Rekaan Mewah Untuk Semua Golongan

Hujan lebat yang mencurah pada petang itu serta kegelisahan dek kerana lama menunggu majlis bermula, akhirnya berbalas dengan kehadiran barisan peragawati bersama 24 persalinan memikat di pentas peragaan karya pereka terkenal Jovian Mandagie.

Ruang yang agak sempit tetapi diserikan penataan gaya ala Inggeris dengan jambangan mawar pelbagai warna mengelilingi langkah peragawati sambil diiringi alunan muzik perlahan. Dimulakan dengan padanan rona lembut krim, kuning susu dan putih setiap helaian pastinya menepati inspirasi rekaan dalam mengetengahkan nama Orkid itu sendiri.

Mengambil nama bunga sebagai tema penggayaan pereka yang baru-baru dinobatkan sebagai Mercedes Benz Designer 2013 menjelaskan pemilihan Orkid kerana ia bunga paling unik di dunia kerana menonjolkan ciri-ciri wanita moden. Batang pokok orkid menyerupai asas seorang wanita yang kuat dan berdaya tahan. Jangka hayat orkid pula menggambarkan ketahanan wanita manakala bentuknya memberi semangat serta gaya elegan kepada kaum hawa.

“Bunganya yang mempunyai tekstur lembut seakan sutera serta struktur kelopak memberi inspirasi kepada saya dalam menghasilkan rekaan. Malah setiap potongan diperkemaskan dengan perincian adi busana seperti sulaman, cetakan pada kain yang direka khas bagi mewujudkan corak bunga,” ujarnya.

Menghasilkan 24 helaian busana indah koleksi ini mempamerkan elemen kontemporari moden dengan penghasilan baju kurung moden, kurung labuh tradisional, kebaya, kaftan dengan suntikan peplum yang sinonim dengan tanda pengenalan Jovian iaitu pada potongan duyung dan kembang.

Dia bijak menggabungkan perincian pada bahagian bahu dan hujung baju manakala hiasan tali pinggang menambah kemasan ketika bergaya. Selain itu bagi mengekalkan kualiti serta persembahan, Jovian memilih fabrik yang mampu mencetuskan keindahan kepada si pemakai.

Sifon, renda dan satin adalah tiga gabungan hebat yang bukan saja membuatkan helaian beralun cantik pada tubuh si pemakai malah menjanjikan kesempurnaan gaya. Paling penting ia tidak mahal dan mampu dimiliki semua.

Jika dulu rekaan Jovian dikatakan hanya mampu dimiliki golongan berada saja tetapi sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang selama ini banyak memberikan sokongan himpunan Orkid didatangkan pada harga yang cukup meyakinkan dan rendah menerusi kerjasama dengan pasar raya besar Tesco Malaysia.

Ujar Jovian, kerjasama Tesco dan Jovian memberi peluang kepada peminat fesyen khususnya pelanggan Jovian di seluruh Malaysia memiliki sehelai busana eksklusif pada harga berpatutan bermula RM199.

Menurut Pengarah Komersial Pakaian Tesco Malaysia Hem Patel, kerjasama dengan pereka fesyen terkenal menjadi acara tahunan di Tesco.

“Tahun lepas kami bekerjasama dengan Rizalman Ibrahim dengan menawarkan pelbagai busana eksklusif pada harga terhebat. Kali ini kami memilih Jovian selepas menyedari kebolehannya dalam menghasilkan rekaan dan amat teruja menantikan maklum balas pelanggan,” kata Patel.

Selain rona lembut koleksi Orked turut menyediakan warna cerah seperti ungu, merah jambu, hijau pudina, hijau zamrud dan kuning yang pastinya menepati selera wanita. Kesemua 24 persalinan ini akan berada di 20 pasar raya Tesco terpilih seluruh Malaysia bermula 24 Jun ini. Antaranya Tesco Ampang, Mutiara Damansara, Kota Bahru, Klang, Seremban 2, Desa Tebrau, tanjung Pinang, Shah Alam serta Nilai.

Peminat fesyen yang ingin membuat tempahan dalam ukuran mereka boleh berbuat demikian bermula 15 hingga 26 Mei ini menerusi laman sesawang www.tesco.com/orkedbyjm. Dengan setiap tempahan awal pelanggan akan menerima selendang eksklusif Orked oleh Jovian bernilai RM49. Bagi pelanggan yang sudah membuat tempahan boleh mengambil pakaian mereka di pasar raya Tesco terpilih bermula 17 hingga 23 Jun ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

386 views