Sambut Ahli Baru
PERSEDIAAN awal bagi menyambut kelahiran si kecil tersayang sememangnya sesuatu yang tidak harus dipandang remeh, bukan saja dari segi kelengkapan fizikal, malah persediaan mental.
Dalam keseronokan menanti kehadiran si kecil, penting bagi ibu bapa terutama mereka yang baru pertama kali bergelar ibu dan bapa menghadiri kelas persediaan kelahiran bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan berkaitan penjagaan bayi
.
Bagi Nurfazlin Mulop, 34, dia amat menantikan penganjuran kelas antenatal
kerana boleh mempelajari pelbagai pengetahuan menarik mengenai penjagaan bayi.
Dia yang hamil empat bulan (ketika temu bual ini dijalankan) perlu mengikuti kelas persediaan ini disebabkan jarak antara anak pertama dan keduanya agak jauh.
“Jarak yang lama itu membuatkan saya kini seperti ibu yang baru pertama kali bersalin dan segala pengetahuan asas mengenai penjagaan bayi perlu dimulakan sejak awal.
“Namun, ia memberikan banyak kelebihan kerana pengalaman bersalin sebelum ini boleh digunakan sebagai panduan walaupun sudah terlalu lama,” katanya ditemui pada bengkel antenatal yang diadakan di Hospital Pantai Ampang, baru-baru ini.
Sungguhpun tidak dapat ditemani suami tercinta kerana urusan kerja, ia tidak mematahkan semangat Nurfazlin untuk hadir bersama-sama anak perempuannya, Noralisa Abd Rahman, 9, dan mengikuti aktiviti yang disediakan dalam kelas antenatal berkenaan.
Walaupun kelas antenatal yang disediakan itu ringkas, ia dipenuhi dengan segala pengetahuan diperlukan bakal ibu terutama dari segi penjagaan bayi.
Pada masa sama, dia kini berazam untuk memastikan bayi keduanya memperoleh susu badan mencukupi memandangkan anak sulungnya sebelum ini tidak mampu disusukan sepenuhnya kerana masalah kekurangan susu badan.
“Pada ketika itu, saya tidak mempunyai sokongan moral bagi memberikan susu badan sepenuhnya kepada anak. Apatah lagi saya tiada ibu dan bapa yang boleh memberikan nasihat.
“Saya menjaga anak sendiri dan mula ‘menyerah kalah’ untuk meneruskan susuan badan kerana susu yang diberikan tidak mencukupi. Ketika itu saya mula menggantikannya dengan susu formula bersesuaian agar tumbesaran anak ketika itu tidak terjejas,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai ejen insurans berkata, berbanding sebelum ini, proses mendapatkan maklumat diperlukan berkaitan isu kelahiran makin mudah disebabkan penggunaan teknologi Internet secara meluas.
Klik saja mengenai apa yang ingin diketahui, segala maklumat berkaitan terpapar dengan mudah dan ia memberikan banyak kelebihan terutama bagi golongan ibu berkerjaya.
“Kehadiran bayi ini memberikan rahmat yang cukup besar bagi saya kerana saya dan suami sudah lama menantikannya. Alhamdulillah kini ia menjadi kenyataan.
“Walaupun tidak melakukan persediaan seperti anak pertama dan hanya menggunakan baju yang pernah dipakai kakaknya sebelum ini, tidak bermakna saya tidak melakukan persediaan memandangkan jantina bayi masih belum diketahui kerana masih berada pada peringkat awal kehamilan. Kata orang biarlah berpada dan jangan membazir,” katanya.
Sementara itu, bagi pasangan Wan Khairunnisa Wan Oze, 25, dan Mohd Fauzi Ahmed, 31, yang bakal bergelar ibu bapa buat pertama kali, mereka tidak dapat menyembunyikan kegembiraan menyambut ahli baru keluarga mereka.
Pasangan ini yang sudah lama menginginkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga sepakat menghadiri kelas antenatal sebelum proses kelahiran kerana masih banyak yang perlu dipelajari mengenai penjagaan bayi.
