Rasa Pengalaman Bekerja

DARI luar saja sudah cukup menggambarkan keunikan DiB Coffees of Hawaii di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Menjejakkan kaki ke bahagian dalam restoran, dekorasi rona jingga melatari keseluruhan dinding mencetuskan rasa ceria di samping pencahayaan pada susunan lampu serta susun atur perabot yang kemas dan bergaya, menarik minat sesiapa saja menikmati aroma segar pelbagai jenis kopi serta keenakan kek dan roti yang disediakan di sini.

Menarik tumpuan mata, pada bahagian dinding dihiasi lukisan mural penari aloha dan pemain ukulele bertali empat yang cukup popular di Hawaii, Amerika Syarikat yang dihasilkan pelukis orang kelainan upaya (OKU).

Kelihatan di sudut dapur, dua pekerja lengkap berpakaian ala Hawaii sibuk menyediakan makanan sambil tangan menunjukkan isyarat selamat datang atau ‘aloha’ sebagai menyambut kehadiran tetamu. Di tangan mereka membawa menu tertera paparan gambar rajah bahasa isyarat untuk diberikan kepada pelanggan.

Bagi mereka yang langsung tidak memahami bahasa isyarat, jangan bimbang kerana boleh menunjukkan hidangan pilihan pada menu atau menulis di atas sekeping kertas yang disertakan bersama.

Jika masih mengalami kesukaran memesan makanan, pelayan akan mendapatkan bantuan penyelia kafe yang mampu bertutur dengan baik. Malah di atas meja dan dinding terdapat informasi lengkap mengenai menu dan aktiviti di kafe bagi membolehkan pelanggan membacanya.

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DiB Coffees of Hawaii, Dr Allen Teh, hampir semua pekerja iaitu seramai lima orang adalah golongan OKU iaitu cacat pendengaran dan bisu kecuali seorang pekerja normal iaitu penyelia restoran.

Mengambil pekerja OKU bukan sesuatu yang mudah kerana mereka tidak sama seperti insan normal dan memerlukan perhatian yang lebih.

“Inilah cabaran yang terpaksa saya hadapi apabila tekad membuka kafe dengan keunikan tersendiri. DiB yang bermaksud Pekak Dalam Perniagaan (Deaf in Business) dibuka bertujuan menjadi medium kepada golongan ini merasai pengalaman bekerja sekali gus menjadikan mereka lebih berdikari.

“Saya tahu ramai yang tidak yakin dengan kemampuan OKU dalam bidang pekerjaan memandangkan pelbagai kelemahan yang terpaksa diatasi. Namun jika kita sebagai insan normal tidak memberi peluang, sampai bila mereka tidak akan ke mana-mana.
Sekurang-kurangnya dengan ada DiB Coffees of Hawaii, ia mampu membuka mata masyarakat mengenai kesungguhan golongan ini dalam meningkatkan taraf hidup dan bersama-sama membangunkan ekonomi negara,” katanya yang sebelum ini membantu OKU dalam mengendalikan projek Deaf Kentucky Fried Chicken (KFC) di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Hampir 26 tahun dalam industri makanan dan minuman, Teh yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Iowa, Amerika Syarikat dan doktor falsafah dalam bidang tingkah laku manusia di Australia, memberitahu kecintaannya kepada golongan OKU masih menebal walaupun lama meninggalkan bidang ini.

“Saya terasa dekat dengan golongan OKU kerana mereka sebahagian daripada masyarakat. Walaupun sudah lama meninggalkan bidang makanan, apabila melihat mereka, hati saya tersentuh dan ingin memberikan sesuatu agar kumpulan ini mampu menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Menambah rasa tanggungjawab apabila Teh melihat golongan cacat pendengaran dan bisu bagaikan terpinggir apabila tidak banyak peluang pekerjaan disediakan terutama dalam industri makanan dan minuman. Oleh itu dia sanggup mempelajari bahasa isyarat melalui buku dan internet untuk mendapatkan perspektif berbeza serta pemahaman lebih mendalam apabila bergaul dengan OKU pendengaran dan bisu.

Ketika mula dibuka, kesukaran dalam menguruskan perniagaan apabila terpaksa membuat pilihan yang tepat dalam pengambilan pekerja. Ini kerana ketika sesi temu duga dijalankan, dia berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah yang ada antaranya sengaja mencipta masalah.

“Saya mengiklankannya menerusi laman sosial facebook serta laman sesawang DiB Coffees of Hawaii. Ramai yang datang untuk ditemu duga namun daripada 100 orang hanya tujuh pekerja terpilih. Ini kerana kami memerlukan pekerja yang komited dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sebab itu jika ada yang memberi pelbagai alasan dan menunjukkan sikap acuh tidak acuh kami tidak mengambilnya.

“Ada yang datang tanpa membuat persediaan, tidak menepati masa, menetapkan sendiri hari bercuti dan masa bekerja malah memberi arahan seperti ketua,” katanya yang turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Centre for Customer Care Malaysia) seterusnya menjadikan kafe berkenaan sebagai batu loncatan dalam membantu dan meningkatkan keyakinan diri golongan OKU pendengaran.

