Resepsi Berdasar Kisah Cinta

PERKAHWINAN adalah refleksi kisah cinta pasangan dalam meraikan penyatuan dua jiwa. Seharusnya perkahwinan nampak unik dengan gaya tersendiri.

Berpegang kepada kata-kata ini, elemen rekaan pada pakaian, fotografi, gubahan bunga, kek serta cenderahati wajar ditonjolkan seiring dengan personaliti, gaya dan cita rasa mempelai.

Dalam erti kata lain, keanggunan pasangan raja sehari bukan saja dilihat pada busana digayakan tetapi lebih daripada itu.

Solekan, gaya rambut, bunga tangan, kek dan gambar pengantin perkara yang menjadi keutamaan supaya majlis gilang-gemilang itu akan diingati hingga akhir hayat.

Pereka busana, Carven Ong yang kini pengasas agensi perancang perkahwinan Wedding Artist by Carven Ong memberitahu, rahsia dalam mengkhususkan perkahwinan pasangan terletak pada konsep dan rekaan berdasarkan kisah cinta pasangan.

“Sebelum membuat rekaan, saya mengambil tahu latar belakang, kisah cinta, jangkaan serta harapan mereka. Selepas memahami semua ini pasukan kreatif saya akan menghasilkan konsep cadangan yang dipersetujui bersama,” ujarnya.

Dalam hal ini, dia menyarankan pasangan yang merancang berkahwin harus bersikap terbuka daripada segi kewangan.

Tidak kira apa juga bajet ditetapkan, paling utama tumpuan kepada perkara penting yang menjadi asas dalam perkahwinan.

“Dalam perkahwinan setiap pasangan mempunyai keutamaan berbeza. Ada yang mewajibkan fotografi sebelum perkahwinan dan sanggup memperuntukkan kos yang besar namun ada pula mementingkan upacara tradisional seperti minum teh, akad nikah serta bersanding.

“Dengan menumpukan kepada keutamaan pasangan, perancang perkahwinan dapat menyarankan perkhidmatan yang tidak melebihi bajet,” jelasnya.

Majlis perasmian yang diadakan di Hotel Prince Residence itu turut diserikan dengan pertunjukan fesyen pengantin digayakan model terkenal tanah air, antaranya Tengku Azura, Elaine Daly, Ratu Cantik Malaysia 2008/2009 Soo Wincci, Thanuja dan pasangan kembarnya, Anuja Ananthan.

Mengambil konsep pengantin eleganza menjelang 2012, setiap rekaannya tampil berbeza dengan memberi tumpuan kepada potongan serta gabungan material.

“Saya teruja dengan rekaan ini kerana setiap padanan dihasilkan lebih terperinci. Ia menggunakan pelbagai fabrik seperti renda, taffeta Itali, sifon Jepun dan satin duchesse yang diberi perincian manik serta sulaman yang indah dan elegan.

“Unsur kemewahan dapat dilihat menerusi fabrik tulle yang sinonim dengan rekaan pengantin bagi menambah nilai gaya serta drama apabila digayakan mempelai,” katanya.

Hadir dengan pelbagai potongan daripada gaya duyung, kembang dan potongan A, Ong menyuntik elemen Hollywood klasik Gone With the Wind bagi menambah nilai feminin dan anggun tatkala mempelai melangkah masuk ke dewan.

Ong percaya perkahwinan adalah sekali seumur hidup justeru, tidak salah sekiranya mempelai memberikan yang terbaik bagi mencetuskan detik berharga yang akan diingati sepanjang hayat.

Bagi pasangan yang merancang melangsungkan perkahwinan pada 2012, Hotel Prince Residence Kuala Lumpur bersama Wedding Artist by Carven Ong akan mengadakan pameran elegan Dream Weddings pada 10 dan 11 Disember ini.

Antara yang terbabit ialah Carven Ong Couture Wedding Specialist, solekan daripada Artist at Work, bunga daripada Bloom-The Floral, Merienda de Eva untuk katering dan manisan serta khidmat perkahwinan daripada Wedding Karren.

Pameran kali pertama ini akan memaparkan perkhidmatan dan barangan perkahwinan mewah antaranya pengalaman mengadakan jamuan perkahwinan di hotel berkenaan dengan pelbagai perhiasan bertema, melihat previu koleksi busana anggun terbaru Carven Ong terdiri daripada gaun perkahwinan dan gaun petang, peluang memperoleh idea untuk membentuk majlis perkahwinan serta pilihan dalam pembiayaan perkahwinan.

Pasangan yang mendaftar untuk sebarang pakej jamuan, hiasan resepsi dan fotografi (sebelum perkahwinan dan hari perkahwinan) layak menyertai cabutan bertuah. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang weddingartistbycarvenong.com.my.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,500 views