Rekaan Ringkas, Tidak Terlalu Sarat

GAUN labuh membaluti tubuh model tinggi lampai ternyata menyerlah dengan kuntuman bunga segar menghiasi celahan rambut. Tampil tanpa layah, setiap padanan pastinya mengungkapkan cita rasa tinggi pereka yang dapat dilihat menerusi potongan sederhana namun memikat.

Tidak hairan ilham pengantin moden mengambil inspirasi tradisional kebaya dan sentuhan Inggeris digarap indah pada helaian fabrik.

Bagi pereka muda, Rico Rinaldi yang dulunya dikenali sebagai pereka adi busana serta fesyen bernilai tinggi kini tampil dengan rekaan busana pengantin yang lebih eksklusif dan menyerlah bagi mereka yang inginkan kelainan.

Menggunakan label Atelier Rinaldi, menurut Rico, Atelier Rinaldi dipilih kerana kecintaan yang begitu mendalam terhadap dunia seni, sekali gus mengembangkan bakat dalam bidang rekaan busana pengantin yang mampu memberikan daya imaginasi yang tinggi.

“Sebelum ini saya lebih tertumpu kepada pakaian sedia dipakai seperti gaun yang agak terhad penggunaannya. Lantaran ramai bertanya mengapa saya tidak menghasilkan busana pengantin, lalu saya memberanikan diri mencuba dan hasilnya dapat dilihat menerusi padanan yang dipersembahkan pada hari ini,” katanya.

Atelier Rinaldi bukan hanya menjurus kepada pakaian untuk raja sehari, malah merangkumi dekorasi pelamin dan hantaran mempelai.

Melihat kepada hampir semua padanan yang ditampilkan, cita rasa dan idea himpunan ratu sehari ini sememangnya berbeza.

Pereka kelahiran Kajang ini mengakui dia amat menitikberatkan rekaan ringkas dan tidak terlalu sarat. Paling penting, keselesaan si pemakai tidak kira sama ada busana itu berkonsepkan tradisional atau moden.

Menggunakan songket eksklusif, renda Itali, sifon dan satin kerana semua fabrik ini lembut dan terletak cantik pada tubuh si pemakai. Pemilihan fabrik biasanya mengikut potongan rekaan dan paling penting sesuai dengan bentuk badan mempelai.

Selain bijak memilih rona seperti putih, krim, merah jambu lembut, kuning cair dan kelabu, keistimewaan Atelier Rinaldi adalah pada perincian manik yang begitu teliti dan kemas pada bahagian dada, leher dan tangan.

Rico bijak memilih jenis dan warna manik untuk disatukan dengan rona fabrik serta menggunakan kemahiran jahitan manik pada semua baju rekaannya.

“Saya memang gemarkan fabrik polos pada helaian sifon dan renda kerana apabila perincian manik ditambah, pakaian akan tampak hebat dan mewah,” kata Rico yang pernah menjulang piala Pereka Muda Terbaik pada Festival Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) 2011 serta anugerah Piala Seri Indon 2009.

Mengagumi rekaan pereka tersohor Rizalman Ibrahim menerusi potongan busana pengantin yang memikat dan segar serta perincian manik mewah dan classy, menjadikan setiap rekaannya berada dalam kelas tersendiri.

Untuk pakaian sedia dipakai dan kasual, pereka Melinda Looi dan Bernard Chandran menjadi idolanya sejak dulu hingga sekarang.

“Bagi saya, ketiga-tiga pereka ini tiada tolok bandingnya. Mereka bukan saja terkenal di Malaysia malah luar negara. Inspirasi mereka menjadi nadi kepada saya untuk terus berkarya,” katanya yang mula menjahit sejak berusia 10 tahun.

Bagi Rico, selain potongan dan fabrik dalam sesuatu rekaan, memiliki keserasian serta ketepatan konsep dan tema majlis menjadi keutamaan. Oleh itu, dia sering berbincang dengan mempelai mengenai potongan yang dikehendaki mereka dengan melihat konsep pelamin serta keseluruhan majlis.

Namun dia menyarankan supaya mempelai memilih potongan yang tidak terlalu terdedah dan seksi. Ini kerana pakaian yang sopan dan menawan akan kelihatan lebih anggun di mata tetamu.

Busana Atelier Rinaldi disasarkan kepada semua golongan khususnya berpendapatan sederhana dan ke atas. Ia adalah padanan yang direka khas dan perlu ditempah.

Tempahan boleh dibuat menerusi temu janji di studio di Kajang, Selangor. Harga bergantung kepada nilai sesuatu rekaan.

Bagi mereka yang inginkan panduan serta tip perkahwinan, boleh menghadiri Expo Gerbang Cinta Perkahwinan dan Fesyen 2012 yang diadakan di Dewan Perdana PICC Putrajaya pada 24 dan 25 Mac ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam atau melayari laman sesawang www.ricorinaldi.com atau www.icorinaldi.blogspot.com.

Panduan untuk bakal pengantin

Melihat profil pereka

Bagi memastikan mempelai tidak salah memilih pereka, sebaiknya mereka perlu melihat profil serta pengalaman pereka.

Bagi mereka yang mempunyai bajet rendah, boleh memilih pereka muda yang baru membabitkan diri dalam bidang rekaan. Tetapi pastikan mereka mempunyai kepakaran dalam seni rekaan busana pengantin dan pernah menghasilkan baju untuk pelanggan.

Konsep majlis

Terdapat banyak konsep diketengahkan antaranya Inggeris, tradisional atau kontemporari. Selepas menetapkan konsep diinginkan, barulah mempelai boleh memilih pakaian diidamkan. Pastikan anda melihat jenis fabrik serta potongan dilakarkan pereka.

Warna

Pemilihan warna sangat penting. Rona pakaian haruslah serasi dengan warna pelamin. Pastikan pakaian tidak ditenggelamkan warna pelamin. Sebaiknya, pilih warna yang mampu menonjolkan penampilan di mata tetamu.

Warna pakaian keluarga pengantin

Ramai orang tidak mengambil kira perkara ini, padahal ia sangat penting.
Selepas anda menetapkan warna pakaian, barulah anda boleh memilih pakaian ahli keluarga. Sebaiknya, warna pakaian ahli keluarga tidak begitu menonjol sehingga menenggelamkan keanggunan raja sehari.

Selesa dipakai

Pakaian yang dipilih harus selesa dipakai. Tidak terlalu panas sekiranya menggunakan alas baju. Potongan pula tidak seharusnya terlalu ketat sehingga menyukarkan anda berjalan.

Konsep lengkap Muslimah

Bagi mempelai bertudung, anda harus menetapkan jenis tudung dan layah yang akan dipakai sama ada menggunakan tudung bersengkuap, selendang atau gaya berserban.
Berbincang dengan pereka untuk mendapatkan gaya tudung bersesuaian wajah.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,009 views