SCFM Kini Ada 4,000 Ahli

Mereka bukan calang-calang wanita, ada yang bergelar jurutera, pakar perubatan, arkitek, penerbit, guru, peguam dan juga suri rumah sepenuh masa. Namun menariknya walaupun memiliki status dan latar belakang berbeza, mereka mempunyai pengalaman yang sama bergelar seorang ibu.

Gelaran ini menyatukan mereka di alam maya. Walaupun tidak pernah bertemu, pendapat diberikan dalam laman sosial Secret Club for Mommies (SCFM) menjadikan mereka saling mengenali antara satu sama lain. Ini kerana permasalahan dibincangkan adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan ia lebih baik daripada sebuah buku.

Bagi pengasas SCFM, Asfahana Abu Samah, 31, idea menubuhkan SCFM selepas menyedari setiap wanita mempunyai kisah peribadi yang perlu dikongsi bersama. Ketika sedang menyusukan anak, Dhia Ayeesha Khusri pada Oktober 2010, Asfahana terbaca kisah mengenai kelahiran dalam blog seorang rakan yang begitu menakjubkan, menginsafkan serta meninggalkan kesan mendalam kepadanya.

“Dari situ saya mula terfikir pengalaman setiap ibu yang melahirkan anak berbeza-beza. Ada melalui tempoh kesakitan sekejap, ada mengambil masa berjam-jam lamanya. Ada pula boleh melalui kelahiran secara normal dan ada menerusi pembedahan. Cerita yang pelbagai ini menyebabkan saya tergerak membuka ‘ruang’ untuk ibu berkongsi kisah mereka dalam laman sosial SCFM,” katanya.

Mengambil keputusan berhenti kerja selepas melahirkan anak pertama, Dhia Ayeesha pada usia 29 tahun kerana ingin menyusukan bayinya sepenuh masa, dalam tempoh setahun bergelar ibu, Asfahana mengakui banyak pengalaman dan kepuasan diperoleh terutama dari segi masa serta aktiviti bersama keluarga.

“Apabila bergelar ibu, banyak perkara yang perlu saya pelajari. Saya seorang yang suka membaca. Selain buku dan majalah, bahan bacaan yang paling saya gemari adalah kisah serta pengalaman orang lain kerana dari situ saya seolah-olah berada di tempat mereka,” ujarnya jujur.

Memiliki Ijazah Komunikasi Masa daripada Kolej Universiti Teknologi Limkokwing dan bekerja dalam bidang penyiaran selama enam tahun, Asfahana tidak pernah menyesal melepaskan jawatan sebagai penerbit eksekutif di sebuah syarikat produksi kerana pengalaman bergelar ibu sepenuh masa itu tiada nilainya jika dihitung dengan wang ringgit. Ia sangat hebat dan patut dikongsi bersama ibu yang lain.

Sebagai suri rumah, dia tidak teragak-agak melepaskan jawatan kerana yakin dapat menjaga sendiri anak. Walaupun pada mulanya tertekan kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan jadual harian serta tugasan yang dilakukan sama setiap hari, namun lama-kelamaan dengan berkongsi masalah dengan ibu di SCFM, sedikit sebanyak ia dapat menenangkan Asfahana, selain memberi idea dan kepada kehidupan yang lebih luas serta positif.

“Pada bulan pertama memang saya rasa sedikit tertekan memandangkan sebelum ini masa banyak dihabiskan di pejabat. Ditambah pula setiap hari saya perlu melakukan perkara yang sama. Namun dengan adanya SCFM, saya dapat berkongsi masalah dengan mereka, sekali gus mengurangkan tekanan,” katanya.

Bermula hanya dengan ratusan ahli, kini laman sembang ini mencecah sehingga 4,000 orang terdiri daripada wanita daripada pelbagai peringkat usia. Bermula dengan kisah mengenai kehamilan dan kelahiran, lama-kelamaan topik dibincangkan semakin meluas kepada kekeluargaan, hal berkaitan wanita, anak, kerjaya, kecantikan serta berkongsi masalah peribadi.

Objektif utama penubuhannya untuk membantu ibu mencari jawapan kepada permasalahan mereka. Setiap pertanyaan diutarakan akan dijawab ahli kelab menerusi pandangan, panduan dan idea bagi menyelesaikan setiap masalah.

“Di SCFM biasanya isu dibincang berdasarkan pengalaman sendiri. Ini kerana saya percaya pengalaman individu adalah lebih baik berbanding sebuah buku. Bukan itu saja, SCFM juga menjadi tempat rujukan bagi ibu baru serta wanita yang baru melangkah ke gerbang perkahwinan untuk mendapatkan panduan mengenai masalah mereka,” jelasnya yang turut terbabit bersama bahagian pentadbiran bagi memantau setiap soalan diutarakan ahli kelab.

