Resipi Unik Jus Buah-buahan

MENIKMATI jus buah-buahan memberi kesegaran ketika menghadapi cuaca panas. Ditambah dengan rekaan botol premium dan menarik, ia membuat acara santai di hujung minggu bersama teman lebih lengkap.

Jika dilihat sekali imbas, rekaan botolnya kelihatan eksklusif dan mungkin ramai menganggapnya minuman beralkohol. Namun, ia sebenarnya minuman bukan beralkohol yang bermutu premium dari Perancis dan Afrika Selatan edaran Ambrosia Trading.

Siri minuman 1688 Grand Rose dan Inah itu bukan saja boleh dijadikan minuman, malah membantu mencetus ilham mencipta resipi baru yang lebih unik dan enak dinikmati.

Menurut Prinsipal 1688 Grand Rose, Remi Rossano, minuman berkenaan memberi peluang kepada orang ramai menikmati jus buah-buahan asli.

“Disebabkan produk ini dibawa dari Perancis dan Afrika Selatan iaitu dua negara yang terkenal dengan buah-buahan dan produk minuman keras terbaik, sudah tentu ramai menyangka ia berasaskan alkohol, apatah lagi jika dilihat daripada rekaan botolnya.

“Sebenarnya, minuman ini adalah jus sari buah-buahan yang sesuai untuk negara berbilang kaum. Justeru, kami sengaja mengekalkan gaya sentuhan Perancis dan Afrika Selatan pada bahagian luar botol, tetapi di dalamnya mengandungi minuman universal yang berkhasiat untuk semua peringkat usia.

“Masyarakat Islam tentu gembira menikmati minuman jus buah-buahan tulen bukan alkohol ini yang disahkan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan diperkenalkan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas),” katanya ketika memperkenalkan siri minuman berkenaan di restoran Rebung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran, Pengarah Ambrosia Trading, K W Mah; Penolong Pengarah Jabatan Polisi dan Hal Ehwal Luar Negeri Jakim, Mohd Abdul Hadi Razak dan chef selebriti, Chef Datuk Ismail.

Jelasnya, minuman berkenaan juga boleh dijadikan ramuan utama untuk menambah keenakan dalam pelbagai resipi sama ada sajian pembuka selera atau hidangan utama.

Ia membuka dimensi serba baru bagi orang ramai menikmati resipi yang diilhamkan daripada buah-buahan dengan cara yang lebih menarik.

Misalnya, resipi baru ciptaan Chef Ismail yang mencampurkan siri minuman berkenaan dalam hidangan ayam panggang Mediteranean, sate makanan laut, stew kambing, udang ala Nyonya, asam pedas ikan tenggiri dan apam karamel.

Terdapat empat minuman baru iaitu 1688 Grand Rose dari Perancis dan tiga perisa siri Inah dari Afrika Selatan.

Siri 1688 Grand Rose dihasilkan daripada adunan anggur merah dan putih tulen yang melalui proses pengilangan tradisional tanpa penapaian.

Disejukkan pada suhu enam hingga lapan darjah Celsius, minuman yang dijual pada harga RM56.90 itu sesuai digunakan dalam sajian ikan, udang atau daging masam manis dan pencuci mulut.

Siri Inah pula membawa rasa buah-buahan yang mengekalkan warna dan khasiatnya menerusi proses ekstrak yang unik tanpa bahan kimia dan ia sebaiknya dihidang pada suhu 16 darjah Celsius.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,102 views