Sanggup Beli Renda Di Dubai

Sering menerima pertanyaan setiap kali menghadiri majlis anugerah atau melaram dengan koleksi tudung atau busana baru mendorong pelakon terkenal Rozita Che Wan bersama dua adiknya, Ayu Raudhah dan Rubytah menghasilkan rekaan kreatif tudung dan selendang menggunakan nama Padusi sebagai satu cabang perniagaan mereka.

Menurut Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, tudung Padusi direka khas untuk wanita yang sering bertanya koleksi padanan yang sering ditampilkan.

“Setiap kali melaram dengan koleksi tudung atau baju baru kami sering ditanya siapa pereka baju dan dari mana boleh mendapatkan tudung serupa. Jadi dengan niat asal hanya ingin berkongsi hasil kreatif, kami tiga beradik lama-kelamaan merasakan mengapa tidak melancarkan tudung yang bukan saja eksklusif, tetapi unik, elegan dan glamor untuk peminat,” katanya.

Berkongsi perniagaan dengan adiknya yang juga pelakon Ayu Raudhah dan Rubytah, mereka sepakat menonjolkan nama Padusi untuk memperkenalkan produk yang diambil daripada perkataan Minangkabau, Indonesia bermaksud perempuan, wanita atau isteri berperwatakan lemah lembut dan ayu.

Katanya, pembabitan dalam bidang perniagaan juga didorong rasa ketagih dengan jarum dan benang ketika zaman remaja. Ramai tidak tahu bakat terpendam Che Ta dalam bidang jahitan, malah dia boleh ralit dan duduk dalam tempoh lebih lima jam apabila mula mendapat ilham menjahit renda, manik dan labuci pada sehelai tudung.

Oleh kerana memiliki kepakaran dalam rekaan, tugas mereka cipta termasuk memilih fabrik, renda dan labuci diserahkan sepenuhnya kepada Rozita dan Rubytah kerana kedua-duanya mempunyai pengalaman dalam menghasilkan tudung dan baju untuk kegunaan peribadi manakala tugas pemasaran diserahkan kepada Ayu Raudhah.

“Kain asas tudung dibeli di kedai tempatan sekitar Lembah Klang namun untuk hiasan renda, saya beli di Dubai kerana banyak pilihan serta cantik. Saya pastikan setiap selendang diperincikan dengan hiasan tambahan seperti manik, renda dan labuci bermutu tinggi. Bagi mengekalkan kualiti, perincian perhiasan menggunakan teknik jahitan secara manual iaitu menggunakan jahitan tangan,” katanya.

Dari segi rekaan, menurut Che Ta, dia sengaja menonjolkan kelainan kerana inginkan perbezaan dengan lambakan tudung di pasaran, sekali gus melambangkan personaliti mereka yang gemar bergaya.

“Kebanyakan selendang di butik Padusi mudah digayakan dan ringkas walaupun mengambil masa sedikit untuk berhias namun hasilnya memuaskan dan sesuai untuk menghadiri majlis makan malam atau digayakan ke majlis keraian,” kata pelakon terkenal ini.

Walaupun tampak rumit dan memerlukan ketelitian, kerana minat mendalam, Che Ta dan adiknya berusaha menghasilkan tudung yang disukai peminat biarpun mengambil masa lama. Kebanyakan tudung di butik ini hasil rekaan sendiri iaitu koleksi kegemarannya.

“Selepas menghasilkan rekaan, saya mencuba sendiri dan sekiranya benar-benar berpuas hati baru saya letakkan di rak untuk jualan,” ujarnya.

Jika tiada penggambaran atau aktiviti dalam bidang seni, Rozita akan meluangkan masa di butik bagi memastikan tudung yang ditawarkan mempunyai bekalan mencukupi untuk pelanggan. Walaupun setakat ini hanya promosi melalui mulut ke mulut, dia sangat berpuas hati dengan jualan. Ini kerana ramai pelanggan sama datang semula ke butik untuk mendapatkan bekalan sehingga lama-kelamaan menjadi teman rapat Rozita.

Terletak di Jalan USJ 10/1F, Subang Jaya, Selangor, Padusi menawarkan kepelbagaian selendang yang kebanyakannya dihasilkan daripada fabrik sutera satin, sutera krepe dan sifon.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

4,499 views