Rindu Durian Dan Nasi Ayam

“Sikit-sikit bolehlah,” katanya sambil tertawa. Itu jawapan Dr Joseph Chang, saintis kelahiran Ipoh, Perak apabila ditanya mengenai kefasihannya dalam bahasa Malaysia selepas lebih 35 tahun menetap di luar negara khususnya di Amerika Syarikat (AS).

Di negara itulah dia membina nama menerusi liku kerjayanya di bidang sains yang diakuinya berlaku tanpa sebarang perancangan. Satu demi satu kejadian dalam hidupnya membawa dia mengembara, daripada seorang pelajar sehinggalah bergelar profesor, penyelidik juga usahawan.

Ketua Pegawai Saintifik yang juga Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Produk Nu Skin Enterprises (Nu Skin) ini membesar di Kenny Garden, Ipoh malah dia pernah berbasikal juga bermotosikal ke sekolah dengan Honda Cupnya sebelum melanjutkan pelajaran ke United Kingdom selepas tamat sekolah menengah.

Tamat pengajian peringkat doktor falsafah di Universiti London, dia kemudiannya ke Universiti John Hopkins sebagai profesor selama tiga tahun.

“Memang tidak merancang apa yang berlaku dalam hidup saya. Ketika di Amerika itulah iaitu di Philadelphia yang terkenal dengan syarikat ubat-ubatan, saya menyertai syarikat Wyeth untuk melakukan penyelidikan ubat-ubatan baru.

Saya menghabiskan masa 11 tahun melakukan penyelidikan yang antara lain menghasilkan dua jenis ubat-ubatan untuk artritis dan sejenis lagi ubat-ubatan antipenolakan untuk mereka yang menjalani pemindahan organ.

“Pada masa sama, teknologi bio mula aktif di Amerika dan saya ditawarkan untuk menggabungkan pengetahuan dengan penemuan universiti mengenai osteoartritis menerusi penubuhan satu syarikat baru.

“Untuk membuktikan keupayaan saya selama ini, saya pun memulakan syarikat baru itu malah sebagai saintis, ia sebenarnya sesuatu yang menarik untuk mencuba perkara baru berbanding hanya bekerja di syarikat besar.

Lantas saya pun ke Boston pada 1991 untuk memulakan syarikat berkenaan bersama kira-kira 30 saintis,” katanya yang ditemu bual di Salt Lake City, AS pada penghujung musim luruh lalu.

Tiada wang yang mengalir masuk ke syarikat mereka dan itulah antara cabaran utama Dr Chang ketika penubuhan syarikat terbabit. Apa yang dilakukannya bersama rakan saintis lain adalah membangunkan ubat-ubatan yang menuntut kos pembiayaan yang cukup mahal.

“Di AS, untuk mendapatkan kelulusan satu-satu jenis ubat-ubatan memakan masa kira-kira 10 tahun, itupun jika segalanya berjalan lancar. Ujian klinikal pula mahal, jadi selepas penyelidikan fasa pertama, kami terasa syarikat itu terlalu kecil untuk menampung kos penyelidikan lalu syarikat berkenaan dijual kepada syarikat lain yang lebih besar.

“Ketika itulah ada beberapa kenalan lama saintis yang mengajak saya menubuhkan syarikat lain tapi kali ini, kami tidak mahu menghasilkan ubat-ubatan, sebaliknya makanan kesihatan.

“Sebenarnya semasa bekerja di syarikat ubat-ubatan, kami banyak terdedah kepada kajian membabitkan bahan semula jadi termasuk ginseng dan tongkat ali. Rakan saya itu mencadangkan supaya kami membangunkan bahan semula jadi sebagai suplemen kesihatan, apatah lagi kami tidak perlu takut pada persaingan daripada syarikat gergasi ubat-ubatan kerana produk itu kelak berbeza,” katanya.

Memikirkan industri suplemen di AS ketika itu tidak begitu memuaskan dari segi kualiti produk yang rata-rata tidak berasaskan sains, sebaliknya lebih memberi perhatian kepada pemasaran, Dr Chang berpendapat itu satu peluang baik.

