Rezeki Bahan Buangan

Berkunjung ke Chuping, Perlis bagaikan melalui pengalaman manis kerana pemandangan desa di kiri dan kanan yang sungguh menyenangkan. Memang seronok tinggal di desa, kata hati penulis. Boleh dapat banyak idea.

Pengalaman itu bertambah manis apabila dapat bertemu Asmanyza Ahmad, 39, suri rumah yang tinggal di situ. Sebelum ini, perkembangan Asmanyza diikuti di laman Facebook menggunakan nama eiyma craft.

Dari luar kediamannya, sudah nampak jelas mengenai penghuninya yang berjiwa kreatif. Kata-kata aluan selamat datang dilukis cantik. Terompah kayu unik gabungan warna putih dan merah jambu dengan tulisan ‘terima kasih’ di atasnya memberikan rasa berbeza pada idea kreatif itu.

Menghuni kuarters kediaman majikan suaminya, sebaik melangkah masuk ke rumah Asmanyza, semuanya menggambarkan sentuhan wanita itu. Dindingnya penuh dengan hiasan kraf lukisannya sendiri, begitu juga keseluruhan rumahnya. Sekecil-kecil sudut semua mendapat sentuhannya.

Di sudut berdekatan dinding pembahagi ruang tamu dan dapur, di situ sudut khas Asmanyza bekerja atau berkarya. Asmanyza mengakui, bakat seni yang ada dalam dirinya diwarisi daripada bapanya sendiri yang juga pandai melukis.

Cerita kreatif Asmanyza sebenarnya tidak berhenti setakat itu. Dia juga mengamalkan kitar semula dalam hasil seninya. Cukup membanggakan.

Tidak hanya Asmanyza menggunakan bahan buangan sebagai tapak asas melukis, dia juga tidak menggunakan berus untuk melukis seperti kebiasaan pelukis lain.

“Saya hanya menggunakan jari dan tidak pernah menggunakan berus,” katanya sambil menunjukkan kepada penulis cara dia mewarnakan papan yang sedia dicorakkan asas reka bentuk bagi memudahkan dia mewarna.

Menggunakan cat kilat, akrilik dan varnis, Asmanyza merapikan lukisannya menggunakan lidi.

Asalnya sekitar 2008, Asmanyza mahu menghias rumah sendiri kerana banyak ruang kosong. Memikirkan cara menghias yang menjimatkan, dia berasa mengapa hiasan itu tidak dibuat sendiri.

Dari situ dia mula melukis di atas papan buangan, kotak, kadbod dan tapak kek. Tapak kek paling banyak digunakan kerana bentuknya yang pelbagai misalnya bulat, empat segi dan bermacam ukuran. Ia juga ringan.

Asmanyza, anak jati Perlis, menggunakan semua bahan terbuang itu untuk dijadikan hiasan dinding dalam dan luar rumah. Selain itu, bingkai gambar, penyangkut kunci dan bermacam lagi bahan juga dijadikan idea, malah batu sungai yang menghias pasu bunganya juga diberi sedikit sentuhan warna.

Sudip kayu lama juga digunakan ibu lima anak itu. Dia mewarnakannya dan kini hasilnya menjadi begitu cantik yang dijadikan antara bahan hiasan di rumahnya.

Minat Asmanyza ini berkembang menjadi perniagaan apabila orang sekitarnya mulai mengetahui kelebihannya.

“Mereka mula beri papan kek terpakai supaya saya lukiskan untuk mereka. Kemudian, saya sekadar memuat naik gambar hasil tangan di laman sosial.

“Mula-mula sekadar mahu berkongsi minat dengan kawan, tetapi rupanya ia mendapat perhatian dan ramai yang mahu membeli. Sekiranya pembelian melalui dalam talian, saya akan mengeposnya dan bayaran pos tambahan RM6 dikenakan bagi penghantaran seluruh Malaysia,” katanya.

Cuma apabila memenuhi tempahan, Asmanyza tidak menggunakan bahan terbuang atas permintaan pelanggannya. Harga yang dikenakan bagi setiap rekaan hanya RM5 sehingga RM30.

Antara tujuh hingga lapan barang boleh disiapkan setiap hari. Dia menerima anggaran lima tempahan setiap hari membuatkan wanita bertubuh kecil itu memang sentiasa sibuk di samping tugas hariannya menguruskan rumah tangga yang juga tidak kurang sibuknya.

Asmanyza dilihat sangat puas hati apabila berada di sudutnya melakukan sesuatu yang sangat serasi dengannya iaitu melukis. Lukisannya tampak kemas dan mempunyai seni tersendiri. Melihat hasilnya di hadapan mata, mudah saja hati tertawan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

729 views