Menerusi laman sosial ini juga ia sebagai jalinan hubungan silaturahim serta persahabatan alam maya yang tiada penghujungnya. Walaupun ada di antara mereka tinggal di negara berbeza seperti Paris, Perth, Australia, Brunei dan Dubai, namun setiap daripadanya mempunyai matlamat sama iaitu ingin berkongsi cerita.

Hampir tiga tahun penubuhan kelab, SCFM sudah mengadakan lapan perjumpaan berkonsepkan ‘port luck’ dengan beberapa aktiviti diadakan. Selain itu, hasil jualan amal kemeja-T turut disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan seperti Asrama Penyayang Nur Iman, Setapak; Rumah Titian Kasih Titiwangsa; Rumah Opah Hasnah 15 Cucu, Klang; Institut Taufiq Islami, Klang; Rumah Amal Siraman Kasih, Rawang, Rumah Titian Ashraful Rohaniah Teluk Intan dan Pusat Jagaan Lambaian Kasih. Malah lebih banyak aktiviti berbentuk amal akan diadakan dari masa ke semasa bagi memberi faedah bukan saja kepada ahli kelab tapi masyarakat amnya.

Walaupun kini Asfahana bergelar suri rumah namun dia tidak pernah menyesal melepaskan jawatan penting dengan gaji empat angka kerana selain menguruskan keluarga dan anak-anak, dia dapat membuka perniagaan dalam talian menjual tudung dan pakaian Cecantik Project yang mendapat sokongan daripada suami dan rakan-rakan.

“Harapan saya agar SCFM dapat menjawab 1,001 soalan mengenai dunia keibubapaan dan membantu wanita dalam pelbagai masalah berkaitan kekeluargaan, kewanitaan dan kecantikan serta menjadikan SCFM sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili ibu di Malaysia,” jelasnya.

Hidup lebih bermakna

Bagi Siti Rozana Abd Latif, 34, sejak mengenali laman sosial Secret Club For Momies (SCFM), kehidupannya lebih bererti dan dipenuhi dengan perkara yang memberikan semangat. Ini kerana selain berkongsi panduan keibubapaan, dia turut menyelami perasaan yang sama dengan suri rumah yang mempunyai anak istimewa.

“Penjagaan untuk anak istimewa, Alfi Zuhriy Adam Ronny, 3, berbeza dengan kanak-kanak normal lain. Apa yang saya perhatikan, dia memerlukan lebih perhatian daripada ibu bapa. Menerusi laman SCFM, saya dapat berkongsi masalah sekiranya ada ibu memiliki anak yang sama dengan saya,” katanya yang menghantar Alfi ke sekolah khas Kiwanis sejak dia berusia setahun.

Dia yang berhenti kerja selepas melahirkan anak pertama menjelaskan keputusan ini diambil selepas mendapat sokongan suami. Lagi pun suami bekerja di luar daerah dan jarang pulang ke rumah, jadi perhatian dan tanggungjawab 100 peratus diserahkan kepada Rozana.

“Pada tahun pertama saya merasakan sedikit tertekan kerana persekitaran sangat berbeza seperti mana saya bekerja. Biasa-nya aktiviti harian sangat padat di pejabat, bertemu kawan-kawan dan boleh bertukar cerita. Apabila sudah bergelar suri rumah, saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Setiap hari saya melakukan perkara sama, menghantar dan mengambil anak di sekolah, memasak dan mengemas rumah. Setiap bulan saya perlu meminta duit daripada suami.

“Keadaan ini berbeza sekiranya saya bekerja. Laman sosial SCFM sangat membantu bagi memberikan semangat kepada saya. Saya banyak berkongsi dengan rakan lain terutama suri rumah mengenai pelbagai permasalahan bagi menjadikan hidup lebih ceria dan bermakna.

“Lama-kelamaan apabila anak semakin bertambah, saya sudah dapat menyesuaikan diri malah tidak timbul istilah bosan. Saya sangat menghargai masa yang ada,” katanya yang ingin memperbetulkan persepsi orang ramai mengenai suri rumah tangga yang hanya duduk di rumah saja.

Hakikatnya jauh berbeza kerana suri rumah pada zaman moden ini sangat berpengetahuan dalam mendidik anak serta tahu apa yang mereka inginkan.

