Risiko Remaja Hamil Luar Nikah

SAMPAI hari ini usaha untuk memberi maklumat mengenai pendidikan seksual dan reproduktif kepada golongan remaja masih menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak walaupun ia diakui sangat berguna dalam menangani masalah sosial membabitkan masalah kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi.

Pada masa sama, jangan ada yang berang apabila ditegur dengan menyifatkan orang berkenaan ‘suka menjaga tepi kain orang’.

Kita perlu bersyukur kerana sikap itu menandakan ada orang mengambil berat dan nasihatnya agar remaja tidak terjebak dengan gejala tidak sihat.

Jangan pula ada yang berkata ‘peduli apa, suka hatilah aku hendak buat apa’ kerana kesan gejala sosial di kalangan remaja seperti dipaparkan di media sebenarnya tidak hanya berlaku pada individu itu saja.

Tempias hubungan seks luar nikah turut dirasai ibu bapa, masyarakat dan paling malang, bayi yang dilahirkan.

Statistik Jabatan Kebajikan menunjukkan antara Januari hingga April tahun lalu, seramai 111 remaja hamil luar nikah.

Dalam keadaan tertekan, panik, buntu fikiran, malu dan tidak tahu ke mana hendak mengadu, tidak mustahil anak yang tidak dikehendaki akan dibuang.

Kalau si ibu mahu bayinya terus hidup, anak itu akan diletakkan di kaki lima surau atau masjid, di depan rumah orang atau di mana-mana yang boleh ditemui dengan mudah.

Tindakan ibu dan bapa muda membuang bayi di pusat longgokan sampah, longkang atau tempat kotor dan terdedah kepada bahaya sebenarnya bertujuan membunuh insan yang tidak bersalah.

Turut merumitkan ramai golongan muda tidak tahu hak mereka dan tertekan dengan pandangan masyarakat. Ini antara faktor mendorong mereka membuat keputusan salah demi maruah diri.

Kadar kehamilan tidak terancang yang tinggi ini menandakan remaja kita kekurangan maklumat dan pendidikan seksual dan reproduktif.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat pendidikan seksual dan reproduktif sangat penting.

Itu bukan bertujuan menggalakkan mereka mengadakan hubungan seks tetapi supaya remaja membuat keputusan yang bijak.

Kebanyakan remaja terbabit aktiviti seks pada usia sangat muda mempunyai tahap pendidikan yang rendah.

Maknanya mereka kurang pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan diperlukan. Namun kesan atau implikasi gejala sosial membabitkan seks lebih besar kepada remaja perempuan.

Remaja yang hamil berdepan banyak komplikasi serta masalah kesihatan sepanjang kehamilan, ketika melahirkan anak dan selepasnya. Ini sebabnya kehamilan di kalangan remaja berisiko tinggi.

Baru-baru ini diadakan Seminar Kebangsaan Undang-undang Keluarga Islam Nikah Bawah Umur: Patut atau Tidak anjuran Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Harlina Harlizah Siraj, berkata kadar kematian ibu dan bayi meningkat di kalangan remaja.

Menurutnya, ia bukan disebabkan komplikasi ketika proses kehamilan dan kelahiran saja, faktor persekitaran juga menyukarkan mereka mendapatkan kemudahan dan penjagaan kesihatan secukupnya.

Selain itu, katanya, remaja tidak mendapat nasihat tepat mengenai pencegahan kehamilan dan perancangan keluarga serta sukar membeli ubat diperlukan untuk pencegahan kehamilan.

Menurutnya, malah mereka mengamalkan kaedah pencegahan kehamilan yang tidak berkesan.

Walaupun ada keinginan terhadap seks, pengetahuan kebanyakan remaja mengenai fisiologi dan kesihatan reproduktif sangat rendah.

Ini menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan dan antara komplikasi yang berkait rapat dengan kehamilan pada usia remaja ialah:

Tekanan darah tinggi ketika mengandung – berlaku keadaan serius akibat tekanan darah tinggi pada hujung kehamilan atau sejurus selepas melahirkan anak, seluruh tubuh mengalami konvulsi dan pesakit akhirnya koma.

Kelahiran pramatang (tidak cukup bulan)

Kurang berat badan dan tidak cukup zat – kurang memberi perhatian kepada aspek pemakanan juga antara perkara biasa yang berlaku di kalangan remaja hamil dan ini boleh menyebabkan masalah kekurangan zat dan pucat.

Pucat – akibat pemakanan tidak teratur atau tidak cukup.

Tidak mendapat pemeriksaan antenatal sewajarnya – masalah ini biasanya dihadapi remaja yang hamil di luar perkahwinan.

Pengguguran – ia boleh mengancam nyawa ibu jika pengguguran dilakukan oleh orang tidak bertauliah atau dengan cara tidak selamat.