Walaupun tujuan asal Teh ingin membantu mereka mendapatkan pekerjaan, pemilihan pekerja berkualiti sangat penting. Ini kerana DiB Coffees of Hawaii adalah satu bentuk perniagaan berdasarkan kepada untung dan rugi. Jadi kejayaan kafe ini bergantung sepenuhnya kepada semua pekerja yang bekerja dengan penuh dedikasi tanpa berbelah bahagi.

Stigma masyarakat dan ibu bapa yang tidak mahu melepaskan anak untuk hidup berdikari juga menjadikan sesetengah daripada mereka agak ‘manja’ dan lebih suka tinggal di rumah perlindungan dengan disediakan segala keperluan.

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa apabila ada ibu bapa masih menanggung anak yang sudah dewasa. Kebanyakan penjaga merelakan golongan ini tinggal di rumah dan tidak bekerja. Ada juga yang selesa tinggal di rumah perlindungan dengan diberikan makan serta keperluan secara percuma. Namun masalahnya situasi ini akan lebih menggalakkan budaya kebergantungan sekali gus mengehadkan potensi diri mereka,” jelasnya yang pernah menerima perkhidmatan Cheryl Lee iaitu Juara Grand Barista 2010, dalam menyediakan latihan membuat latte dan cappuccino untuk golongan OKU.

Walaupun rata-rata mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan serta pengalaman bekerja, golongan ini sangat rajin dan mampu dibentuk menjadi pekerja mahir.

“Bagi mengatasi rasa kekok, sebelum bekerja, saya melakukan latihan intensif selama sebulan bagi menyesuaikan mereka dengan suasana baru dan memberi latihan mengenai teknik membancuh kopi, penyediaan makanan, mengambil pesanan serta pengurusan kafe. Ini bagi memberi kemahiran yang pelbagai kerana jika OKU yang tidak mengubah nasib mereka sendiri siapa lagi,” jelasnya.

Namun menurut Teh, melatih pekerja OKU pendengaran bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kesabaran yang tinggi. Kebanyakan mereka memiliki jiwa yang lembut dan mudah terguris. Oleh itu teguran harus disampaikan dalam bahasa sopan serta tidak meninggikan suara. Malah mereka juga sangat sensitif dan cemburu sekiranya tidak diberi perhatian atau melebihkan antara satu sama lain.

Bimbang dengan keselamatan pekerja, Teh menyediakan tempat tinggal secara percuma kepada semua pekerja bagi memastikan golongan ini lebih berdisiplin dan datang tepat pada waktunya. Lagi pun, selepas tamat bekerja mereka boleh terus pulang ke rumah yang jaraknya hanya beberapa meter dari kedai.

Pada masa depan, Teh berharap dengan adanya rangkaian DiB Coffees of Hawaii ia bukan saja menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan OKU pendengaran, tetapi melatih mereka menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti.

“Untuk lima tahun akan datang, saya berharap mampu membuka 10 cawangan DiB Coffees of Hawaii di seluruh negara yang diuruskan golongan cacat pendengaran. Namun semua ini tidak akan berjaya tanpa bantuan semua pihak terutama syarikat swasta,” katanya yang turut mengharapkan geran kerajaan dalam memberikan bantuan kewangan.

Apa yang dilakukan sekarang bukan sekadar perniagaan atau mendapat keuntungan semata-mata, tetapi lebih bersifat perikemanusiaan dan nilai keikhlasan sesama manusia. Cabaran dilaluinya sangat besar, sehingga hampir berputus asa dan ingin menutup kafe.

“Namun setiap kali berkeinginan menutup kafe, semangat saya bagaikan datang semula. Saya tidak boleh gagal kerana kafe ini mewakili keinginan dan cita-cita mereka dalam kehidupan. Jika ini berjaya bermakna OKU akan menjadi lebih kuat dan dipandang tinggi oleh masyarakat,” ujarnya.

Bagi pekerja OKU, Syamilah Razali, 23, sebelum ini dia langsung tidak mempunyai pengalaman bekerja. Namun selepas diterima sebagai pelayan di DiB Coffees of Hawaii, dia berbangga kerana dapat berdikari dan mencari rezeki hasil titik peluh sendiri.

“Pada mulanya memang rasa kekok, maklumlah sebelum ini saya tidak pernah bekerja namun latihan diterima mampu mengatasi rasa kurang yakin sekali gus dapat memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

“Selain mengambil pesanan pelanggan, saya turut mengajar bahasa isyarat kepada pelanggan. Saya sangat terharu apabila ada antara mereka ingin meluangkan masa untuk mempelajari bahasa isyarat,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Kata Syamilah, kafe yang menyediakan pekerjaan kepada golongan OKU sepertinya itu sedikit sebanyak memberi harapan masih ada yang prihatin terhadap golongan cacat dan tidak memandang negatif.

DiB Coffees of Hawaii yang dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 10 malam ini menyediakan bekalan kopi Arabica yang dibawa masuk dari Hawaii. Kopi Arabica ditanam di atas tanah gunung berapi yang kaya nutrisi dan
mempunyai aroma tersendiri. Ini berbeza dengan kopi yang dijual di kafe yang ada di Malaysia daripada segi rasa dan harumannya. Selain kopi antara hidangan istimewa termasuk maui mocha, vanilla anu, macadamia anu, kek keju, pastri dan sup.

Bagi mereka yang ingin menikmati keenakan kopi Hawaii, boleh berkunjung ke DiB Coffees Hawaii di Jalan PJU 8/5A, Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya. Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

865 views