Sapuan Salah Timbulkan Kesan Comot

TIDAK sekata dan tampak comot selepas berpeluh menyebabkan ramai wanita mula meninggalkan bedak asas ketika ingin keluar rumah.

Alasan yang biasa didengari adalah tidak pandai menggunakannya. Namun, jika bijak menggunakannya dengan sapuan rata dan teknik betul, ia akan membuatkan penampilan sempurna ditambah solekan yang dicalit pada wajah.

Menurut pakar jurusolek Clinique, David Ooi, kebanyakan wanita menyapu bedak asas dengan cara salah menyebabkan timbul kesan comot dan tidak rata selepas berpeluh.

“Sebelum menggunakan bedak asas, ketahui warna sesuai dengan kulit melalui cara sapuan di tulang rahang bagi mengenal pasti ton yang tepat.

“Selepas sapuan di tulang rahang, lihat kesannya. Jika warna selepas sapuan bedak asas tiada beza dengan kulit, ia memang betul dan menepati jenisnya.

“Teknik sapuan bedak asas yang betul juga penting untuk memastikan ia tidak kelihatan comot. Mula-mula, sapuan hendaklah sentiasa bermula di kawasan berminyak atau zon-T iaitu bermula di bahagian dahi kemudian ke hidung.

“Kemudian, sapuan secara perlahan-lahan bergerak ke bahagian pipi, atas bibir dan seterusnya di dagu. Ketika meratakan bedak asas, gunakan berus yang tepat menerusi teknik pusingan atau menekap.

“Teknik terakhir, gunakan jari untuk meratakan lagi sapuan bedak asas agar tidak kelihatan comot dan tampak lebih semula jadi,” kata Ooi sambil jarinya tangkas menyelesaikan sapuan ke muka model.

Selepas memastikan sapuan kelihatan rata, gunakan bedak tabur bagi menambah kesempurnaan pada wajah. Harus dititikberatkan di bahagian zon-T yang memerlukan sapuan lebih berbanding di kawasan kering iaitu pipi dan dagu.

“Gunakan berus yang sesuai dan sapu pada bedak tabur. Teknik menekap bermula dengan bahagian tepi berus pada wajah kemudian hujungnya menerusi cara sama iaitu di zon-T (dahi dan hidung), pipi, atas bibir dan akhir sekali di dagu.

“Setelah tampak rata, pemakaian penggaris mata digunakan untuk tampil semula jadi. Cara pemakaian yang betul adalah calit celak di bahagian atas berhampiran bulu mata dan ratakan dengan berus.

“Jika ingin memastikan celak kekal pada jangka masa lama, sapukan penggaris mata di tangan. Kemudian gunakan berus celak dan sapukan di bahagian mata.

“Bagi memastikan sapuan sempurna, cuba tekapkan telapak tangan di bahagian mata dan lihat. Jika tiada kesan celak yang melekat di tapak tangan bermakna sapuan anda sudah cukup rata.

“Lengkapkan solekan dengan pemakaian pemerah pipi dan calitan gincu serta pengilat bibir agar wajah kelihatan berseri dan tidak pucat,” katanya pada majlis pelancaran bedak asas terbaru jenama Clinique, Even Better Makeup.

Ooi menggunakan bedak asas terbaru yang diperkenalkan Clinique itu pada kulit model bagi menghasilkan solekan bersifat semula jadi untuk memiliki penampilan sempurna.

Dengan sentuhan yang lebih semula jadi, penggunaannya membantu memberikan rona sempurna pada kulit wajah, sekali gus menampilkan ton yang lebih sekata.

Formulanya yang mengandungi SPF 15 PA++ membantu memberi perlindungan
daripada sinaran cahaya matahari supaya kulit tidak terdedah secara berlebihan bagi mengurangkan kesan penuaan, ton tidak sekata dan tompok hitam.

Selain itu, penggunaannya juga membantu memperbetulkan atau menyembunyikan perubahan warna yang tidak sekata pada kulit wajah.

Kandungan vitamin C pula membantu mengurangkan kesan garis halus dan menampilkan ton kulit wajah yang lebih bersinar jika dipakai secara berterusan biarpun tidak mengenakan solekan.

Selain mengandungi vitamin C, terdapat bahan seperti ekstrak yis cendawan dan birch putih serta kulit limau gedang yang diadun bersama bagi membantu mengurangkan kemunculan ton kulit tidak sekata, sekali gus mencegah ia menjadi kusam.

Bagi mereka yang ingin mengalami sendiri kesannya, Even Better Makeup mula dijual di kaunter Clinique, Mac ini pada harga RM115 sebotol.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

939 views