Sapuan Tipis Tonjol Wajah Mulus

Alangkah manisnya penampilan remaja apabila mengenakan tudung, tetapi mereka akan tampak lebih menarik jika ada olesan mekap nipis sesuai usia dan acara yang dihadiri.

Di samping menjaga kesopanan sebagai wanita dengan gaya bertudung, mereka juga memerlukan solekan jika mahu bergaya ceria.

Sesetengah wanita bertudung agak takut untuk menggayakan solekan kerana bimbang pilihan warna serta teknik digunakan tidak sesuai yang akhirnya memberikan penampilan janggal.

Solekan sederhana dengan pemilihan warna terang sangat membantu tatkala bersantai bersama teman. Tidak perlu bersolek tebal, sapuan tipis sudah memadai untuk menonjolkan kelainan pada wajah mulus.

Jurusolek di Centa Asmara, Anita Halim berkata, konsep solekan mata antara bahagian penting jika mahu menampilkan gaya ceria untuk gadis bertudung.

“Pilihan warna pembayang mata daripada rona ceria seperti merah jambu lembut dan biru terang atau biru firus boleh dicuba jika kita berasa selesa dengan ton berkenaan.

“Untuk permulaan, bahagian mata perlu disapu dengan pembayang mata warna asas di seluruh kelopak mata hingga hujung untuk mencipta gaya glamor.

“Kemudian, ia perlu disusuli dengan sapuan pembayang mata rona merah jambu lembut pada seluruh kelopak mata sebelum olesan rona biru terang atau biru firus bermula bahagian hujung ke tengah,” katanya.

Menurutnya, buat bentuk ‘C’ untuk menyambungkan warna pembayang mata merah jambu lembut dengan rona terang supaya tampak sebati. Pilihan warna terang berfungsi untuk menampilkan solekan ceria.

Selain di kelopak mata, garisan mata di bahagian atas dan bawah juga perlu disapu dengan celak rona hitam bagi memberi impak semula jadi.

Selepas itu, sapu pembayang mata rona merah jambu lembut di sepanjang garisan bawah mata untuk mewujudkan solekan gaya feminin.

Jika mahu memakai bulu mata, pilih jenis yang sesuai dengan bentuk mata. Bulu mata palsu jenis nipis dan panjang sesuai dipakai wanita yang memiliki bentuk mata kecil atau sepet.

Elakkan memilih bulu mata yang terlalu lebat kerana akan menonjolkan mata yang semakin kecil. Berbeza bagi mereka yang mempunyai bentuk mata besar, pilihan bulu mata palsu lebat sangat sesuai untuk menonjolkan lagi mata galak.

Menurutnya, bahagian bibir juga memainkan peranan penting untuk menjadikan solekan tampak ceria mengikut personaliti remaja itu sendiri yang sentiasa bergerak aktif.

“Sebaiknya penampilan bibir perlu lebih terang daripada bahagian pipi supaya solekan tampak seimbang dan tidak keterlaluan hingga kelihatan seperti patung.

“Namun, jika mata disolek galak, gincu digunakan perlu lebih lembut bagi mengelakkan mekap terlalu tebal. Untuk penampilan ceria, saya menggunakan gincu rona merah jambu yang disapu di seluruh bibir model.

“Kemudian, saya akan menambah dengan pengilat bibir rona merah di bahagian tengah saja untuk menampilkan ton mekap yang ceria,” katanya.

Untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai teknik solekan mengikut tema berbeza, Anita turut mengadakan kelas mekap setiap Sabtu dan Ahad.

Kelas solekan berkenaan akan memberi tunjuk ajar bermula teknik asas hingga profesional bertempat di Cinta Asmara Zarif Resources, Business Centre, Taman Maju Jaya, PJS 2/18A, Petaling Jaya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

430 views