Sedia Kemahiran Untuk Dimanfaatkan

GOLONGAN ibu tunggal yang memerlukan boleh memanfaatkan pelbagai kemudahan menerusi pembabitan mereka dalam persatuan bagi mendapat sokongan dan semangat untuk meneruskan kehidupan serba mencabar.

Selain itu, kehadiran persatuan juga bertujuan membantu ibu tunggal menambah kemahiran mereka menjana pendapatan dalam membesarkan anak dan menguruskan hal ehwal rumah yang terpaksa dilakukan bersendirian.

Bukan hanya membantu dari segi fizikal, mereka juga diberikan motivasi dan berpeluang menjalin persahabatan dengan wanita senasib.

Ia turut diakui Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Pitiwps), Haziah Haniza Abd Wahab yang bersedia membantu memperbaiki keadaan hidup wanita senasib selepas berpisah atau kematian suami.

“Pertubuhan tidak memberi bantuan dari segi kewangan kepada ibu tunggal ini tetapi kami menyediakan kemahiran yang boleh dimanfaatkan.

“Ada juga kemahiran yang disediakan mengikut trend terkini atau digemari ramai seperti membuat coklat kepada ibu tunggal agar mereka tidak ketinggalan dalam menjana pendapatan sampingan,” katanya mengenai aktiviti dijalankan bagi menambah pengetahuan ahlinya.

Tambah Haziah, terdapat beberapa kemahiran yang kini semakin kurang mendapat tarikan kepada ibu tunggal seperti menjahit.

Ini kerana mereka perlu bersaing dengan pemborong lain dari segi harga yang jauh lebih murah dan pelbagai pilihan.

Walaupun ia semakin kurang diminati, masih ada ibu tunggal dalam pertubuhan berkenaan yang mahu mempelajari kemahiran menjahit.

Selain itu, bagi memantapkan ilmu menjahit yang dipelajari, ibu tunggal yang mempelajari kemahiran itu juga berpeluang mengikuti kursus menjahit manik dan tudung untuk mempelbagaikan lagi koleksi jahitan untuk pelanggan.

Pertubuhan itu yang kini disertai sehingga 5,000 ahli cuba untuk mempelbagaikan lagi kemahiran yang disediakan untuk ibu tunggal.

“Kemahiran yang disediakan juga tidak dikenakan bayaran tinggi iaitu ahli hanya dikehendaki membayar kira-kira RM5 hingga RM10 saja yang sememangnya murah berbanding di tempat lain.

“Apa yang penting sekarang, ahli jawatankuasa (AJK) pertubuhan harus mencari cara dan jalan menambah dana bagi menyediakan lebih banyak peluang untuk membantu ibu tunggal,” jelas Haziah yang turut memberi sokongan penuh kepada ahli yang ingin memajukan diri.

Setiap bulan, Pitiwps akan mengadakan sekurang-kurangnya satu bentuk kemahiran untuk ahlinya selain menerima banyak program jemputan daripada pihak kementerian.

Tidak hanya kemahiran disediakan bagi memperkasakan ibu tunggal, ahlinya juga mempunyai peluang berharga untuk bercampur gaul dengan pelbagai pihak bagi menambah maklumat berguna.

Mempunyai ahli pelbagai peringkat usia, pertubuhan berkenaan perlu sentiasa mengadakan pelbagai kursus kemahiran, motivasi, seminar dan pengurusan diri bagi memberi peluang kepada ibu tunggal terus maju ke hadapan.

“Ibu tunggal masa kini semakin bijak untuk mencari jalan mempertingkatkan potensi diri mereka. Justeru, bagi membantu mereka memajukan diri, kami merancang untuk membuka pusat setempat.

“Pusat setempat berkenaan akan menempatkan pelbagai produk dihasilkan ahli pertubuhan,” katanya ketika ditemui pada program penjagaan kecantikan yang dianjurkan jenama Shurah.

