terutama selepas beberapa jam melahirkan anak lantaran tidak sanggup mendengar tangisan bayi yang disangka tidak cukup susu.

Ada pula menyangka susu akan terus keluar dengan banyak sehingga membuatkan mereka panik apabila payudara tidak menghasilkan susu seperti yang dibayangkan. Pelbagai tanggapan mengenai penyusuan terus menghantui semua ibu atau bakal ibu. Persoalannya, adakah benar susu tidak keluar, susu sedikit atau teknik digunakan tidak betul sehingga menyebabkan proses menyusukan anak menjadi sukar?

Berhadapan situasi yang sama ketika melahirkan anak pertama membuatkan penulis beranggapan amat penting mendapatkan ilmu mengenai penyusuan sebelum beralih kepada peringkat seterusnya.

Maklumat ini menjadikan ibu lebih sedar mengenai masalah yang dilalui serta cara mengatasinya. Mereka juga tidak akan berputus asa dan meneruskan penyusuan eksklusif selama enam bulan, setahun seterusnya lengkap sehingga anak berusia dua tahun.

Mendengarnya seakan-akan mudah, namun tidak ramai terutama ibu berkerjaya yang baru melahirkan anak pertama mampu melakukannya dengan jaya. Ramai berhenti separuh jalan lantaran cabaran yang terpaksa dilalui serta kekangan masa yang begitu menghimpit sehingga lama-kelamaan penghasilan susu semakin sedikit dan tiada langsung.

Menurut perunding penyusuan yang juga Pengarah Urusan Lunatots Sdn Bhd, Siti Nur Suraya Mohamed Ali, amat penting wanita yang baru kali pertama mengandung membuat persiapan mengenai ilmu penyusuan dengan menghadiri kelas penyusuan susu ibu yang dianjurkan sama ada badan swasta atau hospital kerajaan. Ini bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai masalah penyusuan agar mereka tidak panik selepas melahirkan anak pertama.

Dalam pada itu, mula berbual dengan rakan sekerja atau saudara-mara yang menyusukan anak secara eksklusif enam bulan pertama dan terus menyusu sehingga usia bayi dua tahun walaupun bekerja.

“Melalui pemerhatian, ternyata ibu mengandung yang pernah melihat atau mendengar cerita kejayaan penyusuan susu ibu wanita lain akan lebih tertarik dan bersikap positif untuk menyusukan bayi berbanding ibu yang tidak pernah langsung mendengar mengenainya. Ini secara tidak langsung memberi semangat untuk meneruskan penyusuan walaupun berhadapan cabaran atau masalah,” ujarnya.

Ibu yang melahirkan anak secara normal atau pembedahan boleh terus menyusukan bayi dalam kadar yang paling segera iaitu sebaik saja dilahirkan. Peranan pihak hospital dalam menggalakkan penyusuan susu ibu seawal mungkin sangat penting.

Jika kelahiran secara pembedahan, mereka perlu dibantu dalam usaha meletakkan bayi pada posisi sesuai untuk penyusuan. Ternyata, lebih awal proses penyusuan susu ibu berlangsung, lebih tinggi kadar kejayaan dan kelangsungan penyusuan susu ibu berlaku.

“Namun begitu, terdapat beberapa keadaan susu ibu sukar dirangsang, antaranya dipengaruhi cara kelahiran bayi. Bayi yang kurang sedar menghadapi kesukaran merangsang susu ibu pada awal kelahiran. Ibu perlu bertenang dan terus cuba menyusukan dan pada masa sama, boleh mula memerah susu bagi merangsang pengeluaran susu ibu,” katanya.

Ibu yang bertenang dan memahami apa yang berlaku akan lebih relaks dan ini merangsang susu ibu dengan baik berbanding ibu yang panik. Pada masa ini sokongan kaum keluarga dan pihak hospital juga amat diperlukan oleh ibu. Ibu boleh mula mengurut lembut payudara dan mandi air panas untuk merangsang pengeluaran susu.

Bagi memastikan pengeluaran susu lancar, ibu yang baru melahirkan anak perlu menyusukan bayi mereka sekerap mungkin (iaitu satu hingga dua jam sekali). Yakin dan teruskan penyusuan kerana menyusu sepatutnya adalah intuisi seorang bayi dan ia amat penting untuk merangsang pengeluaran susu ibu di awal kelahiran.

“Ibu yang melahirkan anak secara normal pula (bukan ditempatkan di NICU), penyusuan secara terus amat penting dan ibu tidak digalakkan mengepam untuk melihat jumlah susu dihasilkan. Tujuan mengepam di hospital hanyalah untuk merangsang pengeluaran susu ibu dan satu hingga dua titik susu awal (kolustrum) sudah mencukupi untuk satu hingga dua jam bayi pada tiga hari pertama,” katanya.

Jelas Suraya, istimewanya susu ibu kerana ia anugerah Allah yang sentiasa berubah kandungannya mengikut keperluan. Susu ibu tidak mempunyai piawaian yang sama seperti susu formula di mana kandungannya boleh ditetapkan manusia.

“Susu bagi bayi yang baru lahir iaitu kolustrum berbeza bentuk, warna dan khasiatnya dengan susu matang. Ia pekat dan berwarna kekuningan dan keluar ketika bayi dilahirkan sehingga tujuh hari pertama dan penuh dengan antibodi sebagai perlindungan pertama usus dan sistem tubuh badan bayi. Campur tangan makanan lain seperti air suam dan susu formula boleh mengganggu proses perlindungan bayi,” katanya.

Bagi memastikan susu ibu kekal produktif, ibu perlu menyusukan bayi dengan susu ibu saja tanpa makanan lain seperti susu formula sehingga anak berusia enam bulan. Pastikan ibu mengepam susu ketika bayi tidur dalam tempoh tiga jam sekali (mengikut kesesuaian dan kelapangan jadual waktu ibu).

