Rezeki Mesin Taip Lama
Jika tinggal di negara miskin, agaknya apakah yang akan anda lakukan untuk mencari sesuap nasi? Dalam keadaan ini, memang kita perlu lebih kreatif dengan memberikan perkhidmatan yang mungkin dirasakan remeh, tetapi ia masih diperlukan.
Thin Thin Nu yang tinggal di Yangon, Myanmar, me–nyediakan perkhidmatan telefon awam di tepi jalan! Apa yang Thin Nu lakukan hanyalah meletakkan lima telefon di atas meja plastik dan orang yang lalu lalang boleh menggunakannya pada kadar 50 kyat (kurang daripada 15 sen seminit).
Mungkin ada yang terfikir, apakah telefon awam seperti itu masih diperlukan terutama dalam lambakan telefon bimbit khususnya telefon pintar seperti sekarang? Ya. Masih ada, walaupun jumlahnya tidak seba–nyak satu ketika dulu.
Menurut Thin Nu, ramai orang menggunakan telefonnya apabila telefon bimbit mereka kehabisan bateri. Namun Thin Nu tidak susah hati kerana mempunyai pelanggan tetap, apatah lagi kedudukan kedainya hanya 100 meter dari kuil dan sekolah.
Ramai sami menggunakan perkhidmatan telefonnya untuk menghubungi keluarga yang tinggal di kampung pedalaman. Kanak-kanak sekolah yang tidak sabar menunggu pula akan menelefon ibu masing-masing supaya segera mengambil mereka pulang ke rumah.
Malah, sering kali juga Thin Nu menjadi orang tengah atau jurucakap kepada pasangan muda yang hangat bercinta.
“Macam-macam gaya orang berbual di telefon boleh diperhatikan. Contohnya, apabila remaja perempuan bersembang de–ngan teman lelaki, mereka bersandar pada pokok di sebelah meja saya ini sambil mengopek kulit batang pokok atau memintal rantai besi pada telefon.
“Kalau pasangan yang bercinta itu bergaduh, ada yang menghempas gagang telefon sekuat hati. Malah, saya juga pernah diminta untuk menipu dengan memberitahu si teman lelaki bahawa mereka sudah meninggalkan meja telefon ini sedangkan si perempuan masih duduk di depan saya,” katanya.
Pendapatan Thin Nu tidak banyak hanya RM45 sehari, separuh daripada jumlah yang diperolehnya dulu sebelum Myanmar membuka pintunya kepada negara luar. Bagaimanapun, kata Thin Nu, dia masih boleh bertahan dengan pendapatan sebanyak itu memandangkan sebahagian besar penduduk Myanmar hidup dalam kemiskinan. Caj yang dikenakan iaitu 50 kyat seminit dianggap amat munasabah.
Tidak jauh dari mejanya, kelihatan seorang lelaki warga emas sibuk mengetuk mesin taip manual. Aung Myint memberitahu dia menaip surat wasiat tanpa mengangkat wajahnya. Jari-jarinya pantas mengetuk butang huruf pada mesin taipnya yang kelihatan agak tua.
Aung Myint hanya mengangkat dagunya sedikit ke arah timbunan kertas di sebelahnya yang menunjukkan kerjanya masih banyak ada 30 surat lagi yang perlu ditaip sebelum balik ke rumah. Kebanyakannya surat berkaitan perjanjian dan perundangan yang dihantar oleh peguam yang bekerja di mahkamah tidak jauh dari situ.
Menurut Aung Myint, kerjaya itu agak stabil, tetapi ia amat berbeza berbanding zaman pemerintahan askar dulu dengan dia menghabiskan sebahagian besar masanya menaip novel untuk dihantar ke lembaga penapisan. Jarang-jarang dia berhenti untuk makan te–ngah hari. Dia sering bekerja di bawah sinaran lilin selepas kedai ditutup dan pemilik kedai balik ke rumah.
Bagaimana kerjaya lelaki berusia 67 tahun itu boleh bertahan apabila komputer mula memasuki negara itu? Katanya, masih ada orang yang memerlukan khidmatnya khususnya golongan yang berasakan satu-satu dokumen itu terasa hilang keaslian-
nya jika tidak ditaip menggunakan mesin taip.
“Kalau ada kesilapan, boleh dipadam terus dan taip semula di atasnya. Senang. Tidak perlu membazir masa cetak berulang kali,” katanya.
Perkhidmatan yang diberikan Thin Nu dan Aung Myint adalah contoh kepada tinggalan pemerintahan silam apatah lagi selepas berdekad lama–nya Myanmar mengamalkan pemerintahan diktator dan mengasingkan diri daripada dunia luar.
Kini selepas tiga tahun membuka pintunya kepada dunia, muncul banyak kedai menjual telefon pintar dan komputer. Namun perkhidmatan jurutaip dan telefon awam di tepi jalan masih diperlukan. Bahkan penduduk Myanmar masih menggunakan perkhidmatan telegram.
Ini bukan sesuatu yang menghairankan kerana ba–nyak pejabat di bandar Yangon sendiri belum menerima kemudahan teknologi digital. Bahkan banyak pejabat yang masih tidak mempunyai komputer.
Than Tin, 58, masih ingat hari pertama dia bekerja di pejabat telegram. Dulu hampir 1,000 orang sanggup beratur di dewan menunggu hanya untuk menghantar surat cinta, meminta dikirimkan wang (daripada keluarga) atau perkara penting lain. Ini kerana telegram boleh dihantar ke kawasan terpencil dan jauh.
“Dulu kerjaya sebagai penulis telegram sangat hebat. Tapi kini ia membosankan. Orang tidak lagi menggunakan telegram. Benarlah, keadaan sudah jauh berubah,” katanya merenung dewan menunggu yang kosong. – AP