Rekaan Mewah, Ada Kelas Tersendiri

SETIAP padanan digayakan peragawati manis ini bagaikan tiada cacat celanya. Helaian lembut pada tubuh tinggi lampai ini begitu menggoda setiap kali lensa kamera diacukan kepadanya. Beralun cantik terutama pada gaun kembang ala jubah yang memperlihatkan sisi anggun si pemakai. Bagi mereka yang ingin mencari kelainan, rekaan terkini Izz Zara Aidilfitri daripada pereka terkenal Ezuwan Ismail tentunya bakal menghiasi padanan anda pada lebaran mulia.

Jika tahun lalu pereka yang mendapat pendidikan daripada Akademi Antarabangsa Seni Rekaan Fesyen (IFTC) mengetengahkan rekaan jubah moden satin tulle dengan perincian manik dan jemeki pada bahagian dada, lengan dan leher, tidak mahu terlalu stereotaip dia cuba mencari kelainan dengan menampilkan baju kurung dan jubah moden sesuai untuk semua golongan usia.

Mengetengahkan enam rekaan baju kurung dan enam jubah moden, menurut Ezuwan pada tahun ini idea potongan segar dan ringkas pada masa sama menonjolkan keanggunan wanita menjadi nadi dalam penghasilan busana. Rata-rata wanita tidak mahu keterlaluan dalam penggayaan terutama padanan untuk hari raya.

“Selepas membuat sedikit kajian dan meneliti kegemaran wanita masa kini, maka lahirlah koleksi Izz Zara Aidilfitri mengambil inspirasi daripada kelahiran anak saudara kelima ketika saya sedang sibuk menyiapkan koleksi hari raya tahun ini,” ujar anak kelahiran Kelantan ini.

Kebijaksanaan pereka dapat dilihat menerusi potongan jahitan lisu pada bahagian depan baju serta panel pada bahagian lengan menjadikan rekaan menyerlah anggun pada fabrik renda dan sifon.

“Saya menggabungkan material sifon dan renda pada padanan bersesuaian kerana kedua-dua fabrik ini ternyata mampu memberikan impak menarik kepada si pemakai manakala jahitan panel menjadikan busana tidak bosan dipandang,” katanya.

Bagi jubah pula Ezuwan menerapkan potongan kaftan pada bahagian atas dengan bentuk lengan lebih kurus serta diberikan getah pada bahagian pinggang. Ini bagi menyesuaikan dengan pemakaian semua golongan wanita sama ada berbadan langsing atau sedikit berisi. Lebih penting setiap busana tampil selesa dan longgar menepati ciri wanita Muslimah.

“Bagi wanita bertudung mereka tidak perlu bimbang kerana setiap jubah mengetengahkan fabrik yang tidak jarang dan melekat pada tubuh. Lebih penting ia longgar dan labuh,” jelasnya.

Walaupun menggunakan fabrik polos ternyata menerusi perincian manik pada bahagian tertentu menjadikan setiap helaian tampil mewah dan berada dalam kelas tersendiri. Tidak keterlaluan dikatakan selain sesuai untuk padanan raya juga sesuai digayakan ke majlis rasmi dan kasual.

Bagi menjadikan setiap busana anggun dan menawan, Ezuwan sangat teliti dalam pemilihan warna. Rona segar serta lain daripada lain digarap indah pada helaian rekaannya. Hijau zamrud, merah jambu, kuning mustard, biru kelasi menjadikan setiap padanan anggun dipakai sesiapa saja, malah semua rona ini sesuai untuk wanita Melayu yang ingin tampil ringkas dan sopan pada hari mulia.

Selain menyediakan padanan sedia pakai, pelanggan boleh membuat tempahan dengan memilih fabrik serta rekaan yang diminati pada harga berlainan. Izz Zara Aidilfitri kini boleh didapati di butik Ezuwan Ismail pada harga RM1,500 sehingga RM1,800.

Terima kasih Ezuwan Ismail (012-2646871) atau boleh melayari laman sesawang www.ezuwanislamil.blogspot.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/27

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,765 views