Rekaan Anggun, Ringkas
Beg tangan sememangnya aksesori yang amat digemari semua golongan wanita, tidak kira lapisan umur, bangsa atau kedudukan, sehinggakan ada yang memiliki puluhan beg semata-mata untuk disesuaikan dengan warna baju, jenis fabrik pakaian serta aksesori lain seperti kasut dan perhiasan diri.
Ada yang memilih beg tangan berdasarkan rekaannya tetapi tidak kurang juga yang mahukan sebuah beg berkualiti tinggi serta praktikal yang boleh disesuaikan dalam semua pakaian dan keadaan.
Selalunya orang yang membuat keputusan memilih beg yang praktikal adalah golongan wanita berkerjaya yang sering sibuk dan tiada masa menukar beg di saat akhir hanya untuk bergaya.
Lagipun golongan itu mempunyai lebih banyak stok barang untuk dibawa ke sana-sini seperti iPad, komputer riba atau fail yang sememangnya memerlukan ruang yang besar.
Bagi gadis pula, mereka lebih menggemari warna terang dan rekaan beg yang lebih santai, tetapi semakin ramai memilih beg bersaiz besar kerana mengikut gaya semasa.
Bagi pemilik jenama Tiger Lily yang juga pereka beg, Liyana Abdul Rahman, 27, dia melihat terdapat sedikit perbezaan cita rasa antara golongan wanita muda dan sudah berusia atau pelajar dan wanita berkerjaya, namun mereka terutama dalam lingkungan usia 25 tahun ke atas lebih menggemari beg praktikal dan cantik tetapi pada harga berpatutan.
Dia pula cuba sebaik mungkin untuk memenuhi semua kehendak pelanggan dengan menghasilkan beg yang tidak terlalu ‘meriah’, tetapi pada masa sama kelihatan cantik dan bergaya.
“Kalau dilihat apa yang cuba saya tonjolkan di sini adalah rekaan yang anggun, ringkas dan paling penting pada harga bawah RM100. Saya mahu pelanggan rasa berbaloi membeli beg berkualiti dan boleh dipadankan dengan semua pakaian apatah lagi dalam situasi ekonomi sekarang.
“Tidak perlu berbelanja besar tetapi mereka tetap boleh bergaya dengan beg yang bagus. Namun saya perhatikan gadis remaja seperti pelajar masih terlalu terikut-ikut untuk memiliki beg berjenama mahal.
“Bagi wanita berusia 25 tahun ke atas yang sudah mula bekerja, mereka mencari beg yang lebih praktikal untuk memuatkan semua barangan, mudah dibawa dan selesa disandang pada bahu,” katanya yang memiliki lot kedai di Plaza Shah Alam, Seksyen 9, Shah Alam.
Sebagai wanita, dia memahami keinginan wanita yang dapat dilihat pada beg keluarannya. Ini kerana penghasilannya difikirkan secara teliti termasuk bahan, bentuk serta tali beg yang direka lebih lebar bagi memberi keselesaan dan mengurangkan rasa lenguh pada bahu biarpun digantung lama.
Malah hubungan baik yang terjalin dengan pelanggan membolehkannya mendapat reaksi serta mengambil berat pandangan pelanggan sebelum menghasilkan sesuatu rekaan beg.
Dia yang serius dalam penjualan beg dan aksesori sejak dua tahun lalu berkata, selain pandangan pelanggan yang diberi perhatian serius, dia turut memerhatikan gaya terkini wanita dan kesukaan mereka.
Namun katanya, bagi setiap beg rekaannya yang dikenali sebagai Signature by Tiger Lily, dia seboleh-bolehnya cuba untuk memulakan gaya terkini, bukannya sekadar menjadi pengikut.
“Biarpun rekaan beg saya banyak yang boleh dikira sebagai ‘selamat’ iaitu boleh dipadankan dengan apa juga majlis, pakaian dan suasana, saya turut mengeluarkan rekaan daripada fabrik yang menonjolkan motif bulu harimau bintang yang selalunya hanya dibeli oleh orang yang memang berani bergaya.
“Selepas dua tahun menjalankan perniagaan ini saya boleh mengagak minat atau kecenderungan pelanggan pada jenis beg tertentu. Saya tidak akan memaksa mereka membeli beg yang dirasakan tidak serasi, malah menggalakkan mereka mendapatkan beg yang dirasakan sesuai dan selesa buat mereka.
“Kami mahu hubungan berpanjangan dengan pelanggan jadi saya hanya akan bercakap yang benar sama ada sesuatu beg sesuai dengan kehendak atau keperluan mereka kerana saya tidak mahu mereka membeli beg kemudian tidak memakainya,” katanya yang turut memaparkan koleksi beg di facebook/locololabags serta Instagram liyanalalala.
Menurutnya, semua rekaan dan warna yang ditampilkannya dihasilkan dalam jumlah yang terhad bagi menjaga nilai eksklusif setiap beg dan supaya pelanggan dapat bergaya dengan beg tersendiri, bukan yang dikeluarkan secara besar-besaran. Begitu juga warna pilihan yang unik dan tidak mudah diperoleh.
Baginya, wanita perlu menggayakan beg yang paling memenuhi cita rasa dan keselesaan, biarpun kemungkinan mereka sudah memiliki banyak beg yang mempunyai rekaan atau warna yang sama.
“Pernah saya menjual pada seorang pelanggan yang mahu mencuba beg warna lain sedangkan dia sukakan warna merah. Dia agak was-was untuk menukar cita rasa, jadi saya nasihatkan beli saja beg warna merah sekiranya itu yang disukai kerana jika tidak, tentu beg berkenaan tidak dipakai dan merugikan pelanggan itu sendiri,” katanya.
Setiap minggu, Liyana pasti menampilkan dua hingga empat rekaan beg terbaru bagi memberikan pilihan terkini dan kesegaran kepada pelanggan terutama pembeli tetap yang menjadikan beg keluarannya sebagai pilihan.
Bagi yang tidak mahu berhabis wang dengan membeli beberapa jenis beg, mereka boleh menggayakan satu beg tetapi boleh diubah mengikut kesesuaian suasana misalnya ketika bekerja, memakai beg bertali pendek dan menukar kepada tali panjang untuk bersantai atau membuka tali untuk digayakan pada majlis.
Liyana berkata, pengetahuan mengenai fesyen semasa dan kehendak pelanggan perlu diberi perhatian bagi sesiapa yang ingin berjaya dalam apa juga perniagaan yang diusahakan malah dia menyarankan seseorang untuk menambah ilmu dari segi akaun, pemasaran serta menjaga hubungan baik dengan pelanggan.