Rawatan Wajah Konsep Zen

Tatkala mengunjungi pusat rawatan wajah, suasana damai dan menenangkan ternyata paling disukai oleh golongan wanita selepas berbulan lamanya sibuk menguruskan perihal kerja, rumah tangga dan anak-anak.

Saat itu, 100 peratus tumpuan hanya diberikan kepada proses rawatan yang boleh membuatkan wajah serta badan berasa tenang, bersih dan cantik berseri.

Tidak mahu ketinggalan menawarkan perkhidmatan seperti itu, jenama kosmetik terkenal antarabangsa, Shiseido, memperkenalkan bilik rawatan wajahnya yang berkonsepkan Zen di pusat beli-belah, Pavilion Kuala Lumpur.

Disambut dengan keramahan dan kemesraan perunding kecantikannya, pelanggan seterusnya dibawa ke bilik khas untuk menjalani pemeriksaan kulit bagi mengetahui masalah dihadapi dan jenis rawatan.

Sebaik melangkahkan kaki ke dalam bilik rawatan wajah itu pula, pelanggan dibiarkan bersendirian buat seketika untuk menikmati minuman menyegarkan badan.

Bilik berkenaan dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini dan mempunyai katil rawatan khas yang sesuai untuk keselesaan keadaan tubuh badan pelanggan sebelum sesi rawatan bermula.

Katil istimewa ini juga mempunyai kawalan suhu di bahagian tengah dan getaran lembut khusus untuk mengurangkan tekanan otot di badan.

Tidak terhenti di situ, pelanggan juga akan diurut menggunakan kaedah istimewa bagi melancarkan peredaran darah di dalam tubuh selain urutan berkenaan juga bertujuan membantu menghalang kulit daripada mengendur.

Antara jenis rawatan wajah yang boleh dilakukan di situ adalah Purely Matte, Bright Beautiful, Rejuvenate Renew, Moisture Infusion, Youthful Radiance, Elixir of Youth, Sparkling Eyes dan Yutaka Treatment.

Berkongsi pengalaman mengenai kecantikan wajah, penyanyi dan pelakon popular merangkap duta Shiseido, Misha Omar berkata, dirinya amat menitikberatkan rutin penjagaan wajah termasuk memastikan melakukan rawatan wajah dua bulan sekali sekiranya perlu.

Dek sibuk dengan jadual penggambaran drama dan undangan nyanyian, Misha menjadi seorang yang yang sangat berdisiplin dalam aspek berkenaan.

“Sebagai penyanyi dan pelakon, jadual persembahan serta penggambaran drama memakan masa yang panjang bermula dari awal pagi hinggalah lewat malam.

Pelbagai petua pernah dicuba termasuk menuam wajah menggunakan ais untuk mengekalkan kelembapan, namun semua itu tidak serasi dengan diri saya.

“Saya suka menggunakan produk kecantikan yang mampu memberi kesegaran, membersih dan membuatkan kulit berseri. Sebab itu, pemilihan produk penjagaan wajah yang betul dan sesuai dengan kulit wajah amat mustahak diberi perhatian.

“Selain memastikan setiap malam mencuci wajah dengan bersih, saya juga mengunjungi pusat rawatan wajah dua bulan sekali sekiranya perlu atau hanya mengenakan pupur pencerahan White Lucent Power Brightening Mask dimana bahan pencerah meresap jauh ke dalam kulit,” katanya.

Pupur ini adalah hasil gabungan yang ada pada Intensive Spot Targeting Serum+ untuk mencipta kesan pencerahan unik yang mana serum bertindak menghancurkan tompok gelap pejal yang terperangkap dalam kulit.

Sementara itu, pupur pula berfungsi merangsang penyerapan efisien pada permukaan kulit, selain membantu mengusir tompok gelap itu agar 4MSK (bahan pencerahan identiti Shiseido) menembusi liang kulit dengan lebih baik.

Terapi Ion Force Complex yang terkandung di dalamnya membantu mengatasi masalah cela dan ton kulit tidak sekata.

Sudah menginjak ke usia 30 tahun, Misha juga semakin berhati-hati dalam pemilihan makanan apabila mengurangkan pengambilan karbohidrat dengan melebihkan sayur-sayuran dan makanan tambahan.

Sekurang-kurangnya Misha juga minum dua liter air kosong sehari dan meninggalkan minuman berais kerana perlu menjaga suara selain mengikut petua ibunya, ais akan membuatkan urat kita kembang.

Nasihatnya, wanita tidak perlu menderita dan menahan sakit untuk kelihatan putih berseri sebaliknya cukup dengan memilih rangkaian produk penjagaan wajah yang betul dan melakukannya mengikut rutin dengan rajin agar kulit menjadi sihat, lembap dan segar.

“Saya juga suka mengingatkan semua wanita agar jangan terlalu ghairah dan taksub memilih produk kecantikan yang mengutamakan kecerahan kulit semata-mata sebaliknya carilah sesuatu yang memberi kebaikan berpanjangan apabila ia mampu membuatkan kulit kita semakin sihat dan cantik dengan berkesan perlahan-lahan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

744 views