Sandwic Biskut Berulam
JIKA tiada idea menyediakan menu bersahur yang ringkas dan lazat, apa kata cuba sajikan sandwic.
Kebiasaannya, hidangan sandwic terdiri daripada dua keping roti yang diapit inti misalnya tuna bersama keju, tetapi sesekali pelbagaikan bentuk sandwic.
Kali ini, gunakan biskut sebagai bahan utama dengan tambahan ulam-ulaman.
Mungkin nampak pelik, tetapi snek ringkas yang cepat dan mudah disediakan ini mampu memberikan sumber protein dan serat yang tinggi pada badan terutama bagi membekalkan tenaga ketika berpuasa.
Walaupun biasanya sajian sandwic berulam menggunakan biskut ini disediakan bagi hidangan minum petang, kombinasi ulam-ulaman yang menjadi bahan utama penyediaannya boleh dijadikan menu sihat untuk bersahur.
Bagi pemilik kafe Nyaman, Chef Harun Mat Yusop, menu sandwic berulam ini juga boleh dijadikan sajian menyihatkan terutama bagi mereka yang mementingkan faktor kesihatan.
“Saya sentiasa cuba menghasilkan resipi mudah, tetapi dengan gaya tersendiri untuk disediakan kepada pelanggan agar mereka turut sama merasai dan boleh mendapatkannya tanpa perlu berada di hotel mewah.
“Langkah penyediaan dan bahannya juga tidak sukar diperoleh. Malah sandwic ini boleh ditokok tambah bagi menjadikannya lebih lazat dan menyelerakan,” katanya ketika ditemui di kafenya di Jalan Pulau Gadong, Melaka.
Chef Harun berkata, tiada syarat khusus yang perlu diikuti dalam menyediakan sandwic ini kerana ia bergantung kepada daya kreativiti dan cita rasa pembuatnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07