Rekaan Memikat

Jika ditanya wanita, perhiasan yang wajib dibawa sebagai pelengkap gaya, pasti beg atau tas tangan menjadi keperluan utama. Tidak lengkap rasanya penampilan tanpa aksesori utama kerana beg sama ada digenggam atau disandang memperlihatkan sisi berbeza apatah lagi digayakan dengan kasut atau topi sepadan.

Memenuhi keinginan wanita yang inginkan penampilan berbeza, Balenciaga memperkenalkan himpunan musim panas 2013 yang penuh dengan warna serta mempunyai hubungan dengan kebebasan serta pergerakan badan.

Umum mengakui wanita inginkan keselesaan dalam penggayaan sama ada menerusi padanan busana, kasut, beg tangan dan perhiasan diri seperti anting-anting, gelang dan rantai.

Ini kerana rasa selesa akan memperlihatkan keyakinan diri tatkala berhadapan dengan orang ramai.

Rekaan bermutu dan potongan memikat menjadikan setiap koleksi tampil menyerlah dalam apa juga acara.

Selain warna pastel seperti hitam, coklat dan putih, jenama ini turut memperkenalkan warna lembut seperti merah jambu dan hijau untuk beg tangan manakala kasut menggunakan rona terang seperti kuning, hijau dan merah jambu sebagai ungkapan rasa gembira dan ceria.

Tampil unik menerusi kasut bertumit yang diberi sentuhan segar pada rekaan tali, menjadikan setiap padanan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Bagi penggemar gaya bertopi, jenama ini memperkenalkan topi comel daripada fabrik berbulu dan kapas. Rona pastel dan ceria seperti biru dan merah jambu malap sesuai digayakan remaja.

Untuk lebih menyerlah, apa kata tambahkan perhiasan seperti gelang, cincin dan rantai berpotongan ringkas namun mampu menampilkan kemewahan si pemakai. Perhiasan musim panas jenama ini kini boleh didapati di semua pusat beli-belah utama yang menyediakan koleksi Balenciaga.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,022 views