Rekaan Ringkas, Berkualiti Tetapi Bergaya

RINGKAS, cantik, berkualiti dan paling penting harga berpatutan. Ciri ini menjadikan produk Uniqlo mudah diterima di seluruh dunia termasuklah di negara yang mempunyai limpahan jenama pakaian tempatan terkenal seperti di Amerika Syarikat.

Sambutan yang diterima dari penduduk kota metropolitan New York pada pembukaan gedung Uniqlo terbesar di dunia di 5th Avenue membuktikan populariti jenama ini semakin berkembang selepas lima tahun ia diperkenalkan di SoHo pada 2006.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Uniqlo, Tadashi Yanai sendiri tidak sangka dengan reaksi yang begitu menggalakkan dari penduduk New York dan ia disifatkan sebagai kejutan yang menggembirakan. Manakan tidak, gedung Uniqlo di 5th Avenue itu bukan saja yang terbesar di dunia, tetapi mempunyai rekaan dalaman yang berbeza dan akan menjadi gedung model bagi cawangan Uniqlo lain kelak.

Dalam seminggu, Uniqlo membuka dua gedung terbesar dan kedua terbesar di dunia iaitu di 5th Avenue dan 34th Street yang terletak antara 5th dan 6th Avenue (yang menjadi cawangan ketiga di New York).

Apa rasionalnya membuka dua gedung besar dalam tempoh yang singkat ini? Membuka gedung terbesar di New York umpama mimpi jadi kenyataan kerana kota metropolitan itu boleh dianggap sebagai pentas peragaan terkemuka di dunia.

“Jika bercakap pasal sewa, saya akui sewanya paling mahal, tetapi kalau seseorang itu boleh berjaya di sini (New York), dia boleh berjaya di mana saja.
Memang sewanya mahal, tetapi rasanya masih mampu bayar,” kata Yanai sambil ketawa.

“Ada yang menganggap dengan kemunculan tiga gedung besar itu menandakan budaya dan rekaan Jepun sudah berakar umbi di barat. Apabila orang terima produk Jepun bermakna mereka juga terbuka kepada budaya kami.

“Elemen Jepun boleh diterima ialah barang bermutu tinggi, nampak comel, manis dan bergaya. Pada masa sama kami cuba terap nilai budaya Jepun seperti bersopan, baik dan murah hati,” katanya.

Ada pula yang bertanya, apakah Uniqlo akan mengubah konsep rekaannya untuk bersaing dengan jenama pakaian eksklusif lain apabila berada di pentas peragaan dunia itu. “Tidak. Konsep rekaan akan kekal. Kami tetap akan menghasilkan rekaan asas yang berkualiti tetapi bergaya. Ia sesuai dengan definisi Uniqlo itu sendiri iaitu dihasilkan untuk semua.

“Uniqlo tidak akan menghasilkan rekaan mahal dan berkualiti rendah. Apa-apa saja lari daripada konsep ringkas, kami tidak akan buat,” katanya.

Yanai bagaimanapun tidak menafikan wujudnya pandangan sinis pada jenama dan ramai membandingkan Uniqlo dengan jenama Amerika yang lain. Namun, jawapan diberikan Yanai mengenai perkara ini sangat mudah iaitu ‘Cuba dulu, baru tahu’.
Memang, kita tidak akan tahu keselesaan satu-satu jenama pakaian sehinggalah mencubanya.

“Saya mahu orang beli barangan Uniqlo kerana percaya dan selesa dengan jenama kami. Saya juga tidak akan gembira jika orang beli produk Uniqlo hanya kerana ia dari Jepun dan bukannya disebabkan mereka sukakan kualiti produk kami,” katanya yang mensasarkan untuk memiliki 4,000 cawangan di seluruh dunia menjelang 2020.

Ditanya rancangan di Malaysia, Yanai berkata, “Awak rasa berapa cawangan Uniqlo perlu ada?” Apabila wartawan menjawab ‘tiga’, Yanai ketawa kerana jumlah itu kecil bagi 28 juta rakyat Malaysia apatah lagi katanya penduduk negara ini ‘gemar membeli-belah’.

“Saya harap dapat buka 150 hingga 200 cawangan di Malaysia dalam masa 10 tahun.
Anda bertuah tinggal di Asia yang bakal jadi pusat pertumbuhan ekonomi dunia…dan di situlah kami akan berada. Tunggu ye!” katanya ketawa.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

991 views