Risiko Sedut Lemak

Rawatan kecantikan popular terutama dalam kalangan golongan berkemampuan termasuk kaedah sedut lemak (Liposuction) sebagai usaha untuk mencantikkan bentuk badan.

Kaedah ini berupaya membuang sel lemak di bahagian disedut secara kekal, tetapi ia bukan alternatif untuk menguruskan badan kerana lemak boleh berkumpul di kawasan tubuh yang lain pula.

Prosedur itu seharusnya dilakukan oleh pakar bertauliah di pusat kesihatan yang diiktiraf.

Ini kerana prosedur sedut lemak ada kalanya boleh menjadi berbahaya hingga mendatangkan pelbagai komplikasi dan mengancam nyawa, jika dikendalikan bukan pakar atau klinik berdaftar.

Ketua Pembedahan Plastik, Unit Kebakaran dan Penjagaan Luka, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Farrah-Hani Imran berkata, sedut lemak ialah prosedur pembedahan menggunakan teknik sedutan (suction) untuk membuang lemak di bahagian tertentu badan seperti perut, pinggul, paha, punggung atau lengan.

Menurutnya, prosedur ini juga boleh membentuk kontur tubuh terutama di kawasan berkenaan mengikut saiz yang diinginkan.

PERUT sebelum sedut lemak (kiri) dan selepas sedut lemak.

“Seperti pembedahan lain, prosedur buang lemak boleh mengundang risiko seperti pendarahan, alahan terhadap ubat bius setempat dan kesan lebih teruk ialah meninggal dunia akibat komplikasi.

“Antara komplikasi buang lemak ialah jangkitan kuman. Walaupun jangkitan ini jarang berlaku, ada kemungkinan masalah itu (jangkitan kulit yang teruk) boleh mengancam nyawa,” katanya.

Dr Farrah-Hani berkata, golongan berisiko bakal menghadapi pergeseran tahap cecair (fluid shift) ketika disuntik dan proses menyedut lemak menyebabkan masalah buah pinggang, jantung dan paru-paru yang berpotensi membahayakan nyawa.

“Selain itu ialah tusukan tiub kanula (tiub berongga) terlalu dalam dan menembusi organ dalaman. Ia boleh berlaku semasa prosedur kanula dimasukkan menerusi hirisan kecil pada kulit untuk menyedut lemak menerusi tiub berkenaan.

“Walaupun situasi seperti ini jarang terjadi, pesakit memerlukan rawatan pembedahan kecemasan sekiranya ia berlaku tanpa dijangka,” katanya.

Dr Farrah-Hani berkata, risiko lain adalah ketoksikan terhadap ubat bius setempat.

DR Farrah-Hani

Oleh itu, penting untuk mengetahui sejarah pesakit yang berkemungkinan mempunyai alahan terhadap ubat berkenaan.

“Walaupun secara amnya penggunaan ubat bius adalah selamat, maklumat seperti ini (sejarah pesakit) perlu ada.

“Ini sebagai persediaan bagi memudahkan doktor pakar bius menguruskan pesakit, sekiranya ketoksikan terhadap ubat bius menyebabkan masalah sistem pada saraf jantung dan pusat yang serius,” katanya.

Menurut Dr Farrah-Hani, kesan lain ialah ketidakteraturan kontur yang menjadikan kulit kelihatan menggeleber dan tidak anjal selepas lemak ‘degil’ ini disingkirkan.

“Risiko lain ialah gumpalan lemak terperangkap pada saluran darah dan berkumpul dalam paru-paru atau ke organ-organ lain.

DR Faizal Amri

“Jika ini berlaku, rawatan kecemasan perlu diberikan segera bagi menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Jelas beliau, risiko komplikasi mungkin meningkat jika prosedur sedut lemak membabitkan bahagian tubuh yang lebih besar atau beberapa prosedur lain dilakukan serentak.

“Sebab itu, perbincangan bersama pakar bedah bertauliah mengenai risiko sedut lemak adalah perlu sebelum prosedur ini dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Farrah-Hani, prosedur buang lemak tidak dianggap sebagai alternatif untuk menurunkan berat badan secara keseluruhan kerana kaedah yang lebih sesuai ialah melalui cara penjagaan makanan, senaman berkala atau pembedahan bariatrik untuk golongan obesiti.

“Prosedur sedut lemak disasarkan untuk menyelaras dan mengontur kawasan setempat, idealnya kepada yang berada dalam julat berat badan sihat,” katanya.

Namun kata Dr Farrah-Hani, jumlah lemak disedut adalah bergantung kepada tubuh individu dan lemak yang ada di kawasan terbabit.

Mereka perlu sihat dan masalah kesihatan terkawal sebelum menjalani prosedur itu untuk mengelak bahaya ke atas diri mereka.

