Reka Busana Ikut Syariat

Berbekalkan modal RM6,000 dengan sebuah kereta, wanita ini mengusung pakaian ke bazar, pasar pagi serta kios yang menyediakan ruang berniaga. Ketika itu Habida Samadi, 46, hanya mampu memasarkan pakaian da–ripada jenama orang lain.

Namun strategi berniaga yang berkesan serta tidak kenal erti berputus asa menyebabkan kebanyakan pakaian yang dibawa habis dijual. Dari situ sedikit demi sedikit dia mengumpul modal untuk menghasilkan rekaan sendiri.

Berteraskan pakaian Muslimah kerana pasaran yang besar, Habida berasa menjual busana mengikut syariat Islam sekurang-kurangnya membolehkan dia mendapat ganjaran pahala. Dari situ bermula proses menghasilkan lakaran mengikut industri fesyen semasa.

“Saya mula mencari jenis pakaian yang akan dipasarkan. Pada saya apa juga rekaan sekali pun perlu mengikut syariat Islam iaitu tidak jarang, labuh dan longgar. Lalu saya menghasilkan jubah menggunakan fabrik lycra. Walaupun ramai mengatakan fabrik ini melekat dan mudah menampakkan bentuk tubuh, produk yang saya hasilkan tidak sebegitu. Ini kerana saya menggunakan kain yang banyak serta memotong mengikut teknik tertentu supaya tidak menyerlahkan keseksian wanita apabila menggayakannya,” katanya ketika ditemui di ruang niaga Bangi Gateway, baru-baru ini.

Menurut Habida, disebabkan setiap keluaran 100 peratus berdasarkan idea sendiri, dia tidak lagi menghadapi masalah dari segi kualiti fabrik serta jahitan berbanding ketika menjual jenama orang lain. Ketika itu, ada kalanya dia menghadapi masalah produk tidak berkualiti terutama jahitan atau fabrik digunakan.

“Selepas berpeluang mengenali jenis fabrik, saya mula memilih hanya fabrik terbaik serta menghasil–kan rekaan berdasarkan cita rasa pelanggan, namun saya mencuba sehingga benar-benar menyukainya dan rasa selesa. Saya percaya dengan memberi penekanan kepada kualiti sama ada pada fabrik mahupun potongan, pelanggan akan setia dan terus mendapat–kan setiap rekaan,” katanya yang kini mempunyai empat kios D’hajjah termasuk dua di Bangi Gateway, Ampang dan Puchong.

Selain jubah, antara padanan yang menjadi kesukaan ramai adalah blaus digayakan dengan skirt kembang atau seluar palazo yang kedua-duanya daripada fabrik lycra.

Menurut Habida, pada saat peniaga lain mempelbagaikan keluaran mereka daripada sifon, sutera crepe atau kapas, dia masih setia dengan fabrik ini. Ini tidak bermaksud dia tidak ingin mempelbagaikan jualan tetapi merujuk pasaran semasa, lycra masih diminati dan mempunyai peminatnya sendiri. Lebih penting fabrik ini tidak sukar digayakan sama ada untuk golongan muda mahupun sudah berusia.

“Sebab itu, semua rang–kaian pakaian saya berasaskan lycra daripada jubah, blaus, seluar palazo, skirt dan tudung. Malah, kebanyakan pelanggan yang baru kali pertama mendapatkannya pasti jatuh cinta bukan saja dari segi potongan tetapi kualiti dan jaminan ia mengikut syariat Islam,” katanya.

Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata ini pernah melalui erti kesusahan ketika zaman kanak-kanak. Oleh itu, setiap cabaran yang datang dihadapi dengan penuh kesabaran. Setiap perniagaan juga mempunyai untung ruginya, malah dengan persaingan sengit dalam industri ini menjadikannya lebih bersedia berhadapan dengan dunia luar.

“Semua cabaran ini tidak pernah mematahkan semangat saya, apatah lagi sejak menceburi perniagaan sama ada dalam bidang makanan mahupun pakaian, pelbagai ujian dihadapi. Jika tidak cekal, tidak mungkin saya berada pada tahap sekarang,” katanya yang berhasrat menambah kios pada tahun hadapan, selain membuat rekaan untuk umrah dan haji serta produk jamu.

Ditanya mengapa tidak hanya memberi tumpuan kepada pakaian Muslimah, sambil tersenyum Habida memberitahu, dia sukakan cabaran dan gemar mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Seperti ketika menjual pakaian secara bergerak ke bazar atau pasar, dia mula tercari-cari butik bagi meletakkan koleksi pakaiannya.

“Memang saya berjaya membuka butik Muslimah, namun selepas dua tahun akhirnya butik itu ditutup dan saya terus menjual secara bergerak. Tetapi hati kecil saya berkata sampai bila perlu bergerak kerana saya inginkan sesuatu yang kukuh demi anak-anak. Melihat orang lain yang mampu membuka lebih daripada satu kios dengan keuntungan berlipat ganda, saya terfikir ini yang akan dilakukan,” katanya.

Sifatnya yang gemar bergerak dari satu tempat ke tempat lain membuatkan Habida berasa perniagaan menerusi kios paling sesuai. Dengan jumlah empat kios dan akan menambah dua kios selepas raya, kadar sewanya melebihi harga sebuah kedai.

“Dengan memasarkan jenama saya menerusi kios, saya mampu memperkenalkannya kepada lebih ramai pelanggan. Ini kerana mereka dapat membeli barangan D’hajjah di empat lokasi yang saya nyatakan tadi,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

643 views