“Saya tidak sangka de-ngan melayari laman sosial SCFM dan menjadi pengguna aktif, saya dapat bertemu rakan lama yang hampir 18 tahun tidak ditemui. Dia kawan sekolah rendah dan sangat rapat suatu ketika dulu. Entah macam mana hubungan kami terputus dan bertemu semula di ruang SCFM,” katanya membuka cerita.

Melihat perwatakan wanita tinggi lampai ini, sudah semestinya dia seorang yang sangat mementingkan kecantikan. Tambahan pula kerjaya di awan biru sebagai pramugari menyebabkan Sariza Said, 35, memilih SCFM sebagai medan rujukan bagi mendapatkan panduan mengenai isu kecantikan.

Diberi gelaran kakak di dalam SCFM kerana lebih berusia berbanding ahli lain juga pendapat yang matang serta digemari individu lain, Sariza menjelaskan, dia mula menyedari kehadiran laman sosial SCFM selepas dicadangkan seorang rakan.

“Selepas menyertainya, saya menjadi ‘ketagih’ kerana setiap isu diketengahkan bagaikan dekat di hati saya. Begitu juga dengan jawapan daripada ahli kelab menjadikan kami seperti rakan baik walaupun belum pernah bersua muka,” katanya yang tidak melepaskan peluang membaca status rakan-rakan walau di mana berada.

Biasanya apabila sampai di satu destinasi, perkara pertama dilakukan adalah membuka telefon bimbit atau komputer riba kemudian menghantar status terkini atau membalas komen diberikan rakan.

Tambah Sariza, dengan perkembangan teknologi komunikasi semuanya dapat dilakukan dengan cepat dan mudah. Misalnya masalah diutarakan dengan sekejap mendapat maklum balas positif ahli kelab. Lebih penting setiap jawapan diberikan sangat rasional kerana daripada pengalaman masing-masing dan sangat membantu menyelesaikan masalah.

Walaupun seorang yang aktif dan tegar dalam memberikan pendapat dan komen, bagi Sariza, semua ini tidak menjejaskan jadual harian sebagai pramugari, isteri dan ibu kepada lima anak. Malah dia mendapat sokongan suami terutama apabila perlu menghadiri mana-mana perjumpaan anjuran SCFM.

“Suami tidak pernah merungut kerana saya asyik berinternet. Ini kerana dia tahu saya bukanlah bercakap kosong atau melayari laman yang tidak berfaedah. Setiap ayat yang dihantar semua memberi makna kepada saya mahupun orang lain. Ia ibarat saya dikelilingi rakan yang sanggup memberikan nasihat walau di mana saya berada,” katanya yang turut membawa suami menyertai mana-mana perjumpaan dengan ahli kelab lain.

Bagi perunding kewangan, Rozaimi Ishak, 30, menjadi ahli kelab SCFM sejak setahun lalu banyak memberi panduan kepadanya dalam melayari kehidupan sebagai ibu terutama dari segi penjagaan anak. Sebelum ini dia bergantung kepada ubat-ubatan moden yang diberikan doktor, namun selepas membaca status rakan serta pengalaman mereka dalam mendidik anak, barulah Rozaimi tahu terdapat banyak rawatan alternatif yang boleh digunakan.

“Kali pertama menyertai kumpulan ini, saya dapati banyak panduan berguna yang boleh saya ikuti. Misalnya apabila anak demam selain ubat dari hospital boleh menggunakan bawang merah dipotong dan direndam di dalam air kemudian diletakkan di tempat tidur bayi. Kaedah ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan suhu badan anak,” katanya.

Rozaimi yang sebelum ini menyertai kumpulan ibu menyusu dan hamil memberitahu topik perbincangan dalam SCFM lebih meluas dan tidak terhad untuk ibu saja. Malah wanita belum berkahwin dan bakal menjadi ibu sangat sesuai menyertainya.

Sebagai perunding kewangan, laman SCFM juga adalah tempat terbaik bagi berkongsi pendapat dengan wanita mengenai insurans dan kewangan. Maklum balas ini dapat digunakan untuk lebih memahami kehendak mereka terutama ibu mengenai kepentingan perlindungan insurans.

“Apa yang menarik-nya, saya menggunakan SCFM untuk mengetahui pendirian wanita mengenai sesuatu isu terutama berkaitan kewangan. Ada yang percaya kepentingan insurans ada pula sebalik-nya. Ia bergantung kepada kehendak masing-masing. Apa yang penting saya selesa berurusan dengan ahli kelab sama ada di alam maya atau di luar menerusi aktiviti diadakan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

629 views