Risiko Penyusuan Salah

Usianya hampir mencecah dua bulan dan menjadi kebanggaan ibu dan ayah yang selama ini hampir sedekad menantikan kehadirannya.

Namun, sinar gembira yang diharapkan berubah mendung sejurus si kecil disahkan mengalami penyakit refluks gastroesofagus (GER) lalu menyebabkannya mengeluarkan semula susu yang diminum hingga seluruh tubuh berubah kebiruan.

Lebih malang apabila ia berlaku setiap hari hingga ibu dan bapanya tiada pilihan kecuali melakukan pembedahan laparoskopik atau lubang cincin agar si anak dapat hidup normal seperti bayi lain.

Refluks gastroesofagus biasanya berlaku apabila asid perut iaitu refluks menolak ke atas isi di dalamnya, ke arah esofagus ketika atau selepas makan.

Esofagus adalah tiub yang menghubungkan mulut ke perut. Otot berbentuk cincin di bahawa esofagus yang boleh menguncup dan mengembang bertindak membenarkan makanan memasuki perut.

Otot ini dikenali sebagai sfinkter esophageal bawah atau LES, yang biasanya dibuka untuk melepaskan gas selepas makan.

Namun bagi bayi yang mengalami masalah ini, kandungan dalam perut sering meledak atau refluks ke esofagus dan keluar ke mulut – menyebabkan bayi terbabit memuntahkan atau meludah susu yang diminumnya sebelum itu.

Refluks gastroesofagus ini juga boleh berlaku kepada bayi apabila batuk, menangis atau dalam keadaan tertekan.

Ada yang mengaitkan penyakit ini dengan keadaan bayi tersedak susu manakala golongan dewasa mengatakan ia punca masalah sakit ulu hati.

Secara asasnya, GER biasa berlaku dalam kalangan bayi sihat. Lebih separuh daripada bayi yang dilahirkan mengalami refluks dalam tiga bulan pertama hidupnya, tapi kebanyakan tidak lagi muntah atau meludah semula kandungan susu pada usia 12 hingga 24 bulan.

Hanya sebilangan kecil bayi yang mengalami simptom akut antaranya muntah setiap kali selepas diberi minum susu, sentiasa batuk, sering meragam, makanan sukar hadam dan ada darah pada najis.

Dalam sesetengah kes, GER menyebabkan gejala yang mencetuskan kebimbangan seperti pertumbuhan yang lemah disebabkan oleh ketidakupayaan untuk menahan atau menghadam makanan yang mencukupi, sentiasa meragam atau enggan makan berikutan rasa sakit berpanjangan, kehilangan darah disebabkan asid yang menjejaskan esofagus dan kerap mengalami masalah pernafasan.

Menurut Perunding Pembedahan Neonatal dan Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Nada Sudhakaran, penyakit refluks gastroesofagus sering berlaku ke atas bayi dan kanak-kanak tapi lazimnya keadaan itu akan mula berkurangan selepas setahun hingga tidak memerlukan rawatan.

“Kaedah penyusuan bayi yang tidak betul khususnya dalam kalangan ibu muda, antara punca kepada penyakit ini. Tapi selepas dirawat atau ditukar teknik penyusuan, penyakit ini akan pulih terutama apabila meningkatnya usia kanak-kanak itu.

“Bagi sesetengah kes, rawatan dengan ubat penghalang asid sudah memadai yang mana ia menghalang penambahan asid dalam perut.

“Bagaimanapun untuk kes bayi berusia dua tahun itu, boleh dikatakan dia mengalami refluks gastroesofagus yang agak kronik lalu memerlukannya menjalani pembedahan laparoskopik yang membetulkan bahagian saluran injap antara esofagus dan mulut.

“Pembedahan laparoskopik atau lubang kunci ini dipilih berbanding pembedahan konvensional kerana ia kurang risiko dan tidak perlu memotong bahagian otot untuk sampai ke kawasan itu,” katanya.

Tambah Dr Nada, pembedahan laparoskopik adalah alternatif baru untuk mengatasi GER kerana ia tidak meninggalkan kesan parut ketara hingga menjejaskan rutin harian.

“Pembedahan ini tidak memerlukan bahagian badan dipotong atau dibedah, cukup dengan tebukan tiga atau empat lubang kecil sebesar tiga milimeter bagi membolehkan kamera dan peralatan pembedahan dikenali instrumen masuk ke dalam badan.

“Tebukan lubang itu juga tidak akan meninggalkan parut ketara kerana secara asasnya otot di bahagian terbabit diregang untuk memudahkan lagi kemasukan peralatan dan akan ditutup dengan gam perubatan selepas pembedahan,” ujarnya.

Berbanding pembedahan tradisional, pesakit yang dirawat menerusi laparoskopik tidak memerlukan dos bius yang tinggi dan mengalami kadar komplikasi yang rendah.

“Masa di hospital juga lebih pendek dan pemulihan segera, sekali gus mengurangkan ketidakselesaan pesakit serta tidak memerlukan insisi.

“Pesakit juga biasanya dibenarkan kembali ke rumah selepas tiga hari dan boleh melakukan aktiviti harian tanpa risiko kesan sampingan,” katanya.

Selain refluks gastroesofagus, pembedahan laparoskopik boleh dijalankan ke atas bayi yang mengalami atresia, hernia, exomphalos dan congenital lung anomaly.

Atresia ialah keadaan tidak ada atau tertutupnya lubang badan normal secara kongenital. Bayi tidak mempunyai lubang di tempat yang seharusnya ada saluran atau rongga tubuh.

Ia berlaku apabila pembentukan esofagus tidak sempurna iaitu gut depan tidak terpisah dengan sempurna. Keadaan ini menyebabkan air susu yang diminum mudah termasuk ke saluran paru-paru, menyebabkannya sentiasa batuk.

Hernia juga dikenali angin pasang, biasanya dialami bayi atau kanak-kanak lelaki. Ia berlaku apabila otot lemah menyebabkannya terbonjol keluar hingga boleh kelihatan daripada kulit badan.

Exomphalos pula ialah masalah usus terkeluar daripada kulit abdomen tapi ada membran menutupinya iaitu lapisan daripada tali pusat. Masalah ini boleh dikesan lebih awal sejak bayi dalam kandungan menerusi ujian imbasan.

Pembedahan dilakukan untuk memasukkan semula usus ke dalam abdomen melalui tebukan di pusat.

Congenital lung anomaly pula adalah keadaan di mana bayi lahir dengan paru-paru tidak sempurna iaitu udara boleh masuk ke dalam paru-paru tetapi tidak boleh keluar.

Doktor akan membuat pembedahan membuang bahagian paru-paru terbabit. Bahagian paru-paru yang elok boleh tumbuh semula jika pembedahan dijalankan sebelum bayi berusia dua tahun.

Pembedahan laparoskopik dilakukan bagi merawat masalah ini dengan satu lubang bagi memasukkan kamera manakala dua lubang untuk memasukkan instrumen.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

687 views