Rona Cerah Naikkan Seri Muka

LANGKAH disusun teratur penuh sopan dan memikat. Berkebaya anggun menawan menyerlahkan kejelitaan gadis Melayu manakala kuntuman bunga menghiasi rambut ikal mayang bersama solekan ceria. Semuanya serba sempurna memperlihatkan keayuan si dara menyambut tetamu di bulan mulia ini.

Bak kata pepatah dari mata turun ke hati, pasti setiap gadis mahukan penampilan sempurna menyambut raya. Bukan saja mengenakan sepasang kurung Pahang merah ceria atau kebaya polos bersulam indah, solekan juga memainkan peranan penting bagi menyerlahkan keanggunan si pemakai. Selain nampak segar dan semula jadi solekan menggunakan rona ceria mampu menambah kemanisan kala melayan tetamu.

Menurut jurusolek profesional, Arra Farhana, kuasa solekan mampu membuatkan wajah kusam dan lesu bertukar jelita sekali gus meningkatkan keyakinan diri menerima kunjungan tetamu.

“Kebanyakan wanita sering mengabaikan solekan di musim perayaan dengan beranggapan melayan tetamu di rumah tidak perlu berhias cantik, cukup sekadar berpakaian baru. Sebenarnya ia satu tanggapan yang salah. Ini kerana solekan mempunyai kuasa dan daya tarikan tersendiri kerana berupaya menutup kekurangan pada wajah sekali gus menjadikan seorang wanita itu tidak jemu dipandang,” katanya.

Tanpa jurusolek profesional sekali pun, seseorang itu akan kekal menyerlah sekiranya bijak mengadunkan warna pada wajah, asalkan tidak keterlaluan sehingga menenggelamkan kecantikan asli seseorang.

Teknik menggunakan bedak asas, penutup cela dan bedak debu akan menyembunyikan kekurangan wajah seperti rona kulit tidak sekata, jeragat serta bekas jerawat. Rahsia teknik wajah sempurna terletak pada tiga langkah awal menyediakan kulit wajah sebelum proses mengadun warna untuk mata, pipi dan bibir bagi solekan sederhana. Selesai proses itu, wajah bagaikan sekeping kanvas yang sedia untuk dilukis mengikut gaya solekan diingini.

Bagi solekan kali ini, Arra menggunakan rona cerah seperti ungu, merah jambu dan sedikit kilatan coklat bagi memberikan kesan ceria. Untuk tampil berseri, celak dilayangkan pada kelopak mata dan bawah mata menjadikan mata lebih galak bersinar. Tanpa bulu mata palsu, hanya olesan maskara menjadikan bulu mata lebih lentik dan panjang sekali gus menjadikan anda tampil berbeza.

Dengan paduan warna bedak asas serta pembayang mata bersesuaian, ia mampu menyerlahkan keanggunan wanita.

“Kesannya wajah pucat tampil lebih berseri dengan bedak asas, mata yang kusam kelihatan galak bersinar dengan celak dan rona pembayang mata, selain alis panjang dan lentik dengan olesan maskara,” jelasnya yang menasihatkan wanita supaya bijak memilih bedak asas bersesuaian dengan kulit dan tidak berminyak bagi memastikan solekan tahan lama dan tidak diganggu oleh kilatan di sekitar pipi.

Bagi wanita berwajah bulat, teknik bayangan penting bagi menjadikan wajah sedikit bujur. Selepas itu, pilih pemerah pipi merah jambu dan gincu bersama pengilat bibir menjadikan bibir seksi menawan. Setelah lengkap bersolek, pastikan anda menyesuaikan dengan dandanan rambut.

Bagi wanita yang memilih kebaya atau baju kurung Pahang, ikatan rambut dengan kuntuman bunga mampu menyerlah keanggunan atau boleh membuat sanggul kecil untuk lebih kemas dan menawan.

Artikel ini disiarkan pada : 23/08/2012

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

841 views