Resipi Asli Baba Nyonya

Keenakan dan keunikan rasa di dalam setiap hidangan yang disajikan cukup mengujakan. Mengetengahkan resipi asli kaum Baba Nyonya, Restoran Big Nyonya pastinya menjanjikan pengalaman menarik untuk anda.

Restoran itu beroperasi sejak tiga tahun lalu menggunakan nama Kenny Delight sebelum menukar kepada Restoran Big Nyonya selepas pindah ke Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, Melaka.

Keaslian hidangan istimewa serta makanan Baba Nyonya yang disajikan membuatkan sesiapa saja terutama si pencinta makanan akan teringat untuk datang lagi.

Kesempatan merasai sendiri beberapa hidangan istimewa termasuklah Ikan Goreng Cili Garam, Ayam Pong Teh, Telur Dadar Cencaluk, Udang Lemak Nanas saat berkunjung ke Melaka baru-baru ini benar-benar mengujakan.

Diasaskan oleh chef selebriti yang juga dikenali sebagai Bibik Kim Neo dalam sitcom Baba dan Nyonya satu ketika dulu, Datuk Kenny Chan, semua hidangan yang disajikan menggunakan resipi asli Baba Nyonya.

Kenny yang juga berketurunan Baba Nyonya berkata, resipi yang digunakannya daripada nenek moyang.

“Menu Ikan Goreng Cili Garam adalah salah satu menu paling istimewa di Big Nyonya ini kerana ia adalah resipi arwah ibu saya sendiri dan sangat disukai ramai di samping berlainan daripada apa yang dihidangkan di sini.

“Hidangan ini memang menu asli Baba Nyonya tetapi rasanya berlainan, membuatkan ia menjadi salah satu hidangan yang digemari pelanggan,” katanya.

Ikan Goreng Cili Garam ini dipenuhi cili dan keenakan sehingga menjilat jari.

Selain rasa pedas, anda juga dapat menikmati rasa masam dengan perahan limau, menjadikan rasa lebih nikmat.

Menurutnya, menu lain yang istimewa ialah Ayam Pong Teh.

“Hidangan ini juga adalah makanan asli Baba Nyonya dengan menggunakan taucu, bawang putih dan bawang merah sebagai bahan utama.

“Udang lemak nanas serta telur dadar cencaluk juga resipi yang memperlihatkan keaslian makanan Baba Nyonya yang dihidangkan di Restoran Big Nyonya ini, katanya.

Menu lain di restoran itu ialah Nyonya Chiken Roll dan hidangan pencuci mulut Cendol Nyonya yang pasti mengujakan.

Cendol memang sesuatu yang biasa dan boleh didapati di mana-mana, tetapi ia berlainan dengan Cendol Nyonya di Big Nyonya ini kerana santan yang digunakan pekat serta keaslian gula melaka memberikan rasa yang sedap.

Bercakap mengenai tempahan, Restoran Big Nyonya menerima tempahan tetapi perlu melihat kuantitinya.

Ini bagi menjaga keaslian serta keunikan rasa setiap menu yang dihidangkan.

Restoran Big Nyonya terletak di 33 Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,401 views