Baginya, sains juga boleh digunakan dalam dunia suplemen, sekali gus membezakannya daripada pesaing lantas itulah permulaan syarikat kecilnya, Pharmanex yang diusahakan bersama seorang rakan pada 1996. Mereka mengumpul modal, seterusnya mula menjalankan penyelidikan dan pemasaran.

Pada akhir 1996, produk mereka mula dijual di farmasi di AS dan pada awal 1998, mereka mula dilamar syarikat besar yang berminat dengan idea mereka iaitu keluaran produk bukan untuk merawat penyakit tetapi mencegah penyakit.

Beralih arah

Daripada dua syarikat yang membuat tawaran, Dr Chang akhirnya memilih Nu Skin meskipun idea jualan langsung pada asalnya agak janggal bagi dirinya yang biasa menjual produk secara konvensional di kedai.

“Model jualan langsung sebenarnya turut membuka mata saya. Konsep penjualan produknya yang membabitkan penerangan kepada pengguna sangat menarik hati saya. Pada masa sama, saya juga mahu ke peringkat antarabangsa tapi sukar melakukannya menerusi syarikat kecil kerana ia perlukan modal besar.

“Faktor emosi juga sebenarnya banyak mempengaruhi keputusan saya menjual syarikat saya itu. Jika saya menjualnya kepada syarikat besar, bila-bila masa saja produk saya boleh dihapuskan di pasaran jika tidak laku tetapi di syarikat jualan langsung itu, produk suplemen kesihatan saya menjadi sebahagian besar daripada Nu Skin,” katanya.

Langkahnya itu nyata membuahkan hasil cukup lumayan apabila hasil jualan dalam tempoh sebulan di syarikat jualan langsung itu melebihi hasil selama setahun jualan secara konvensional di kedai. Malah menurut kontrak asal, dia harus berada di syarikat terbabit selama lima tahun tetapi kini selepas 15 tahun, Dr Chang masih menabur khidmatnya di Nu Skin.

Komitmen syarikat terbabit antara aspek yang mengikatnya di titik kerjayanya kini, malah dia akui, pembinaan bangunan terkini syarikat berkenaan di Provo, Utah menjadi bukti kepada inovasi syarikat yang terus berkembang maju.

“Memang benar saya tidak pernah berangan-angan untuk memperoleh apa yang saya kecapi kini tetapi minat saya dalam sains yang menjadikan saya seperti hari ini,” kata saintis berusia 61 tahun ini yang menyifatkan sains harus dimanfaatkan untuk menghasilkan produk inovatif.

Buat generasi muda, nasihatnya supaya terus mempelajari pelbagai ilmu kerana apa yang dipelajari menerusi buku teks bukanlah apa yang akan digunakan kelak apabila bergelar saintis. Sains terus berubah saban tahun, lantas pembelajaran seharusnya jadi keutamaan.

Baginya, kejayaan juga bukan hanya diukur daripada profesion tertentu seperti doktor, peguam atau seumpamanya tetapi sebaliknya apabila kita berjaya dalam bidang yang diminati.

“Saya fikir secara umum ibu bapa di Malaysia bimbang mengenai risiko kerana itu mereka mahu anak mereka mempunyai kerjaya membanggakan seperti doktor atau peguam bagi memperoleh pendapatan yang baik. Sayang sekali, ibu bapa ini tidak mempunyai perspektif yang baik mengenai kegagalan sedangkan kegagalan itu hanyalah sementara.

“Sekiranya mahu menjadi usahawan yang entah apa risikonya, kita memang berhadapan dengan kegagalan. Apa yang penting, kita harus jadi kreatif untuk berjaya,” katanya yang tetap pulang ke tanah air saban tahun terutama untuk menjenguk ibunya yang berusia 85 tahun di Ipoh.

Beristerikan kekasih hatinya ketika di bangku sekolah dan punya dua anak lelaki yang kini meneruskan pengajian di AS, beliau mengakui durian antara makanan yang dirinduinya selain nasi ayam Hainanese.

Gerai di tepi jalan di Ipoh juga antara sasarannya mahu menikmati makanan enak apabila pulang ke Malaysia, malah sesekali ada rakan Melayunya yang akan membawanya menikmati nasi lemak untuk sarapan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

613 views