Risiko Boleh Mati Mengejut

Hampir semua wanita di dunia ini mahu sentiasa kelihatan menarik justeru, ada pula yang mengambil jalan pintas misalnya menelan pelbagai jenis pil semata-mata mahu melangsingkan badan.

Ramai juga yang tidak memikirkan sebarang kesan terhadap kesihatan sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang apabila dengan sewenang-wenangnya mengambil pelbagai jenis ubat kurus yang ada di pasaran.

Ubat terbabit sama ada dijual dengan harga mahal atau murah tidak menjadi ukuran kerana mereka sanggup berbelanja lebih untuk tampil cantik sepanjang hari sama ada dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin mahupun bujang.

Walaupun tahu kesan ubat-ubatan kurus yang ada di pasaran terutama di pasaran gelap, mereka tetap mengambil risiko untuk mencubanya apabila mengeluarkan belanja yang besar setiap bulan untuk tampil kurus.

Misalnya pada masa ini, terdapat ubat-ubatan kurus tradisional di pasaran yang mengandungi racun jenis sibutramine.

Dengan hanya sebiji pil, ia membuatkan seorang yang obses untuk menguruskan badan mampu menahan selera makan untuk seminggu. Itu hanya kesan jangka pendek pengambilan ubat berkenaan.

Bagaimanapun, sekiranya ubat terbabit diambil secara berterusan, racun berkenaan akan menyebabkan kerosakan buah pinggang dalam tempoh beberapa minggu selain mengakibatkan darah tinggi, hipertensi, degupan jantung kencang, insomnia dan kematian mengejut.

Sejenis lagi racun yang digunakan secara meluas dalam produk minuman pelangsingan adalah bupropion yang juga berfungsi menghentikan selera makan seseorang manakala kesan jangka panjangnya boleh mengakibatkan seseorang itu diserang sakit sawan.

Mengulas lanjut mengenai trend menguruskan badan yang berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia, Ketua Seksyen Pencegahan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Mohd Shahid Yahaya berkata, terdapat tiga jenis produk menguruskan badan yang masing-masing berfungsi untuk menyekat selera makan, meningkatkan metabolisme dan mengurangkan penyerapan lemak.

“Meskipun ada tiga cara menguruskan badan, pengguna lebih berminat kepada produk yang menyekat selera makan berikutan kesan jangka pendek dan cepat. Apa tidaknya, kesannya boleh dilihat dalam masa beberapa hari selepas penggunaan.

“Ketika mahu kurus, penjual bahan pelangsingan pula mengambil kesempatan dengan menjual ubat atau makanan yang mengandungi racun seperti sibutramine dan bupropion.

“Sepanjang tahun ini, pihak kami sudah merampas enam produk yang mengandungi bupropion bernilai RM10,906 manakala 11 jenis produk yang mengandungi sibutramine termasuk Miracle Hot Chocolate bernilai RM191,846,” katanya.

Menurutnya, sibutramine dan bupropion pada asalnya digunakan dalam penghasilan ubat psikotropik dan kemurungan namun apabila ia dicampur dengan ubat tradisional, fungsi asalnya diubah dan ia menjadi ubat untuk mengawal selera makan pula.

Katanya, wanita yang terdesak untuk langsing tanpa memikirkan kesan terhadap tubuh badan sanggup mengambil produk pelangsingan ini asalkan mereka mendapat bentuk tubuh badan idaman.

“Kebiasaannya mereka tidak berfikir panjang dan sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk membeli produk pelangsingan tidak kira harganya mahal atau murah.

“Selepas mendapat tahu mengenai kesan negatifnya, ia bukan saja diharamkan dalam negara, malah sejak Oktober 2010, melalui kerjasama Abotts Labs, Pentadbiran Makan dan Ubat-ubatan AS serta Health Canada, secara sukarela produk ini ditarik balik penjualannya dari pasaran Amerika Syarikat dan Kanada.

“Faktor utama sibutramine ditarik balik penjualannya di pasaran kerana kajian dijalankan dijalankan oleh Sibutramine Cardiovascular Outcome (SCOUT) menunjukkan sibutramine menyebabkan peningkatan risiko untuk serangan sakit jantung dan angin ahmar,” katanya.

Menurutnya, jika pengguna berhenti mengambil ubat menguruskan badan yang mengandungi bahan beracun ini, berat badan mereka meningkat semula secara mendadak malah akan mengakibatkan ketagihan jika diberhentikan pengambilannya.

“Ubat yang mengandungi dua jenis racun ini juga dikesan agak meluas pengambilannya dalam kalangan ahli bina badan untuk membuatkan otot mereka nampak lebih mantap.

“Memang kesannya agak cepat, tetapi ia turut mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan, juga dalam tempoh yang cepat,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia sejak 2008, sebanyak lapan produk mengandungi dua bahan beracun dibatalkan pendaftarannya.

Antaranya adalah Amberine Capsule, Phyto-Hape, Phyto Shape, Bodybeaus, Senna Plus Capsule, Bionex, Slimway Herbs dan BMI-9 Xylimming Capsule.

Berdasarkan maklumat dalam laman web rasmi badan berkenaan, ubat-ubat berkenaan dibatalkan pendaftarannya kerana mengandungi bahan kimia termasuk racun berjadual.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,176 views