Kematian ibu dan bayi – kematian berkaitan kehamilan adalah punca utama kehilangan nyawa di kalangan remaja 15 hingga 19 tahun (sama ada berkahwin atau tidak). Ibu remaja berdepan risiko 20 hingga 200 kali ganda meninggal dunia berbanding wanita dalam lingkungan umur 20 hingga 24 tahun. Kematian bayi yang dilahirkan ibu remaja juga dua kali lebih tinggi berbanding ibu dewasa.

Kehamilan yang terlalu kerap – ini kerana mereka tidak tahu kaedah pencegahan kehamilan atau perancangan keluarga yang berkesan. Tidak dibimbing, tidak mustahil remaja bermasalah ini akan terus mengadakan hubungan seks dan hamil lagi.

Jangkitan penyakit kelamin – risiko lebih tinggi jika remaja mempunyai ramai pasangan.

Antara sebab yang dikenal pasti berlakunya masalah atau gejala ini ialah remaja tidak kenal dan kurang menghargai diri sendiri. Portal pendidikan Kementerian Kesihatan menggariskan beberapa aspek yang perlu diketahui setiap remaja iaitu:

Memahami perubahan normal pada tubuh. (Lihat Perubahan Akil Baligh)

Mengamalkan kebersihan diri yang baik.

Mengelak tingkah laku berisiko

Mengambil dadah dan alkohol

Seks sebelum berkahwin

Remaja juga perlu meningkatkan pengetahuan mengenai seksualiti iaitu dengan:

Nikmati perhubungan yang sihat tanpa terbabit dengan aktiviti seks sebelum kahwin.

Ketahui akibat daripada perhubungan seksual. (Lihat Kehamilan Remaja Jangkitan Seksual).

Membuat keputusan sendiri bertepatan dengan ajaran agama dan budaya masyarakat sekeliling.

Fahami dan terima identiti jantina anda.

Fahami orientasi seksual anda.

Terima bahawa setiap individu mempunyai nilai berbeza.

Dapatkan bantuan daripada sumber yang boleh dipercayai.

Justeru, Durex, jenama kondom terkemuka menganjurkan satu program kolej bagi memperkasa dan memupuk kesedaran remaja mengenai kesihatan seksual dan pilihan kontraseptif (pencegahan kehamilan) supaya mereka boleh membuat keputusan bijak apabila berhadapan dengan isu ini.

Bertemakan ‘One Voice, Prevention is Key’, pelajar muda antara 18 hingga 23 tahun diberikan akses kepada satu siri maklumat mengenai isu kesihatan seksual dan reproduktif seperti kehamilan tidak terancang, melalui dua platform – satu pertandingan reka bentuk menggunakan aplikasi Facebook dan program di kawasan kolej.

Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser Malaysia, Nikhilesh Kalra, berkata remaja di Malaysia tidak menyedari risiko berkaitan seks tanpa perlindungan dan akibatnya, insiden kehamilan yang tidak terancang dan pembuangan bayi kini semakin bertambah.

“Program pendidikan kolej Durex ‘One Voice, Prevention is Key’ mengetengahkan isu serius ini dan membantu menggerakkan aktiviti melalui medium seni yang bertujuan memperkasakan remaja untuk membuat pilihan bijak berkaitan kehidupan seksual dan reproduktif mereka,” katanya.

Antara inti pati program ini ialah pertandingan reka bentuk yang mengajak peserta mencipta karya seni serta slogan pada poster, poskad atau fotografi yang memaparkan pandangan mereka mengenai kehamilan tidak terancang. Semua peserta perlu menghantar rekaan kreatif mereka dalam bentuk gambar dan memuatnaikkan ke laman peminat Facebook Durex Malaysia.

Setiap rekaan yang terpilih bagi setiap kategori berdasarkan bilangan undian tertinggi akan membawa pulang sebuah iPad2. Durex juga turut memberi lima iPod Touch sebagai hadiah sagu hati bagi setiap kategori.

Program bergerak terbabit dianjurkan di lima kampus kolej sepanjang November, iaitu Kampus Taylors Lakeside, Universiti Putra Malaysia, Kolej Pendidikan Tinggi Raffles, Universiti Antarabangsa INTI, Kolej Nilai dan IACT. Sepanjang program ini, dinding yang dipenuhi maklumat akan didirikan yang mempamerkan fakta ‘Tahukah anda…?’ mengenai seks dan poster berkaitan maklumat mengenai kesihatan seksual.

Untuk maklumat lanjut mengenai topik seperti isu kesihatan seksual remaja, pilihan kontrasepsi dan inisiatif kempen Durex, layari laman peminat Facebook Durex Malaysia, class=”advisland2″>

Leave a Reply

2,765 views