Rawatan Jejas Rasa, Selera

Tabiat pemakanan sihat mampu membantu pesakit kanser mendapatkan nutrien yang diperlukan untuk menambah berat badan dan tenaga, mengekalkan tisu badan yang sihat dan melawan jangkitan. Malah, tabiat pemakanan sihat dan pengambilan nutrisi yang baik juga membantu pesakit kanser menangani kesan sampingan akibat penyakit yang dihidap dan rawatannya.

Segelintir rawatan kanser juga berjalan lancar apabila pesakit berkenaan mendapatkan pemakanan yang baik dan cukup nutrien diperlukan. Pesakit kanser yang menjaga pemakanannya juga mempunyai peluang untuk pulih dan mendapat kualiti kehidupan dengan lebih baik.

Ini kerana, pemakanan yang sihat dan seimbang adalah bahagian penting dalam rawatan kanser dan mengambil makanan yang tepat serta mengandungi nutrien penting diperlukan tubuh seperti vitamin, mineral, protein, karbohidrat, lemak dan air sebelum, semasa dan selepas rawatan boleh membantu pesakit kanser rasa lebih sihat dan kekal bertenaga.

Bagaimanapun, ada ketumbuhan yang menghasilkan bahan kimia yang mengubah cara tubuh menggunakan nutrien dan menjejaskan kepentingan nutrien berkenaan terutama ketumbuhan pada perut atau usus. Pesakit mungkin makan dengan cukup, tetapi tubuhnya tidak dapat menyerap semua nutrien daripada makanan berkenaan.

Rawatan kanser yang mendatangkan kesan sampingan sehingga menjejaskan pengambilan nutrisi penting termasuk pembedahan, kemoterapi, radiasi, imunoterapi dan pemindahan sel stem. Organ yang biasanya terjejas dengan rawatan kanser itu seperti kepala, leher, esofagus, perut dan usus menyebabkan pesakit kanser sukar untuk mengambil nutrien mencukupi untuk kekal sihat.

Kanser dan rawatannya juga boleh menjejaskan rasa, bau, selera dan keupayaan untuk mengunyah atau menyerap nutrien daripada makanan. Ini boleh menyebabkan malnutrisi yang mengakibatkan pesakit kanser lemah, penat dan tidak mampu melawan jangkitan atau meneruskan rawatan kanser.

Gangguan pemakanan sebenarnya adalah perkara biasa bagi pesakit kanser yang menjalani rawatan kerana kesan sampingan rawatan kanser akan mengganggu corak pengambilan makanan menyebabkan pesakit mengalami masalah pemakanan seperti hilang selera makan, sukar mengunyah atau menelan, mengalami perubahan rasa dan bau makanan, mulut kering, sakit mulut, loya, muntah, cirit-birit dan sembelit

Pakar Pemakanan di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Chan Wan Thung berkata amalan pemakanan yang baik dalam kalangan pesakit kanser yang menjalani rawatan adalah untuk membekalkan nutrien yang hilang, mengawal kesan sampingan, mengurangkan risiko jangkitan, menambah kekuatan dan tenaga serta meningkatkan kualiti kehidupan.

“Kanser itu sendiri dan rawatannya boleh mendatangkan kesan sampingan yang besar kepada keadaan tubuh pesakit kanser. Oleh itu, makanan yang sihat dan seimbang membantu pesakit terbabit menangani kesan sampingan akibat rawatan dengan lebih baik, mencegah penangguhan dalam rawatan dan mengelakkan berat badan susut.

“Bagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan, mereka memerlukan makanan dengan kandungan kalori dan protein yang tinggi untuk menambah berat badan. Ini kerana, kanser dan jenis rawatan yang dijalani pesakit akan meningkatkan keperluan tubuh dan menyebabkan mereka perlu meningkatkan pengambilan makanan,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran buku resipi untuk pesakit kanser dan penjaga mereka, Around The Table, oleh NCSM di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan adinda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Azureen Sultan Azlan Shah. Turut hadir, Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan.

Buku berkenaan memaparkan lebih 50 resipi hidangan utama, hidangan pembuka selera, sup, pencuci mulut dan minuman jus yang ringkas, enak dan bahan mentah yang mudah didapati hasil sumbangan bekas pesakit kanser.

Rawatan kemoterapi digunakan untuk membunuh sel kanser yang membiak dengan cepat, namun ia juga merosakkan sel yang sihat termasuk sel dalam mulut, saluran pencernaan dan folikel rambut. Kesan sampingan kemoterapi menyebabkan masalah pemakanan dan penghadaman.

Antara masalah pemakanan yang timbul akibat kemoterapi seperti hilang selera, radang dalam mulut, perubahan rasa makanan, sentiasa rasa kenyang walaupun makan kuantiti sedikit, muntah, loya, cirit-birit dan sembelit. Oleh itu, pesakit menjalani kemoterapi tidak berupaya makan dengan normal dan mendapatkan semua nutrien diperlukan untuk memulihkan bilangan darah sihat ketika dirawat.

Begitu juga dengan rawatan radiasi yang merosakkan sel yang sihat dan jumlah kerosakan bergantung kepada bahagian tubuh yang dirawat, dos radiasi yang diberikan dan cara ia diberi. Radiasi yang dijalankan pada sistem pencernaan selalunya mendatangkan kesan sampingan yang menyebabkan masalah pemakanan.

Kesan sampingan ini biasanya bermula beberapa minggu selepas rawatan dan berakhir selepas rawatan berkenaan selesai. Namun, ada juga kesan sampingan yang lambat pulih dan berterusan beberapa bulan selepas rawatan tamat. Bagi radiasi di bahagian kepala dan leher, pesakit mungkin mengalami hilang selera, perubahan rasa makanan, sukar menelan, mulut kering, sakit gusi dan esofagus sempit.

