Rawatan Eksklusif Tabib Cina

KEBERKESANAN perubatan tradisional Cina sememangnya telah diperakui sejak berkurun lamanya. Sehingga kini, biar pun begitu banyak rawatan moden yang ada, masih ramai yang mencari Tabib Cina untuk memulihkan penyakit yang mereka hadapi.

Selain bertujuan merawat, perubatan jenis ini juga dipercayai merupakan amalan yang baik sebagai langkah preventif dalam usaha mencapai kesejahteraan hidup.

Pusat Perubatan Komplimentari dan Tradisional Cina (TCM) yang terletak di Hotel Wellness Mines mungkin antara lokasi sesuai buat mereka yang ingin mencuba perubatan berusia 5,000 tahun itu.

Menawarkan sebuah tempat rawatan alternatif dalam suasana eksklusif pertama di Malaysia, ia memiliki 18 buah bilik bilik terapi untuk individu dan pasangan, bilik pengamal perubatan Cina, kaunter herba, farmasi, lounge bacaan, bilik VIP dan galeri. Secara keseluruhannya, boleh dikatakan ia bukan sahaja sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan rawatan, malah boleh dijadikan pusat terapi di bawah satu bumbung bagi keselesaan pengunjung.

“TCM diasaskan oleh Tan Sri Lee Kim Yew sejak 2008 lagi. Kami mempunyai empat pengamal perubatan bertauliah yang mana tiga daripadanya didatangkan khas dari China,” kata Timbalan Pengurus Besar Golden Horses Health Sanctuary (GHHS), Tay Chee Kim.

GHHS merupakan bahagian yang menguruskan perkhidmatan kesihatan di bawah syarikat tersenarai di bursa, Country Heights Holding Berhad.

Menjelaskan lebih lanjut kata beliau, perubatan tradisional Cina percaya kepada konsep keseimbangan dan keharmonian tenaga Yin dan Yang, yang berfungsi secara holistik merangkumi tubuh badan, semangat dan rohani. Perubatan jenis itu juga katanya mengaitkan lima elemen alam iaitu tanah, api, air, angin dan besi dengan lima sistem organ utama tubuh.

Seandainya kesemua keseimbangan ini dicapai, seseorang itu mampu hidup secara sihat dan sejahtera untuk tempoh lebih lama.

Terapi

Menurut Chee Kim, bukan sahaja untuk mereka yang berpenyakit, kebanyakan terapi alternatif yang ditawarkan di TCM sebenarnya sangat bermanfaat dalam usaha pencegahan penyakit ke arah hidup yang lebih sihat.

Bagi pengunjung yang ingin mendapatkan perubatan tradisional Cina secara terperinci katanya, mereka akan dibawa bertemu pengamal perubatan untuk diagnosis dengan cara pembacaan nadi.

Melalui pembacaan nadi, sebarang keganjilan dan ketidakseimbangan yang berlaku pada seluruh tubuh dapat dikenalpasti.

“Biasanya, sesuatu penyakit itu mengambil tempoh 10 tahun untuk berkembang. Jadi dengan analisis awal, sekurang-kurangnya kita dapat elak melalui preskripsi yang diberi oleh pengamal perubatan Cina,” katanya.

Menurutnya, setiap rawatan yang diberi kepada pesakit berbeza bergantung kepada keadaan mereka. Jika individu itu didiagnos berpenyakit, dia akan diberi ubat herba dan disyorkan menjalani terapi tertentu yang berfungsi membuka kembali sekatan terhadap ‘qi’ (tenaga) dan mengembalikan kesihatan seperti sedia kala.

Antara perkhidmatan yang disediakan mendapat sambutan ramai di TCM adalah rawatan akupuntur tradisional Cina yang dilakukan oleh pengamal berpengalaman dari Beijing, Jia Hui Feng.

Selain itu penjagaan kiropraktik dan moxibustion (pengasapan menggunakan herba) turut mendapat sentuhan pakar Huing Yi yang juga didatangkan khas dari negara itu.

Pengunjung juga boleh mencuba terapi badan Tui-Na, refleksologi dan juga rendaman kaki herba.

Lain-lain rawatan alternatif yang ditawarkan adalah Ba Guan (bekam menggunakan cawan kaca), Gua Sha (terapi gores) dan juga kaedah Qiaodanjing yang merangsang penyerapan nutrien, memperbaiki jus hempedu serta penghasilan darah dalam badan. Terdapat juga kelas senaman QiGong yang menghimpunkan sains dan seni penggunaan teknik bernafas, pergerakan lembut dan meditasi untuk mencuci, menguat serta melancarkan ‘qi.’

Kata Chee Kim lagi, kesemua rawatan yang dijalankan masih mengekalkan kaedah tradisional termasuk akupuntur menggunakan jarum konvensional dan bekam dengan cawan yang dipanaskan.

Selain untuk kesejahteraan dan perubatan, TCM turut menawarkan program pengurusan berat badan yang menawarkan pakej istimewa termasuk penginapan selama lima hari empat malam di Hotel Wellness Mines.

Program ini bukan sahaja bertujuan mendapatkan berat badan yang ideal malah ia juga baik untuk awet muda kerana merangkumi rawatan akupuntur, pengambilan sup sayur organik yang bernutrien tinggi dan juga beberapa rawatan terapi semula jadi bagi membuang toksin dari dalam badan.

Pastinya mengunjungi TCM mampu memberi rawatan yang sesuai untuk anda kerana ia disediakan berdasarkan keperluan tubuh individu melalui diagnosis yang dilakukan.

Leave a Reply

1,139 views