Rona Hijau Lumut Penyeri Musim Bunga

Pelbagai rona pilihan ditampilkan bersama tekstur menarik dengan reka bentuk unik untuk penampilan memukau dan ceria pada koleksi aksesori musim bunga dan panas 2013 kali ini.

Kemas kini gaya tahun baru anda dengan koleksi Carlo Rino menerusi pilihan rona hijau lumut yang menjadi antara warna paling hangat musim ini.

Menggunakan material kulit mewah, koleksi beg tangan itu turut disertakan tali tambahan untuk memberi keselesaan ketika menggayakannya.

Rekaannya yang mempunyai dua saiz berbeza itu sesuai untuk wanita yang memerlukan banyak ruang untuk menyimpan barangan penting di samping menjaga penampilan anggun.

Jika bosan dengan rona hijau lumut, anda juga boleh beralih kepada beg genggam merah jambu yang menggunakan fabrik satin yang terdapat di dalam beg tote berkenaan.

Bagi yang mahu bertukar cita rasa bolehlah meninjau koleksi beg tangan rekaan abstrak rona emas digabung bersama putih, merah terang atau kuning untuk disandang di bahu dengan tali boleh laras sama ada pendek atau panjang mengikut keselesaan si pemakai.

Beg bersaiz sederhana besar itu sesuai digayakan untuk ke pejabat, bertemu pelanggan atau bersantai bersama teman dengan gaya seksi yang ditonjolkan melalui elemen tali rona hitam dan putih.

Untuk gaya lebih ranggi pula, penggayaan beg silang mini atau besar pastinya menonjolkan gaya diinginkan selain mudah memastikan keselamatan barangan penting yang dibawa.

Rekaan elegan berbentuk separuh bulat di bahagian depan beg silang itu masih mengekalkan gaya klasik dengan pilihan rona ceria seperti merah jambu, biru, kuning dan merah.

Lebih glamor dan seksi, penggunaan material bercorak kulit ular tampak me-
nyerlah dengan penampilan yakin dan berani si pemakai.

Di sebalik rekaan beg yang sofistikated itu, penampilan tidak akan lengkap tanpa menggayakan kasut senada. Bagi memudahkan wanita bergaya, ada koleksi koleksi kasut baji, bertumit tinggi atau bertapak rata rona terang.

Penggunaan bahan logam seperti stud dijadikan perincian utama koleksi kasut atau sandal bertapak rata untuk mereka yang inginkan gaya feminin.

Selain itu, kasut but juga antara koleksi yang perlu diberi perhatian tatkala ingin mendapatkan keselesaan ketika mengembara.

Walaupun rekaan ditampilkan tampak ringkas tetapi pilihan rona ceria seperti biru, hitam, coklat lembut dan kuning menceriakan penampilan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

658 views