“Setiap pembedahan ada risiko termasuk prosedur buang lemak. Jika ia dilakukan oleh pakar bedah bertauliah yang berpengalaman dan diiktiraf, ditambah pula pesakit patuh semua arahan pasca bedah bersesuaian, prosedur ini terjamin selamat serta berjaya,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) PPUKM, Dr Faizal Amri Hamzah berkata, individu yang menjalani prosedur buang lemak akan diberi ubat bersesuaian agar berasa selesa dan selamat, selain memastikan proses itu berjalan lancar.

INDIVIDU yang menjalani prosedur membuang lemak perlu diberi ubat bersesuaian.

“Sebelum proses bermula, doktor akan menilai kesesuaian individu terhadap jenis dan kaedah pemberian ubat yang ingin dilakukan.

“Penilaian ini juga mengambil kira sejarah dan faktor kesihatan terkini individu, jenis alahan (jika ada), tempoh masa prosedur dan kebarangkalian komplikasi yang dijangka,” katanya.

Beliau berkata, secara umumnya, kaedah ubatan yang ditawarkan boleh diberikan sama ada secara bius setempat, salur darah atau am.

“Melalui kaedah bius setempat, doktor akan memasukkan sejenis cairan ubat, menggunakan jarum yang amat halus, ke bawah lapisan kulit di bahagian tubuh berkenaan.

“Cairan ubat ini kemudian meresap di sekitar kawasan bawah kulit yang mana lemak itu akan disedut keluar.

“Dalam suatu tempoh tertentu, kawasan kulit akan rasa kebas dan lali (tidak sakit). Campuran ubat ini juga, selain menjadikan ianya kebas, boleh mengurangkan risiko pendarahan (daripada jaringan salur darah kecil akibat prosedur).

“Doktor akan melakukan beberapa teknik ujian untuk memastikan pesakit sudah kebas dan prosedur sedut lemak boleh dimulakan dengan selamat,” katanya.

Dr Faizal Amri berkata, kaedah bius setempat ini juga boleh ditingkatkan dengan sedikit ubat sedatif yang diberikan melalui saluran darah.

Ubat berkenaan membuatkan pesakit tenang dan ‘seolah-olah terlena’ semasa menjalani prosedur terbabit.

Kata Dr Faizal Amri, bius am pula lebih tertumpu kepada prosedur yang dilakukan di pusat perubatan besar atau hospital.

Kaedah ini memerlukan kepakaran pakar bius bertauliah.

“Setelah pakar menilai kesesuaiannya, individu yang menerima bius ini akan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pakar berkenaan akan melakukan pemerhatian dan perawatan secara lebih menyeluruh.

“Lebih-lebih lagi berkaitan pernafasan, tahap kesedaran, tekanan darah, rentak jantung, suhu badan dan paras kandungan oksigen dalam darah,” katanya.

Menyentuh pesakit mengalami situasi nafas terhenti secara tiba-tiba semasa menjalani prosedur sedut lemak, Dr Faizal Amri berkata, pelbagai tindakan atau rawatan awal harus diberikan secara hampir serentak.

“Ini kerana, keadaan itu membahayakan otak dan jantung yang akan turut terhenti degupannya selepas beberapa minit tanpa bantuan awal sehingga boleh mengakibatkan kematian.

“Manakala individu yang jantungnya berhenti secara tiba-tiba, pernafasan turut terhenti. Dalam dua situasi ini, pesakit tidak sedarkan diri.

“Setelah memastikan masih ada denyutan nadi walaupun pernafasan telah terhenti, doktor akan memberikan bantuan pernafasan dan oksigen kepada pesakit,” katanya.

Dr Faizal Amri berkata, langkah ini termasuk meletakkan posisi kepala ‘angkat dagu, dongak kepala’ untuk membuka rongga pernafasan yang disekat lidah, memberikan bantuan pernafasan dengan alat bantuan ‘bag-valve-mask’ setiap enam saat dan menghubungi talian kecemasan 999 (jika premis bukan di hospital).

“Langkah lain ialah menyuntik ubat antidot sekiranya pernafasan pesakit terhenti disebabkan ubat sedatif, melakukan sedutan rembesan di dalam mulut (jika ada) dan seterusnya memasukkan alat bantuan pernafasan lanjutan seperti LMA, sementara menunggu bantuan seterusnya atau sehingga pernafasan kembali pulih,” katanya.

Apabila nadi (denyutan jantung) pula yang berhenti, maka rawatan sokongan hayat asas seharusnya dilakukan serta merta untuk menyelamatkan nyawanya.

Katanya, sekiranya hanya ada seorang penyelamat atau orang awam, maka bantuan ini dilakukan dengan cara menekan teng

ah dada berulang kali pada kadar kelajuan 100 kali tekanan dalam seminit, tanpa pemberian bantuan pernafasan.

“Adanya dua penyelamat, setiap 30 tekanan dada akan diselang selikan dengan dua bantuan pernafasan. Tetapi tetap pada kadar kelajuan 100 tekanan dalam seminit.

“Rawatan lanjut kecemasan akan diberikan setelah ambulans tiba dan individu terkesan dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

29 views