Wan Khairunnisa berkata, kelas persediaan sememangnya satu kemestian memandangkan dia yang pertama kali bergelar ibu dan banyak perkara yang perlu dipelajari bagi memastikan bayi berada dalam keadaan sempurna selepas dilahirkan.
Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak banyak masalah kesihatan sepanjang hamil. Walaupun pada peringkat awal mengalami alahan, ternyata ia tidak berpanjangan.
“Ini bayi pertama saya dan pasti ingin melakukan segala yang terbaik untuk dia.
Oleh itu, penting untuk mendapatkan maklumat terkini bagi memastikan proses penjagaan tidak menjadi kelam-kabut apabila menghadapinya sendiri.
“Sekurang-kurangnya saya sudah mengetahui cara untuk melakukannya sendiri walaupun tidak dinafikan pada peringkat awal akan berasa kekok,” katanya.
Dia yang kini hanya menghitung hari untuk melahirkan anak pertamanya itu berkata, dari segi pemakanan pula dia banyak mengambil vitamin, kalsium dan mengamalkan pemakanan sihat bagi memastikan diri dan anak memperoleh khasiat mencukupi.
Suaminya, Mohd Fauzi berkata, segala persediaan dilakukan untuk menyambut bayi mereka dan kini hanya menantikan kehadiran si kecil dengan penuh sabar.
Perasaan teruja yang dialami memang sukar dibayangkan.
Dia yang mengikuti kelas persediaan ini bersama isterinya mengakui banyak perkara asas berkaitan penjagaan bayi dipelajarinya kini dan tidak sabar melakukannya sendiri nanti.
“Walaupun dilakukan secara ringkas, pengetahuan yang dipelajari cukup bermakna terutama bagi pasangan ibu dan bapa yang pertama kali menantikan kehadiran anak.
“Di sini, saya diajar cara memandikan serta memegang bayi dengan betul. Ia kelihatan cukup mudah, tetapi nyata isu keselamatan paling diutamakan dan perlu dititikberatkan kedua-dua ibu dan bapa,” katanya.
Tip penjagaan ibu ketika hamil:
Diet
Langkah bijak ialah mengikuti saranan piramid makanan dengan memakan lebih banyak bijirin dan produk bijirin, diikuti sayur-sayuran dan buah-buahan, sumber protein, hasil tenusu serta kurangkan makanan manis, bergaram dan berlemak.
Pengambilan makanan mustahak kerana ia dapat memastikan anda mendapat semua jenis vitamin dan mineral penting daripada setiap jenis makanan yang diambil.
Ambil makanan segar berbanding diproses contohnya pisang mentah lebih berkhasiat berbanding pisang goreng dan kacang pis segar penuh vitamin jika dibandingkan pis dalam tin.
Selain itu, bawa bersama botol berisi air ke mana saja anda pergi. Air mencukupi dapat mengelakkan kelahiran pramatang, sembelit dan komplikasi lain.
Sementara itu, air yang dimaksudkan tidak termasuk minuman berkarbonat, teh dan kopi. Hanya air kosong, susu dan jus buah segar dikategorikan sebagai air yang perlu diminum sehingga dua liter sehari.
Senaman
Amalan senaman yang konsisten dapat mengurangkan gejala di awal trimester kehamilan termasuk alahan malah ia membantu mengurangkan rasa sakit di pinggang, kekejangan kaki dan sembelit.
Digalakkan untuk melakukan aktiviti senaman secara sederhana selama 30 minit setiap sesi dalam seminggu. Paling mudah berjalan dalam jarak dekat setiap hari atau melakukan aerobik khusus untuk ibu hamil.
Senaman yang dilakukan tidak semestinya perlu dihabiskan dalam masa 30 minit setiap sesi. Anda boleh membahagikannya kepada sesi tertentu seperti setiap 10 atau 15 minit.
Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan sebarang program senaman dan dinasihatkan untuk berhenti serta-merta daripada bersenam apabila mengalami tanda seperti letih, pening kepala, sesak nafas, kontraksi, pendarahan atau air ketuban bocor.
Tidur
Pada peringkat awal trimester, anda dapat tidur selesa dan lena dengan pelbagai jenis posisi, namun apabila perut semakin membesar, anda mulai sukar tidur nyenyak.
Oleh itu, apabila tempoh kehamilan melepasi usia 16 minggu, dinasihatkan tidur dengan posisi mengiring ke kiri.
Posisi ini akan memastikan pengaliran oksigen dan makanan kepada bayi pada tahap paling optimum dan pada masa sama, membantu buah pinggang membuang sisa cecair daripada tubuh lalu mengurangkan bengkak pada kaki, pergelangan kaki dan tangan.
Muzik
Untuk menenangkan diri apa kata dengar muzik berirama lembut dan mainkan lagu yang sama secara tetap setiap hari.
Ulangi amalan yang sama selepas bayi lahir dan anda pasti teruja melihat bayi tenang sebaik saja anda memainkan lagu sama seperti sewaktu dalam kandungan.
Selain daripada muzik, individu beragama Islam digalakkan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran agar kelebihan ayat suci itu mampu merangsang saraf otak bayi. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan darjah kecerdasan bayi dalam kandungan.
Kelas penyusuan
Jika ingin menyusukan bayi bakal lahir secara eksklusif, langkah itu harus dimulakan sejak awal iaitu digalakkan untuk berbual dengan bayi dengan menyatakan kemahuan memberikan susu ibu sejurus dia lahir sehingga usianya dua tahun atau lebih.
Anda dan suami juga perlu mengikuti kelas penyusuan yang dianjurkan di klinik kerajaan, hospital mahupun kumpulan penyokong penyusuan susu ibu.
Menerusi kelas ini, antara lain anda berdua akan belajar teknik penyusuan yang betul serta langkah yang patut diambil jika menghadapi masalah. Maklumat dan sokongan diberikan bakal membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu.
Kepanasan
Tubuh berada dalam keadaan panas terutama pada trimester akhir adalah normal dan ia berlaku kesan penghasilan hormon progesteron selari dengan peningkatan suhu tubuh bayi.
Bagi mengurangkan masalah ini minum air sekerap mungkin bagi menggantikan peluh yang keluar. Selain itu, anda digalakkan mengambil makanan yang banyak mengandungi cecair seperti bubur, yogurt dan jus buah.
Daripada segi berpakaian, pilih baju yang diperbuat daripada kapas kerana ia menyerap peluh dan pastikan warnanya cerah supaya tidak menyerap panas matahari.
Menghadiri kelas antenatal
Bagi mereka yang pertama kali bergelar ibu, segera daftarkan diri untuk menyertai kelas antenatal anjuran pihak hospital di mana anda bercadang mahu bersalin.
Kelas ini penting kerana anda dan suami bakal didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan kehamilan, kelahiran, penyusuan susu dan kehidupan bayi selepas dilahirkan.
Biarpun kelas yang anda ikuti ini ringkas, ilmu yang bakal diperoleh memberi faedah yang bukan sedikit.
Panduan untuk bapa bagi menghadapi saat kelahiran
Tahu apa yang bakal berlaku
Pastikan anda dan isteri melengkapi ilmu pengetahuan mengenai kelahiran yang bakal dilalui nanti dengan mengikuti kelas antenatal bersama isteri.
Melalui kelas ini anda berdua boleh memperoleh pelbagai maklumat asas untuk dipraktikkan dan langkah ini penting bagi meluaskan minda agar dapat menghadapi cabaran yang bakal timbul apabila tiba saatnya nanti.
Pasangan perlu sentiasa memantau pergerakan kontraksi dengan mencatatnya setiap kali ia berlangsung bagi memudahkan anda mengetahui apa yang sedang dan bakal berlaku.
