Rawatan Sehingga Ke Hujung Kaki

MELANGKAH kaki memasuki Spa De’Daun, salun dan gimnasium yang terletak di Seri Kembangan, Selangor, mata bagaikan terpesona pada susun atur serta seni hias yang ringkas namun menyerlah. Penggunaan bahan semula jadi seperti kayu serta batu sungai memberi definisi yang sama kepada dekorasi spa yang biasa dilihat, namun menariknya apabila ruang yang kecil itu digunakan sepenuhnya menerusi bilik yang tersembunyi di dalamnya.

Ketenangan terasa tatkala aroma segar halia dan serai menusuk ke hidung, ditambah alunan irama muzik Indonesia yang pastinya membuai perasaan seakan-akan mahu segera badan diurut juruterapi. Sambil menunggu, anda dihidangkan secangkir teh halia pekat dan panas yang menyegarkan.

Spa yang dibuka pada 31 Oktober 2010 itu bukan saja menyediakan rawatan muka dan badan tetapi pusat sehenti untuk kesihatan dan juga penggayaan rambut menerusi gimnasium dan salun yang bukan saja memudahkan wanita mendapatkan rawatan terbaik, malah memberi keselesaan kepada mereka kerana berkonsepkan Muslimah.

Menurut pemilik Spa De’Daun, Siti Noorul Ainee Mohd Yusoof, menyedari wanita moden kini sangat mementingkan kesihatan dan kecantikan, dia terpanggil untuk menyediakan pusat rawatan yang bukan saja merangkumi penjagaan kecantikan wajah dan tubuh semata-mata, sebaliknya dilengkapi peralatan gimnasium bagi memudahkan wanita meluangkan masa menjaga kesihatan mereka.

“Saya percaya kecantikan datang dari tubuh yang sihat. Justeru, apabila kita mendidik wanita untuk menjaga kesihatan, secara tidak langsung kesegaran tubuh serta keserian wajah terpancar. Dengan adanya perkhidmatan salun walaupun kebanyakan pelanggan bertudung, namun mereka juga perlu menjaga kebersihan rambut kerana ia juga termasuk dalam tuntutan Islam,” katanya yang mempunyai jurusan dalam bidang Biokimia dan pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Ainee yang optimis pada bidang kecantikan mengakui sebelum ini dia membuka agensi pelancongan dan restoran tetapi dengan niat ingin membantu wanita, dia cuba menceburi bidang yang sangat menjanjikan pengalaman berharga.

“Saya banyak belajar bagaimana memberikan yang terbaik kepada pelanggan terutama dari segi memuaskan hati mereka serta menyediakan perkhidmatan kecantikan daripada hujung rambut hingga kaki,” katanya.

Kini pusat rawatan ini bukan saja menyediakan rawatan wajah merangkumi kulit bermasalah serta penuaan kulit, malah menyediakan kelengkapan sauna sama ada secara tradisional dan moden. Bagi penggemar gaya tradisi mereka boleh memilih sauna herba yang disediakan di dalam ruang bertutup dengan di bawahnya terdapatnya pelbagai herba tradisional seperti halia, serai dan daun yang mempunyai khasiat tersendiri.

Di sebelahnya pula terdapat bilik comel seakan-akan seperti bilik air dengan pancuran air yang menyediakan mandian haba selepas bersauna. Menariknya jika sauna hanya menyediakan haba yang dikeluarkan dalam keadaan kering, sebaliknya mandian haba boleh mengeluarkan cecair dalam suhu ditetapkan bagi memberi kesegaran kepada wanita. Selepas bersauna, pelanggan boleh terus memanjakan diri dengan mandi di dalam ruang yang sama.

“Secara tidak langsung rawatan ini dapat melegakan badan dan menenangkan minda menerusi pengeluaran haba yang dapat mengurangkan tekanan selepas penat bekerja.

“Secara saintifiknya, semakin kulit kita menerima tekanan haba, kadar pembebasan bahan kimia daripada badan turut meningkat. Dengan rawatan mandian haba, bahan kimia itu dapat dikurangkan, sekali gus membantu mengatasi tekanan,” katanya.

Tambahnya lagi, ketika melakukan rawatan sauna dan mandi haba ini, toksin dapat dikeluarkan ketika proses perpeluhan dan ia membantu meningkatkan kadar denyutan jantung serta metabolisma dalam badan.

“Keadaan ini sama seperti bersenam dan bersukan. Oleh itu, wanita digalakkan duduk dan bertenang dalam bilik sauna seterusnya mereka akan merasai perpeluhan yang membantu membakar lemak yang tidak diperlukan oleh badan,” ujarnya.

Bagi yang mengalami masalah kulit, mandian haba ini membantu mengurangkan masalah jerawat dengan cara peningkatan kadar denyutan jantung dan ini meningkatkan kadar aliran darah ke kulit.

Pada kadar biasa, hanya 10 peratus yang mengalir ke kulit dan apabila suhu meningkat, kadar aliran meningkat kepada 30 hingga 40 peratus. Kadar aliran yang tinggi akan membantu membekalkan oksigen yang mencukupi untuk kesihatan kulit.

Namun mandian ini hanya sesuai dilakukan pada kadar 20 minit saja dan tidak lebih tiga kali seminggu. Ini bagi memastikan tiada kesan lain yang boleh mengganggu kelancaran darah. Bagi penghidap penyakit kronik seperti lemah jantung, kencing manis atau kanser, mereka tidak digalakkan melakukannya kerana dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan.

Jelas Ainee, bagi ibu mengandung terutama yang sudah melepasi fasa tiga bulan ke atas boleh melakukan mandian haba tetapi dalam jangka masa yang disyorkan juruterapi.

Selain rawatan moden, Spa De’Daun turut menyediakan pakej urutan bagi ibu selepas bersalin sama ada untuk urut Bali atau tradisional Melayu. Walaupun kedua-duanya seakan-akan sama, namun teknik digunakan sedikit berbeza.

“Urut Bali lebih kepada memberi tumpuan kepada urat di sekitar badan dengan memberi lebih tekanan kepada bahagian tertentu. Namun terpulang kepada pelanggan sama ada mahukan urutan yang agak keras atau sederhana saja,” katanya.

Bagi rawatan wajah, Spa De’Daun menyediakan pakej untuk kulit bermasalah menggunakan produk Bio Pearl dari Itali. Juga untuk pemulihan antipenuaan, rawatan bibir, rawatan kuku tangan dan kaki turut disediakan.

Bagi wanita yang ingin mendapatkan perkhidmatan di gimnasium boleh datang pada bila-bila masa saja dengan bayaran RM10 atau boleh menjadi ahli untuk tempoh sebulan atau enam bulan.

Pada masa hadapan, Ainee berharap dapat meluaskan lagi perniagaan dalam bidang kecantikan kepada kolej akademi kecantikan bagi membolehkan sesiapa juga terutama wanita menceburi bidang perniagaan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

959 views