Reka Sendiri Kartun Animasi

Minat terhadap gambar simbol dan logo di dalam buku mahupun majalah menjadi petanda kecenderungannya pada dunia grafik dan animasi.

Turut menyukai karakter kartun animasi dan mempunyai koleksi komiknya sendiri, Muhammad Wasif Baharudin, 13, mengambil keputusan mengikuti kelas komputer khusus mengajarnya mengenai dua bidang digemarinya itu.

Mendapat sokongan penuh daripada bapanya, Baharudin Abdul Latif, 40, Muhammad Wasif berusaha bersungguh-sungguh menguasai subjek itu supaya dia boleh menghasilkan animasi sendiri secara perlahan-lahan.

“Saya seronok belajar seni grafik dan animasi sebab ia memberi satu kepuasan selain mengajar saya menjadi seorang yang lebih sabar.

“Pada awal pembelajaran, ia bukan sesuatu yang mudah kerana membaca dan membuatnya secara praktikal dua perkara yang amat berbeza. Daripada kosong hinggalah mampu menggerakkan, memasukkan bunyi (suara) dan seumpamanya pada karakter tertentu, ia menjadi satu pencapaian terbesar buat saya.

“Saya dan rakan harus belajar daripada kesilapan serta mendengar tunjuk ajar cikgu dengan sebaiknya agar dapat menghasilkan karya yang bagus,” katanya.

Menurut Baharudin, sejak usia Muhammad Wasif dua tahun, dia memang mudah tertarik dengan imej, simbol dan logo yang terdapat di mana-mana saja.

Sekiranya dia melihat di dalam buku atau majalah, imej berkenaan akan digunting dan dilekatkan di dalam buku untuk dijadikan koleksi peribadi.

Sehingga kini, terdapat lebih 500 imej berada dalam simpanannya. Justeru, apabila mendapat tahu mengenai studio Chili Padee yang menyediakan kemudahan pembelajaran seni grafik dan animasi, Baharudin menghantar anaknya ke situ.

“Profesion saya ialah guru pendidikan seni dan mungkin sebab itu, darah seni itu menular ke dalam diri Wasif, cuma perbezaannya apabila dia tidak pandai melukis manakala saya pula kurang mahir menggunakan komputer.

“Bakat Wasif turut memberi kelebihan kepada saya kerana dia boleh membantu saya membuat bahan bantu mengajar menggunakan grafik dan animasi agar dapat menarik perhatian pelajar.

“Secara tidak langsung, saya juga berpeluang mempelajarinya menerusi Wasif sedikit demi sedikit. Bahan bantu mengajar melalui kaedah ini sememangnya berkesan kerana pelajar saya lebih menumpukan perhatian dan fokus ketika di dalam kelas.

“Pergerakan, bunyi dan warna yang dipilih membuatkan mereka sentiasa berasa teruja serta ternanti-nanti topik yang mahu dibincangkan,” katanya.

Sementara itu, pengasas studio Chili Padee, Sazrul Zakri Zakariya berkata, penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bukan hanya tertakluk kepada pelajar dewasa tetapi juga dalam pembelajaran kanak-kanak.

Mempunyai ilmu dalam bidang grafik dan animasi, Sazrul Zakri yang mesra disapa Zack mahu berkongsi ilmu itu dengan masyarakat.

Bermula mengajarnya kepada kanak-kanak, Zack percaya pendidikan pada awal usia memudahkan mereka menguasai ilmu dengan lebih sempurna. Di luar negara, perkara ini bukan lagi sesuatu yang luar biasa kerana mereka sudah jauh ke depan berbanding kita.

Pembelajaran di studio berkenaan mempunyai dua tahap iaitu tahap satu untuk animasi wajah manakala tahap dua animasi seluruh tubuh. Ia bermaksud, pelajar akan mempelajari dan menduduki peperiksaan terlebih dulu pada tahap pertama yang memerlukan mereka menggerakkan dan memasukkan bunyi pada bahagian wajah sebelum lulus untuk ke tahap seterusnya.

Perisian yang digunakan iaitu Real Illusion didatangkan khas dari Amerika Syarikat dan amat mudah untuk dikendalikan.

“Tujuan saya membuka studio ini bukan semata-mata mahu mendidik, memberi pendedahan serta peluang kepada anak muda mendalami dunia grafik serta animasi tetapi ia lebih daripada itu.

“Saya mahu menyediakan satu landasan kepada mereka iaitu bakat, kebolehan dan kelebihan mereka ini mampu membuatkan mereka mempunyai nilai tambah diri.

“Hal ini bermaksud, mereka mempunyai perbezaan dengan individu lain yang hanya handal dalam satu bidang. Sekiranya mereka sudah dewasa kelak dan memilih kerjaya masing-masing serta mahu menambah duit poket, mereka juga boleh menggunakan kelebihan ini untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Kelas yang dijalankan di studio Chili Padee hanya berlangsung setiap hujung minggu dan tidak sesekali mengganggu aktiviti harian sekolah pelajar melainkan mendapat persetujuan keluarga untuk melakukan kelas tambahan.

Dia juga berinteraksi dan mendekati pelajarnya seorang demi seorang agar mereka dapat memahami setiap topik dengan lebih berkesan.

Baharudin turut berpendapat, dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak contohnya di peringkat prasekolah dan sekolah rendah, multimedia memainkan peranan penting kerana kanak-kanak memerlukan satu pembelajaran yang menarik bagi memastikan proses menimba ilmu lebih berkesan.

Justeru, tidak salah guru menggunakan pengajaran yang berorientasikan penggunaan multimedia agar proses pengajaran dan pembelajaran itu mudah dan cepat.

Sehubungan itu, kemahiran yang tinggi diperlukan bagi menggabungkan pelbagai media berkenaan dalam satu produk multimedia terutama dalam bidang pendidikan.

Ini kerana pelbagai aspek seperti reka bentuk grafik, pemilihan audio, cara mempersembahkan animasi serta pemilihan warna sesuai perlu diambil kira dalam membangunkan sesebuah produk multimedia agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih berkesan.

“Bukan tiada langsung pembelajaran cara begini dilakukan di sekolah tetapi ia tidak terlalu memberangsangkan. Sememangnya sesuatu pengajaran itu akan lebih menarik dan kefahaman akan meningkat sekiranya penjelasan dibuat menggunakan alat bantu mengajar bersesuaian.

“Kita tahu tidak semua orang menerima dan menyerap pembelajaran dengan cara yang sama. Ada orang boleh menumpukan perhatian dengan cara pendengaran manakala yang lain perlu melihat gambar dan contoh.

“Jadi, perlu untuk pengajar mempelbagaikan kaedah penyampaian dengan beberapa cara atau menggabungkan beberapa kaedah supaya tahap kefahaman menjadi lebih tinggi, bukannya dengan penulisan nota semata-mata,” katanya.

Selain itu menerusi cara ini juga, kanak-kanak boleh menjadi lebih kreatif dan berimaginasi. Studio Chili Padee terletak di Taman Industri Bolton, Batu Caves, Selangor. Untuk maklumat lanjut, layari class=”right”>Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

693 views