Rekaan Eksklusif

Gaya bersukan dan keselesaan menjadi sumber inspirasi untuk koleksi musim luruh dan dingin 2013. Berasaskan semangat bergaya di samping menggapai cita-cita, setiap satu koleksi menampilkan fesyen bersukan yang diinginkan.

Koleksi terbarunya banyak mendedahkan gaya hidup kumpulan yang mempengaruhi budaya, sikap dan gaya yang bercita-cita tinggi.

Berjalan di kota Paris, Los Angeles dan bandar New York bersama koleksi Directors daripada jenama Puma, ia sedikit sebanyak memberi keselesaan walaupun perlu aktif bergerak.

Koleksi kasut terbaru yang diketengahkan itu bertujuan meningkatkan gaya bermusim yang dipenuhi rekaan kreatif, visi dan keghairahan bergaya yang sedang bermula.

Himpunan pertama yang diperkenalkan menerusi koleksi Directors adalah Illustrator, Designer dan gaya tersendiri ‘Bun’ Queen, Sophia Chang.

Dilahirkan dan dibesarkan di bandar besar New York, semangat Sophia untuk menonjolkan rekaan kasut dan budaya pop yang diketengahkan dapat dilihat menerusi gambar menarik pada rakaman kameranya.

Ditugaskan untuk menaikkan kembali rekaan eksklusif kasut wanita, Sophia dan kumpulannya menggunakan jalan di bandar Los Angeles dan New York sebagai latar belakang untuk menghasilkan visual berwarna-warni, spontan serta berkuasa.

“Bagi saya, projek ini mengenai pengalaman memberi wanita kuasa untuk menampilkan gaya mereka sendiri.

“Justeru, koleksi Puma Women’s Lifestyle mempamerkan warna terang dan garang, sama seperti ciri-ciri wanita yang menggayakannya.

“Saya mahu memastikan reka bentuk kasut ditampilkan membawa wanita hidup dalam ilustrasi dan imej yang lebih menarik,” katanya.

Sementara itu, gaya klasik Sky Hi dapat dilihat jelas pada koleksi kasut bola keranjang yang mula diperkenalkan pada 1992 manakala sentuhan futuristik Slipstream pula diadun dengan cetakan haiwan untuk memberi inspirasi pada aliran fesyen masa depan yang lebih memukau.

Imej fotografi dan ilustrasi Sophia akan menghiasi laman web puma.com dan boleh dilihat menerusi saluran media sosial jenama berkenaan termasuk Instagram serta Tumblr bermula 12 September hingga 18 September lalu.

Koleksi kasut wanita untuk musim luruh dan dingin itu boleh didapati di cawangan jenama berkenaan atau menerusi shop.puma.com bermula Oktober ini.

Panjangkan hayat kasut

Kasut yang baru dibeli tidak sampai seminggu sudah rosak? Jika situasi ini selalu terjadi, jangan pandang ringan mengenai aspek penjagaannya sekiranya kita tidak mahu wang melayang untuk membeli kasut baru.

Membeli memang mudah namun menjaga kasut adalah satu perkara yang dianggap remeh. Justeru, ia sering dilupakan sehingga anda berasa kecewa apabila mendapati kasut yang ingin digayakan sudah rosak atau koyak.

Antara cara yang boleh membantu kita memanjangkan hayat kasut kesayangan:

Sekiranya kasut basah kerana hujan, jangan gunakan pengering rambut untuk mengeringkannya. Biarkan kasut kering sendiri pada suhu bilik. Haba yang berlebihan boleh merosakkan kasut selain menjadikannya longgar, mengelupas, pudar warnanya dan mudah merekah.

Simpan kasut di tempat yang terbuka atau ada pengudaraan yang baik untuk membolehkannya ‘bernafas’ dan sentiasa kering. Ia juga dapat mengelakkan kasut daripada berbau. Kelembapan boleh menyebabkan pembiakan kulat pada kasut khususnya kasut kulit.

Sumbatkan kertas atau surat khabar lama dalam kasut untuk mengekalkan bentuknya supaya ia tidak mengecut atau longgar.

Kasut kanvas atau diperbuat daripada fabrik boleh dicuci menggunakan mesin basuh atau cucian tangan. Namun jangan lupa untuk menyumbat surat khabar lama dalam kasut berkenaan sebelum dicuci untuk mengekalkan bentuknya.

Sekiranya kasut kotor atau terkena lumpur, basuh segera. Membiarkan lumpur pada permukaan kasut membuatkan kasut cepat lusuh dan reput.

Jangan amalkan merendam kasut sukan sebelum dibasuh. Ia menyebabkan gam pada bahagian tertentu kasut termasuk bahagian tapak mudah tanggal.

Basahkan kasut dan basuh segera. Gunakan berus kasut yang sederhana keras. Berus keras mudah merosakkan fabrik pada kasut.

Selepas dibasuh, jemur kasut segera. Letakkan ia secara menegak. Elakkan menjemur kasut dengan tapaknya di bawah kerana panas yang keterlaluan boleh menyebabkan getahnya cepat rosak.

Elakkan membasuh kasut sukan menggunakan mesin basuh. Walaupun kasut lebih cepat kering, tetapi ia mudah koyak dan rosak.

Segera perbaiki kasut jika mendapati ia rosak atau koyak kecil di bahagian bergam. Kerja mudah seperti menyapu gam dan menjahitnya boleh dilakukan sendiri di rumah.

Kasut kulit jenis suede dan nubuck perlu rajin dibersihkan dengan cara memberusnya bagi membuang kesan kotor dan habuk yang melekat.

Selepas membeli, sembur kasut kulit berkenaan dengan semburan kalis air atau minyak pada permukaan kasut. Ini dapat mengelak daripada air atau minyak menyerap masuk ke dalam kasut, sekali gus merosakkannya. Semburan ini tahan selama seminggu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

770 views