Untuk kesan berpanjangan, semua ibu digalakkan mengambil makanan sihat yang boleh membanyakkan susu ibu seperti halba, lobak putih, sawi dan minuman bermalt serta banyakkan minum air kosong dua atau tiga liter sehari.

Panduan ibu berkerjaya

Bagi ibu berkerjaya, terdapat pelbagai keperluan supaya urusan penyusuan susu ibu berjalan lancar. Antaranya:

1. Pam susu

Perkara paling penting menyediakan pam susu bersesuaian sama ada pam elektrik atau bateri yang boleh digunakan untuk mengepam secara serentak. Ini bagi menjimatkan masa ibu mengepam ketika di tempat kerja. Selain itu, ia perlu ringan dan mudah dibawa ke mana saja. Namun, jika ibu tidak mempunyai pam susu, dia masih boleh menyusukan secara eksklusif dengan memerah susu menggunakan tangan.

2. Plastik atau botol penyimpan susu

Plastik penyimpan susu digunakan untuk ibu menyimpan susu ibu yang diperah sebagai stok ketika bekerja. Penggunaan plastik susu akan mengurangkan penggunaan ruang di dalam peti ais. Susu yang diperah ketika dalam pantang tidak boleh digunakan kecuali pada waktu kecemasan seperti ketika bayi atau ibu perlu masuk ke hospital atau keluar bekerja.

3. Beg penyejuk

Beg penyejuk dan blok penyejuk digunakan untuk menyimpan susu setiap kali selepas mengepam. Beg penyejuk mengekalkan suhu sejuk susu dan membuatkannya tahan lama serta boleh terus disimpan di dalam peti ais sewaktu sampai di rumah.

4. Coli menyusu

Coli menyusu membantu mengurangkan risiko susu tersekat dengan kesalahan penggunaan coli biasa ketika menyusu. Perkara ini serius dan boleh memudaratkan. Sekiranya ibu menyusukan bayi menggunakan coli biasa, pastikan coli dibuka secara keseluruhan dan tiada mana-mana bahagian payudara yang tersekat dengan coli yang digunakan terutama bahagian getahnya.

5. Pemanas susu ibu

Pemanas susu ibu digunakan pada waktu siang ketika anak di bawah jagaan pengasuh iaitu selepas bayi berusia dua atau tiga bulan. Jika tiada pemanas, susu ibu boleh direndam di dalam air suam dengan suhu di bawah 40 darjah Celsius untuk mengekalkan bahan penting serta nutrisi di dalam susu ibu.

Selepas anda menyediakan semua peralatan di atas, terdapat beberapa perkara yang harus diikuti bagi memastikan ibu bekerja mampu menyusukan anak secara eksklusif enam bulan dan seterusnya sehingga dua tahun antaranya:

Menyediakan susu perahan

Mulakan mengepam sebulan sebelum bekerja (iaitu dalam tempoh berpantang) bagi membiasakan dengan teknik mengepam serta membuat stok susu. Biasakan mempunyai lebih daripada stok susu lima hari bekerja di dalam peti ais beku.

Contohnya, katakan ibu bekerja 10 jam dan bayi mungkin menyusu dua jam sekali dengan kadar dua atau tiga auns sekali minum. Ini bermakna ibu perlu menyediakan 10 hingga 15 auns sehari. Ambil purata 12 auns untuk ditinggalkan sehari, maka ibu perlu menyediakan sebanyak 60 auns susu perahan beku di dalam peti ais.

Ini sekadar contoh bagi memudahkan ibu menganggar jumlah susu yang perlu diperah dan dikumpul sepanjang tempoh berpantang. Ia mungkin sedikit berbeza antara ibu dan bayi kerana bergantung kepada keperluan bayi itu.

Sebaiknya anda membawa susu perahan ke rumah pengasuh mengikut kadar yang diminum. Misalnya untuk sehari, anda boleh menyediakan sukatan dua atau tiga auns di dalam empat botol bersama campuran susu yang sudah disejukkan.

Mengepam susu tiga jam sekali ketika bekerja

Bagi ibu menyusu dan bekerja, mereka perlu mengepam susu setiap selang tiga jam selama 15 minit sebelah payudara. Pam elektrik yang mempunyai dua corong boleh menjimatkan masa dan membantu ibu berkerjaya bertenang dan gembira semasa menyusu.

Gunakan masa mengepam untuk melihat gambar anak, berzikir mahupun berfikir mengenai perkara baik yang menggembirakan. Pasti susu mudah mengalir keluar. Pam susu yang ringan dan fleksibel memudahkan anda mengepam walau di mana saja sama ada di dalam kereta atau ketika anda terpaksa berhenti di mana-mana untuk mengepam susu.

Simpan susu di dalam beg penyejuk

Susu perahan serta peralatan mengepam boleh disimpan di dalam beg penyejuk untuk dibawa pulang ke rumah.

Makan dan minum dengan sihat

Ibu menyusu perlu mengamalkan lima jenis warna makanan dalam makanan tengah hari dan makan malam. Contohnya nasi (putih), ayam goreng (coklat), sayur campur (hijau), air jus oren (jingga) dan telur (kuning).

Terdapat beberapa makanan yang senang diamalkan untuk membanyakkan susu. Antaranya ialah minuman halba bercoklat dan teh moringa. Minuman ini adalah herba yang boleh membanyakkan susu ibu dan tidak memberikan kesan sampingan terhadap bayi. Ia juga boleh diambil sejak dari dalam pantang.

Selain itu, sayur seperti lobak putih dan sawi dipercayai boleh membanyakkan susu ibu dan elok diambil oleh ibu menyusu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,106 views