Rawatan radiasi di bahagian dada mengakibatkan pesakit mengalami jangkitan esofagus, sukar menelan, refluks esofagus, manakala radiasi di bahagian abdomen atau pelvis menyebabkan pesakit mengalami cirit-birit, loya, muntah dan radang pada usus atau rektum. Malah, pesakit juga akan mengalami penat sehingga mengurangkan selera makannya.

Menurut Chan, bagi mengatasi masalah hilang selera makan sehingga berat badan susut, pesakit kanser disarankan makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap dan makan pada waktu paling berselera seperti sarapan atau sebelum memulakan rawatan.

Pesakit dengan masalah ini juga perlu mengambil makanan atau minuman yang padat dengan kalori dan kaya dengan protein. Malah, mereka juga boleh menyediakan snek yang tinggi kandungan kalori dalam bentuk yang mudah dimakan dan boleh diambil pada bila-bila masa.

“Bagi pesakit kanser yang mengalami loya dan muntah, mereka disarankan mengambil makanan berhalia, lemon dan limau serta elak daripada mengambil makanan yang berbau kuat bagi melegakan simptom ini. Mereka juga boleh mencuba makanan cecair seperti sup dan jus minuman sebaik rasa muntah berkurangan.

“Pilih makanan yang lembut dan mudah dikunyah seperti makanan berkuah atau bersos bagi mengatasi masalah menelan akibat luka dalam mulut dan tekak. Hadkan makanan pedas, tajam, rangup dan berasid kerana ia menyakitkan lagi keadaan mulut atau tekak yang luka itu.

“Makanan juga boleh dipotong-potong kecil atau ambil makanan berkrim seperti bubur, sup dan jus ais kisar yang mudah ditelan,” katanya.

Pesakit yang mengalami masalah mulut kering atau air liur pekat boleh mencuba makanan yang mudah ditelan seperti makanan berkuah, bersos, sup atau puri. Kurangkan pengambilan makanan rangup, pedas, masam dan masin. Malah, ada pesakit yang menghisap ais, gula-gula dan buah-buahan beku bagi merangsang rembesan air liur.

Perubahan rasa dan bau makanan juga menyebabkan pesakit kanser susah untuk makan, oleh itu mereka disaran menambah manisan dalam makanan yang difikirkan masin, pahit atau masam. Gunakan perisa seperti garam, rempah, herba, gula atau bawang putih bagi menambahkan rasa makanan. Gunakan juga peralatan seperti sudu, garfu dan pinggan daripada plastik.

Tingkatkan pengambilan serat seperti bijirin penuh, buah-buahan dan sayuran bagi melegakan sembelit. Pesakit juga disaran meningkatkan pengambilan cecair seperti sup dan jus buah untuk mengurangkan simptom ini.

Chan berkata, pesakit kanser yang mengalami kesan sampingan cirit-birit perlu mengelakkan makanan bergoreng, berminyak dan pedas serta kurangkan makanan tinggi serat.

“Pilih makanan dengan kandungan laktosa rendah atau bebas laktosa seperti makanan berasaskan soya atau beras bagi pesakit yang mengalami kesan sampingan tidak toleransi terhadap laktosa.

“Pesakit juga digalakkan meningkatkan pengambilan cecair untuk ganti cecair yang hilang dengan mengambil sup atau jus. Ini juga bagi mengelakkan berlaku dehidrasi kerana tubuh kekurangan cecair,” katanya.

Bagi pesakit kanser yang rendah bilangan sel darah putih dan sistem imun yang lemah, mereka dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memilih makanan yang bersih dan selamat bagi mengelak berlaku pencemaran dan jangkitan.

“Mereka disaran memilih makanan yang dimasak dengan baik atau makanan yang dipasteur berbanding yang dihidang mentah. Pesakit kanser juga perlu berbincang dengan pakar onkologi dan pakar pemakanan dalam pengurusan makanan ketika menjalani rawatan kanser.

“Sesungguhnya makanan yang baik adalah penting ketika rawatan kanser kerana tubuh mereka memerlukan nutrien penting untuk melawan kanser. Malah, kejayaan rawatan kanser juga dipengaruhi oleh keupayaan pesakit menangani kesan sampingan rawatan terbabit hasil pengambilan makanan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Zuraidah berkata, buku resipi berkenaan didedikasikan untuk pesakit kanser terutama mereka yang kali pertama didiagnosis menghidap penyakit terbabit.

“Bekas pesakit kanser menyedari bahawa pesakit kanser yang masih baru disahkan menghidap penyakit terbabit wajar mendapat maklumat bagaimana mendapatkan makanan yang baik ketika berjuang menentang kanser.

“Mereka selalunya hilang selera mengakibatkan trauma dan tidak tahu makanan apa yang perlu diambil atau dielak. Oleh itu, buku resipi ini diharapkan dapat membantu mereka mendapatkan nutrien secukupnya menerusi makanan yang baik.

“Pesakit kanser dan penjaga mereka yang menggunakan resipi dalam buku ini tidak perlu risau kerana semua makanan sudah diuji rasa di dapur NCSM termasuk diperiksa oleh pakar pemakanan dalam persatuan ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan nutrisi pesakit.

“Malah, pesakit juga boleh mendapatkan panduan untuk mengatasi masalah pemakanan akibat kesan sampingan rawatan. Buku ini boleh didapati di ibu pejabat NCSM di ibu negara pada harga RM20,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

106 views