Bersedia untuk melaluinya
Kebanyakan wanita terutama mereka yang hamil buat pertama kali perlu melalui proses bersalin yang lebih panjang sebelum selamat melahirkan.
Lebih baik dan selesa jika isteri anda melalui tahap awal proses bersalin di rumah saja kerana kebanyakan hospital tidak menerima pesakit melainkan kontraksi yang dialami tetap dan berlaku setiap lima minit.
Fleksibel
Tidak semua wanita hamil akan melalui pengalaman bersalin yang sama oleh itu, pasangan perlu berbincang segala kemungkinan yang bakal berlaku dan pilihan yang ada bagi mengatasinya.
Selain itu, lakukan persiapan mental, fizikal mahupun ekonomi untuk melalui perubahan drastik yang mungkin hadir tanpa disedari ketika itu.
Usah ambil hati
Ibu hamil adakalanya akan berubah sikap apabila melalui proses kelahiran terutama di tahap terakhir. Kesakitan dan keletihan yang dialaminya membuatkan dia mudah hilang pertimbangan diri apatah lagi jika proses itu memakan masa yang sangat panjang.
Tanpa disedari dia mungkin bersikap atau berbicara kasar oleh itu, jangan mudah terasa dengan sikap atau kata-kata si dia.
Siapkan keperluan diri
Wanita hamil juga disaran mempersiapkan beg khas mengandungi pelbagai kelengkapan diri dan bayi bagi menghadapi proses kelahiran sebelum tarikh jangkaan bersalin.
Memandangkan anda juga akan bermalam di hospital, apa kata sediakan beberapa kelengkapan diri sendiri contohnya pakaian sejuk, stokin, bantal dan makanan ringan.
Bertanya soalan
Jangan malu bertanya kepada doktor apa saja masalah yang mengusutkan fikiran kerana dengan maklumat diperoleh, anda dapat membantu isteri untuk berada dalam keadaan lebih selesa apatah lagi jika dia kini tidak lagi punya kekuatan untuk bertanya itu dan ini.
Pendorong semangat
Tidak semua wanita hamil kuat dalam menghadapi ujian yang perlu ditempuh sepanjang proses bersalin.
Sebagai suami anda perlu terus kuat dan tidak henti memberikan semangat kepadanya. Kekuatan yang ada pada diri anda sangat penting ketika isteri berada dalam keadaan kontraksi terutama pada proses melahirkan bayi.
Bantu kekalkan fokus
Tenangkan isteri dan membantunya untuk kekal fokus, malah anda boleh meminta isteri menggunakan teknik pernafasan, mengubah posisi ataupun anda sendiri boleh menawarkan diri untuk mengurut bahagian tubuh yang tidak selesa.
Berterus-terang
Banyak perkara bakal berlaku dalam bilik bersalin, paling penting untuk mengetahui apa yang perlu dan mahu dilakukan sepanjang proses itu berlangsung.
Menerusi kelas ini, antara lain anda berdua akan belajar teknik penyusuan yang betul serta langkah yang patut diambil jika menghadapi masalah. Maklumat dan sokongan diberikan bakal membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu.
Kepanasan
Tubuh berada dalam keadaan panas terutama pada trimester akhir adalah normal dan ia berlaku kesan penghasilan hormon progesteron selari dengan peningkatan suhu tubuh bayi.
Bagi mengurangkan masalah ini minum air sekerap mungkin bagi menggantikan peluh yang keluar. Selain itu, anda digalakkan mengambil makanan yang banyak mengandungi cecair seperti bubur, yogurt dan jus buah.
Dari segi berpakaian, pilih baju yang diperbuat daripada kapas kerana ia menyerap peluh dan pastikan warnanya cerah supaya tidak menyerap panas matahari.
Menghadiri kelas antenatal
Bagi mereka yang pertama kali bergelar ibu, segera daftarkan diri untuk menyertai kelas antenatal anjuran pihak hospital di mana anda bercadang mahu bersalin.
