Sahut Cabaran Rakan Lelaki
Bermula sebagai kerani tiket, siapa mampu menyangka ia membuahkan kejayaan kepada wanita ini yang kini mampu memiliki kira-kira 90 bas ekspres.
Bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu kerana ia ternyata memerlukan banyak pengorbanan apabila terpaksa menghabiskan banyak masa di pejabat.
Pada masa sama, dia terpaksa bersaing dengan golongan lelaki yang memonopoli perniagaan perkhidmatan bas.
Apapun, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Express, Rabimah Desa mengakui, walaupun bidang itu banyak disertai lelaki, dia tidak pernah berputus asa apabila terus berusaha untuk mencapai kejayaan.
Jika 30 tahun lalu dia hanya bekerja sebagai kerani yang menjual tiket, kini dia mampu berbangga apabila menerajui salah sebuah syarikat bas terulung di negara ini.
Katanya, kejayaan itu tidak datang bergolek tanpa usaha keras dan tidak mengenal putus asa walaupun kadangkala terpaksa menghadapi risiko kerugian apabila kekurangan penumpang.
“Saya jadikan cabaran dan risiko itu sebagai satu pengalaman berguna untuk kembali bangkit meneruskan perniagaan demi pekerja yang perlu menanggung makan minum keluarga.
“Jika saya berputus asa, perniagaan ini tidak dapat bertahan lama dan kasihan kepada pekerja setia yang sentiasa memberi sokongan serta dorongan,” katanya yang berasal dari Batu Kurau, Taiping, Perak.
Menurutnya, bukan senang untuk menguruskan perniagaan besar seperti itu kerana tugasnya yang banyak menyebabkan masanya terlalu sibuk hingga kekurangan masa bersama tiga anak yang masih kecil.
Namun, dia bersyukur kerana suaminya Ahmad Hitaimi Zahari, 40, mengambil tugas itu untuk menjaga anak kala dia perlu menyiapkan tugasan.
Suaminya juga terbabit dalam perniagaan bas ekspres yang menguruskan bas sewa beli di institut pengajian tinggi (IPT).
Tanpa bantuan daripada suaminya itu, dia tidak mampu menguruskan perniagaan dengan baik di samping memikul tanggungjawab sebagai ibu.
Walaupun begitu, dia tidak pernah mengabaikan tugasnya sebagai seorang ibu dengan mencuri masa bersama anak-anak dengan melakukan pelbagai aktiviti.
Menceritakan cabaran dalam perniagaan berkenaan, Rabimah berkata, dia bermula dengan modal yang amat kecil iaitu sekitar RM10,000 kira-kira 15 tahun lalu.
Ketika itu, dia menyahut cabaran rakan lelaki yang mahu dirinya pergi lebih jauh dalam perniagaan itu bukannya hanya menjadi kerani tiket saja .
Dengan modal daripada wang simpanan, dia mula mencari pemilik bas yang sanggup memajak bas kepadanya untuk mencari penumpang. Cabarannya, setiap hari dia perlu memenuhkan bas berkenaan bagi memberi wang kepada pemilik dalam jumlah ditetapkan.
“Ketika itu, saya memajak lima bas dan perlu mencari penumpang. Pemilik menetapkan syarat iaitu saya perlu memberi wang bersih sebanyak RM400 bagi satu perjalanan.
“Saya berusaha keras untuk mendapatkan penumpang bas apatah lagi saya juga harus membayar gaji pemandu dan mengisi minyak. Walaupun hanya mendapat untung kecil, usaha itu ternyata amat berbaloi.
“Hasil pajakan bas berkenaan, saya mampu menyimpan wang dan mula mendapat kepercayaan ramai pemilik bas,” katanya.
Pernah satu ketika, dia langsung tidak memperoleh keuntungan kerana perlu membuat pelbagai bayaran termasuk pemandu, minyak dan pemilik bas, namun dia tidak pernah berputus asa kerana mahu berjaya.
Sebagai orang tengah mengendalikan bas yang diberi tanggungjawab oleh syarikat, dia perlu pandai mengendalikan bas dan memberikan wang kepada pemilik seperti yang dijanjikan.
Cukup tempoh pemilik bas akan datang meminta wang dan mujur mereka terus percaya apabila menyerahkan pengendalian bas itu kepada dirinya dan dalam tempoh setahun, dia mampu memajak 10 bas.
Walaupun kerja itu amat berat, hasil pengalaman mengendalikan bas dan sentiasa bersama pelanggan, dia terus diberi kepercayaan untuk memikul tugasan berkenaan.
Menurutnya, dia juga pernah digelar ‘Ratu Puduraya’ kerana berjaya mengendalikan banyak bas dalam satu masa walaupun pada usia masih muda.
“Bukan mudah untuk bersaing dengan golongan lelaki kerana mereka lebih dipercayai melakukan urusan bas ekspres, namun saya bersyukur kerana turut diberikan kepercayaan 100 peratus oleh pemilik bas,” katanya yang mengakui berkelulusan hanya Sijil Pelajaran Malaysia.
Walaupun tidak meneruskan pengajian hingga ke menara gading, dia juga mahu membuktikan mampu berjaya seperti orang lain asalkan mempunyai keinginan kuat untuk maju dalam kehidupan.
Rabimah berkata, dia mengambil keputusan membuka syarikat bas sendiri di bawah jenama Etika Ekspres pada 2002.
Pada permulaan, dia hanya membeli sebanyak 10 bas hasil wang simpanan dan pinjaman daripada institusi kewangan bagi perjalanan ke utara dan pantai timur.
Jika pada awalnya dia dilanda pelbagai cabaran namun kini wanita ini boleh mampu tersenyum puas dengan perjalanan operasi syarikat basnya.
Namun, dia tidak mahu terus berbangga dengan kejayaan itu kerana tidak selamanya akan berada di atas sekiranya tidak berusaha dengan lebih gigih.
Apatah lagi kini terlalu banyak persaingan dengan syarikat bas dan kenderaan perkhidmatan awam yang disediakan kerajaan, jadi dia perlu sentiasa membuat pembaharuan untuk memberi keselesaan kepada penumpang.
Penumpang juga lebih mudah apabila boleh membeli tiket perkhidmatan bas melalui laman web www.etikadelta.com.my.
Rabimah berkata, walaupun hanya menyediakan perkhidmatan ekspres, pemilik perlu mengikut teknologi semasa untuk keselesaan semua.
Sebagai wanita, usah takut untuk menceburi bidang perniagaan walaupun ia dimonopoli kaum lelaki kerana lama-kelamaan kita akan lebih diberi kepercayaan jika tanggungjawab dilakukan dengan sempurna.
Perniagaan bas juga mempunyai pasang surut dan berisiko kerana bukan setiap hari mendapat untung seperti yang dimahukan. Namun perkara itu langsung tidak menghalang minatnya dalam bidang perniagaan terbabit malah terus dijadikan inspirasi.
Dia bersyukur kerana setakat ini bas miliknya tidak pernah terbabit dalam kemalangan besar yang menyebabkan kematian. Untuk mengelakkan perkara tidak diingini, dia sentiasa memantau kakitangannya khususnya pemandu yang mendapat latihan secukupnya.