Program yang bertujuan membantu ibu tunggal memperoleh ilmu pengetahuan dan teknik penjagaan diri itu turut dihadiri duta jenama berkenaan, Intan Ladyana yang berkongsi rahsia amalan kecantikannya.

Jurulatih daripada JJ-One Beauty Academy turut dijemput untuk memberi latihan kecantikan termasuk cara menggunakan alat kecantikan dengan betul, teknik solekan dan demonstrasi memakai tudung unutk 100 ahli Pitiwps yang hadir.

Pada majlis berkenaan, jenama penjagaan wajah terbabit turut memberi sumbangan kepada Pitiwps sebanyak RM5,000 dan produk kecantikannya bernilai RM6,000 yang disampaikan Pengerusi Jetaine Corporation Sdn Bhd, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Dana berkenaan dikumpulkan melalui kempen Satu Klik Untuk Ibu Tersayang di laman sosial, facebook sempena Aidilfitri lalu dan setiap ‘like’ dan ‘share’ mewakili 10 sen.

Sementara itu, AJK Pitiwps, Norita Mohd Yatim mengakui menerima impak baik dalam kehidupannya selepas menyertai pertubuhan berkenaan, dua tahun lalu.

Selepas menjadi ibu tunggal pada 2009, Norita sering mendapat sokongan dan semangat daripada ahli keluarganya untuk meneruskan kehidupan selepas bercerai.

“Keluarga juga yang menyarankan saya menyertai persatuan berkaitan ketika itu kerana mereka tidak mahu saya mengalami kemurungan selepas bercerai.

“Ini kerana saya perlu menggalas tanggungjawab untuk meneruskan tugas sebagai ibu dan ayah dalam satu masa bagi membesarkan empat anak.

“Disebabkan mahu menumpukan perhatian kepada anak yang masih belajar selain perlu menghantarnya ke sekolah, saya nekad berhenti kerja,” jelas Norita menceritakan pengalamannya ketika menjadi ibu tunggal.

Kini, dia tidak lagi duduk bersendirian kerana menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan pertubuhan bagi mengelakkan dirinya berasa keseorangan.

Sejak menyertai Pitiwps, Norita mengakui dia mendapat banyak pengetahuan baru dan lebih yakin untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang perniagaan.

Walaupun sejak bekerja dia sudah mula berjinak-jinak dengan pelbagai jenis perniagaan seperti kuih raya dan pinggan mangkuk, Norita akui masih banyak pendedahan dan maklumat diperlukan untuk memantapkan kerjayanya itu.

“Melalui pertubuhan ini, kami mendapat banyak jemputan dan mengikuti peluang kemahiran seperti menjahit manik untuk menambah pendapatan.

“Sudah lima kursus yang diikuti sejak menyertai Pitiwps ini dan saya dapati ia memberi banyak maklumat berguna. Selain itu, ia juga membuka minda mengenai cara sistematik menjalankan perniagaan.

“Jika menghadapi masalah, saya juga tahu tempat yang harus dirujuk bagi mendapatkan nasihat dan pandangan dalam memperbaiki kelemahan diri,” jelasnya yang tidak pernah menyesal menyertai pertubuhan itu.

Sekiranya sebelum ini dia mempunyai idea untuk menjalankan perniagaan tudung yang semakin mendapat sambutan hangat, namun Norita tidak mengetahui selok-belok memulakan perniagaan.

Namun, selepas menyertai pertubuhan berkenaan, setidak-tidaknya dia tahu pihak yang sesuai untuk mendapat khidmat nasihat mengenai pengurusan perniagaan.

Kini, Norita menjalankan pelbagai jenis perniagaan dan tidak hanya tertumpu pada jualan secara bermusim untuk menjana pendapatan bagi menyara keluarganya, apatah lagi dia tidak lagi menerima nafkah selepas bekas suaminya itu berhenti kerja.

Terbaru, dia mengikuti kursus keusahawanan dan mempelajari mengenai laman web untuk memantapkan diri sebagai ibu tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

508 views