Kelas ini penting kerana anda dan suami bakal didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan kehamilan, kelahiran, penyusuan susu dan kehidupan bayi selepas dilahirkan.
Biarpun kelas yang anda ikuti ini ringkas, ilmu yang bakal diperoleh memberi faedah yang bukan sedikit.
Panduan untuk bapa bagi menghadapi saat kelahiran
Tahu apa yang bakal berlaku
Pastikan anda dan isteri melengkapi ilmu pengetahuan mengenai kelahiran yang bakal dilalui nanti dengan mengikuti kelas antenatal bersama isteri.
Melalui kelas ini, anda berdua boleh memperoleh pelbagai maklumat asas untuk dipraktikkan dan langkah ini penting bagi meluaskan minda agar dapat menghadapi cabaran yang bakal timbul apabila tiba saatnya nanti.
Pasangan perlu sentiasa memantau pergerakan kontraksi dengan mencatatnya setiap kali ia berlangsung bagi memudahkan anda mengetahui apa yang sedang dan bakal berlaku.
Bersedia untuk melaluinya
Kebanyakan wanita terutama mereka yang hamil buat pertama kali perlu melalui proses bersalin yang lebih panjang sebelum selamat melahirkan.
Lebih baik dan selesa jika isteri anda melalui tahap awal proses bersalin di rumah saja kerana kebanyakan hospital tidak menerima pesakit melainkan kontraksi yang dialami tetap dan berlaku setiap lima minit.
Fleksibel
Tidak semua wanita hamil akan melalui pengalaman bersalin yang sama. Oleh itu, pasangan perlu berbincang segala kemungkinan yang bakal berlaku dan pilihan yang ada bagi mengatasinya.
Selain itu, lakukan persiapan mental, fizikal mahupun ekonomi untuk melalui perubahan drastik yang mungkin hadir tanpa disedari ketika itu.
Usah ambil hati
Ibu hamil adakalanya akan berubah sikap apabila melalui proses kelahiran terutama pada tahap terakhir. Kesakitan dan keletihan yang dialaminya membuatkan dia mudah hilang pertimbangan diri, apatah lagi jika proses itu memakan masa yang sangat panjang.
Tanpa disedari dia mungkin bersikap atau berbicara kasar. Oleh itu, jangan mudah terasa dengan sikap atau kata-kata si dia.
Siapkan keperluan diri
Wanita hamil juga disaran mempersiapkan beg khas mengandungi pelbagai kelengkapan diri dan bayi bagi menghadapi proses kelahiran sebelum tarikh jangkaan bersalin.
Memandangkan anda juga akan bermalam di hospital, apa kata sediakan beberapa
kelengkapan diri sendiri contohnya pakaian sejuk, stoking, bantal dan makanan ringan.
Bertanya soalan
Jangan malu bertanya kepada doktor apa saja masalah yang mengusutkan fikiran kerana dengan maklumat diperoleh, anda dapat membantu isteri untuk berada dalam keadaan lebih selesa, apatah lagi jika dia kini tidak lagi punya kekuatan untuk bertanya itu dan ini.
Pendorong semangat
Tidak semua wanita hamil kuat dalam menghadapi ujian yang perlu ditempuh sepanjang proses bersalin.
Sebagai suami anda perlu terus kuat dan tidak henti memberikan semangat kepadanya. Kekuatan yang ada pada diri anda sangat penting ketika isteri
berada dalam keadaan kontraksi terutama pada proses melahirkan bayi.
Bantu kekalkan fokus
Tenangkan isteri dan membantunya untuk kekal fokus, malah anda boleh meminta isteri menggunakan teknik pernafasan, mengubah posisi ataupun anda sendiri boleh menawarkan diri untuk mengurut bahagian tubuh yang tidak selesa.
Berterus terang
Banyak perkara bakal berlaku dalam bilik bersalin, paling penting untuk mengetahui apa yang perlu dan mahu dilakukan sepanjang proses itu berlangsung.