Ringkas Tetapi Menceriakan

DALAM sesebuah majlis perkahwinan, pasangan raja sehari sememangnya diraikan dengan penuh meriah namun tidak dilupakan mereka yang berkunjung untuk memeriahkan majlis.

Bakal pengantin lazimnya cuba mencari kelainan untuk menghadiahkan cenderahati sebagai penghargaan kepada tetamu.

Oleh itu, apa kata jika pasangan pengantin menyediakannya dengan kreativiti tersendiri. Mungkin ia boleh mengurangkan bajet yang perlu digunakan sepanjang majlis berkenaan.

Memulakan perniagaan secara dalam talian dan di rumah dengan menyediakan tempahan hantaran serta jualan kek tradisional Melayu sejak 12 tahun lalu, Zaida Mohd Adb Aziz, 40, mengakui tidak sukar untuk menyediakan cenderahati penghargaan kerana apa yang penting adalah kreativiti.

Kini terdapat pelbagai bahan yang boleh dijadikan sebagai cenderahati namun pasangan raja sehari perlu menetapkan bahan yang ingin dijadikan tanda penghargaan.

Baginya, dia menjadikan telur sebagai contoh terbaik bahan cenderahati kerana kini terdapat pelbagai bentuk dan rekaan bunga telur yang boleh diketengahkan.
Meskipun harganya agak tinggi, ia masih boleh digunakan dengan menggubahnya sendiri.

“Paling ringkas, kita boleh membeli saja telur dan gubah mengikut bentuk diingini. Tetapi ubah suai cara serta bahan gubahan bagi memberikan lebih gaya pada produk cenderahati terbabit.

“Buat secara ringkas, tidak perlu bersusah payah menyediakan sesuatu yang sukar kerana ia lebih memberikan kepuasan apabila melihat produk yang dihasilkan mampu memberikan keceriaan kepada orang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Danau Kota, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi dirinya, idea membuat setiap gubahan diperoleh secara tiba-tiba sama ada ketika dia duduk bersahaja ataupun apabila melihat gubahan berlainan menerusi pembacaan.

Dia juga amat mementingkan kualiti kek, biskut, ataupun gubahan yang disediakannya. Disebabkan mengambil masa lama untuk menyediakannya, mungkin bagi sesetengah pihak ia suatu bentuk pembaziran kerana kini terdapat pelbagai cara untuk mengurangkan kos pembuatan barangan terbabit.

“Saya tidak menganggap ia membazir kerana saya memegang kukuh kepada pendirian jika bahan makanan yang saya sediakan itu tidak boleh dimakan ataupun tidak sedap, saya tidak akan sesekali menjadikannya bahan jualan kepada umum.

“Disebabkan itu, produk jualan yang saya sediakan boleh dikatakan agak mahal kerana bahan yang digunakan tidak sesekali dikurangkan sebaliknya mengikut resipi asal bagi mengekalkan rasa. Alhamdulillah kebanyakan pelanggan memahaminya,” katanya.

Untuk melihat pelbagai lagi bentuk hiasan menarik yang disediakan, layari laman lillies-zaida.blogspot.com. Ruangan Hias minggu ini pula ilham Zaida dalam menghasilkan gubahan ringkas bunga telur menggunakan bekas kek cawan sebagai cenderahati.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,092 views