'Rimasnya Asyik Berpeluh…'

BERPELUH sangat baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengeluarkan pelbagai racun daripada tubuh melalui pori-pori ketika melakukan aktiviti fizikal.

Selain itu, peluh turut berfungsi mengawal suhu badan terutama apabila suhu naik melebihi paras biasa.

Bagaimanapun, masalah peluh berlebihan boleh menyebabkan individu mengalami tekanan emosi, tidak selesa untuk bersosial dan gangguan fizikal.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Pusat Perubatan Management Science University (MSU), Prof Dr Arman Zaharil Mat Saad berkata, keadaan itu dipanggil hiperhidrosis iaitu sejenis penyakit kulit apabila pesakit mengeluarkan peluh secara berlebihan melebihi kadar normal.

Menurutnya, kebiasaannya ia berlaku di bahagian tertentu seperti di tapak tangan atau kaki, ketiak dan kepala.

“Terdapat tiga jenis kelenjar peluh dan lebih tiga juta kelenjar dalam badan manusia. Paling banyak ialah kelenjar ekrin.

PENGGUNAAN ubat cecair antipeluh di ketiak boleh merawat gejala peluh berlebihan.

“Pembahagian kelenjar peluh adalah tidak sekata di badan manusia dan boleh didapati lebih banyak di tapak tangan, tapak kaki, ketiak, dahi dan pipi, katanya.

Lebih unik, hanya kelenjar ekrin boleh didapati di tapak tangan, kaki dan ia dikawal oleh sistem saraf simpatetik.

“Bagi manusia normal, kadar pengeluaran peluh kira-kira 0.5 hingga satu mililiter (ml) atau meter persegi (m2) seminit dan hanya sekitar lima peratus kelenjar peluh aktif.

“Peningkatan pengeluaran peluh boleh disebabkan oleh perubahan emosi, pemakanan dan aktiviti fizikal apabila terdapat peningkatan pengeluaran katekolamin yang merangsang sistem saraf simpatetik, katanya.

Menurut beliau, lazimnya penyakit ini dihidapi pesakit berusia di antara 20 hingga 50 tahun.

Bagaimanapun, gejala hiperhidrosis boleh berkurangan atau hilang dengan sendirinya apabila pesakit menjangkau usia melebihi 50 tahun.

“Namun, ada juga pesakit mengalami gejala peluh berlebihan (hiperhidrosis) pada usia yang lebih awal iaitu ketika remaja.

“Kajian epidemiologi terkini menunjukkan kadar penyakit hiperhidrosis yang dilaporkan dalam kalangan masyarakat ialah sekitar lima peratus.

“Angka ini masih rendah kerana ramai pesakit malu untuk mendapatkan nasihat pakar kesihatan, katanya.

HIPERHIDROSIS menyebabkan pesakit mengalami tekanan emosi, tidak selesa untuk bersosial dan gangguan fizikal.

Dr Arman Zaharil berkata, seperti masalah kesihatan dan penyakit lain, kajian saintifik berterusan sentiasa dijalankan untuk merungkai masalah itu daripada segi punca, tatacara penyiasatan, keberkesanan rawatan sedia ada, baharu serta kesan jangka panjang satu rawatan.

“Secara amnya, komuniti saintifik perubatan menyarankan supaya mendahulukan rawatan konservatif sebelum memilih rawatan invasif yang disarankan.

“Rawatan konservatif ini tidak membabitkan pembedahan yang boleh dilakukan melalui beberapa cara sama ada secara kombinasi ataupun berasingan.

“Antaranya menggunakan ubat cecair antipeluh disapu di bahagian terjejas dan ubat antikolinergik biasanya untuk merawat gejala peluh berlebihan yang teruk, katanya.

Katanya, selain itu ialah rawatan iontophoresis. Ia bagi mengurangkan kesan rangsangan pada hujung saraf, suntikan toksin botulinum yang bertindak pada hujung saraf dan menghalang rangsangan pada kelenjar peluh.

“Semua rawatan ini tidak menyembuhkan hiperhidrosis, tetapi hanya bertindak untuk mengawal gejala.

“Seperti ubat cecair antipeluh yang perlu digunakan beberapa kali sehari, ubat antikolinergik perlu dimakan setiap hari.

JUMPA doktor untuk mendapatkan rawatan bersesuaian.

“Bagi rawatan iontophoresis, ia memerlukan rawatan berpanjangan setiap minggu daripada fasa awal mengawal peluh hingga mencapai tahap yang diinginkan.

“Suntikan toksin botulinum pula diperlukan dilakukan setiap tiga bulan bagi mengekalkan kawalan gejala. Kebiasaannya, rawatan konservatif ini ada disyorkan kepada pesakit sebelum rawatan pembedahan dilakukan sekiranya gejala masih tidak terkawal, katanya.

Dr Arman Zaharil berkata, rawatan pembedahan boleh dilakukan apabila gejala peluh berlebihan tidak dapat dikawal rawatan konservatif. Ia dapat dilakukan dengan menggunakan kaedah endoskopi bagi memotong sistem saraf simpatetik yang merangsang kelenjar peluh.

Jelasnya, prosedur rawatan ini mempunyai peratusan kejayaan yang tinggi untuk merawat penyakit ini pada kadar 99 peratus untuk bahagian tapak tangan, ketiak (90 peratus) dan kaki (60 peratus).

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat beberapa jenis rawatan baharu untuk merawat hipohidrosis, namun ia masih dalam peringkat kajian seperti ubat sapu antikolinergik, laser, gelombang mikro dan sinaran radio frekuensi.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

90 views