Sediakan Makanan Sihat

Tidak menghantar keempat-empat anak ke sekolah dan hanya mendapat pendidikan secara intensif di rumah tidak menjadi masalah bagi Hafiza Abd Rahman kerana dia percaya setiap kanak-kanak mempunyai kebolehan tersendiri untuk menerima pelajaran selain membekalkan mereka dengan nutrisi secukupnya.

Menerima gelaran sebagai anak pintar kerana mampu membaca dan menulis pada usia di bawah tiga tahun, bagi Hafiza dia percaya pemakanan bersama nutrisi seimbang dapat memberi kesan langsung kepada Kirua Hakimy, 9, Ashyekin Rei Hikaru, 7, Afiqah Yunaru, 6, dan Adany Aurora Hydeaki, 5, dari segi pembangunan IQ (Intelegence Quatient) dan EQ (Emotional Quotient), meningkatkan fokus dalam pembelajaran, waktu tidur yang lebih tenang dan perlakuan terkawal.

Otak kanak-kanak berkembang dengan pesat dan ibu bapa dapat membantu meningkatkan potensi diri anak dengan cara menyediakan nutrien yang betul untuk memaksimumkan kebolehan mereka.

Ibu bapa digalakkan bermula awal bagi menggalakkan tabiat makan yang baik untuk anak dengan melatih deria rasa si kecil untuk menikmati tekstur yang indah dan rasa makanan berbeza tanpa perisa tambahan atau bahan pengawet.

“Alhamdulillah, untuk empat anak, saya berjaya memberi susu badan secara penyusuan berganda bagi tempoh 30 bulan. Inilah permulaan kepada nutrisi seimbang yang diberikan kepada mereka sejak hari pertama dilahirkan. Jujurnya, saya dan suami percaya apa saja yang diberikan kepada bayi bakal mencorakkan rutin fizikal dan mental pada masa hadapan.

“Selepas itu, kami meneruskannya dengan membuat puri kentang, lobak merah dan brokoli secara berasingan untuk anak-anak. Makanan tambahan lain yang diberikan termasuk puri buatan sendiri daripada buah-buahan seperti epal, avokado, pir beri, pisang, kismis, prun dan sayur-sayuran seperti labu, tomato dan saderi.

“Menginjak usia tiga tahun, kami mula memberikan madu, minyak ikan kod, dadih asli dan keju kepada anak-anak secara berkala dan mereka perlu mengambil air mineral yang secukupnya setiap hari hingga ke hari ini bagi mengelakkan dehidrasi,” katanya.

Tidak percaya kepada pengambilan makanan tambahan bagi membantu perkembangan pertumbuhan mereka, Hafiza memberikan makanan tambahan berbentuk buah-buahan segar dan sayur-sayuran organik.

Selain itu, susu soya ditambah dalam menu harian anak-anak selepas usia 30 bulan ke atas.

Bahan berunsur kekacang seperti pistachio, walnut, badam, kacang hazel atau gajus turut dimasukkan ke dalam doh adunan biskut yang dibuat khas untuk mereka makan dalam bentuk jejari bagi memudahkan proses mengunyah dan belajar memegang makanan.

Ini kerana Hafiza lebih menggalakkan anak-anak mengambil makanan tambahan dalam bentuk asal berbanding makanan diproses atau makanan ringan.

Begitu juga dengan makanan kecerdasan minda, Hafiza dan suaminya tidak bersetuju dengan pemberian makanan ini kerana tidak mahu memilih jalan singkat kerana percaya tiada jalan pintas untuk berjaya.

Semuanya memerlukan komitmen jitu daripada ibu bapa untuk menyesuaikan anak dengan makanan sihat. Terdapat juga pengambilan makanan tambahan yang tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan dan lebih berbentuk mitos dan mistik.

“Kami galakkan ibu bapa membuat kaji selidik sebelum memberikan sebarang makanan tambahan kepada anak mereka tanpa usul periksa yang akan mendatangkan risiko pada kemudian hari.

“Oleh sebab itu, kami mengambil inisiatif berkongsi panduan dalam penyediaan makanan ini di blog LittleKittle.com dan juga buku Hidangan Si Cilik agar dapat memberi sedikit sebanyak manfaat yang boleh dikongsi bersama,” katanya.

Ujar Hafiza, tiada rahsia yang diamalkan untuk anak-anaknya selain doa harian bagi pembentukan rohani dan jasmani secara menyeluruh.

Oleh sebab itu, suaminya, Azhar Zahir memastikan Hafiza memasak dan menyediakan masakan di rumah untuk anak-anak pada setiap hari supaya mereka mendapat makanan seimbang dan bersih serta mengelak daripada jangkitan yang boleh melemahkan sistem imunisasi mereka.

Dia juga bertanggungjawab melatih kecerdasan fizikal anak melalui latihan senaman yang ketat lima hari seminggu serta memastikan mereka mendapat rehat dan tidur secukupnya dengan iringan alunan zikir dan bacaan buku sebelum tidur.

Mahir dalam mengadun nutrisi makanan untuk anak, Hafiza gemar menyatukan protein dengan karbohidrat kerana protein akan melambatkan penyerapan gula yang terdapat dalam karbohidrat.

Setiap masakan akan dimasak sepenuhnya dengan menggunakan minyak zaitun asli sambil diselang-selikan dengan penggunaan minyak kelapa sawit.

Oleh kerana 60 peratus berat otak terdiri daripada lemak, jadi jika kekurangan dalam beberapa jenis zat lemak boleh memberi kesan yang besar kepada kepintaran dan tingkah laku anak-anak.

“Antara menu wajib harian dan mingguan yang perlu diambil anak-anak adalah hidangan berasaskan bijirin, oat, pasta, beras putih, beras perang, kentang, dadih asli, susu soya, roti gandum dan telur.

“Hidangan berunsur ikan diambil lebih kerap dalam empat hingga lima kali seminggu, salmon, kembung, tuna, makerel, ikan bilis, biji bunga matahari, ayam kampung dan daging kambing.

“Untuk masakan di rumah, saya akan elakkan kaedah menggoreng dalam minyak penuh atau menggunakan makanan diproses. Makanan yang saya sediakan lebih kepada cara kukus dan panggang,” ujarnya.

Pepatah Cina ada menyatakan anda adalah apa yang anda makan. Setiap kaum dan negara memiliki makanan tradisi dan harian khusus untuk setiap rakyatnya.

Namun dia memilih untuk mencuba setiap menu sihat daripada pelbagai negara tanpa sempadan bangsa dan agama kerana terdapat pelbagai menu yang kaya dengan sumber asli dalam cara pembuatannya. Apa saja menu yang tidak sihat cuba dielakkan.

“Untuk itu kami berbincang dan mengubah menu hidangan keluarga bagi setiap bulan dengan tema negara berbeza. Contohnya penggunaan mi udon soba, sushi dan sup miso daripada resipi Jepun, sandwic sayuran (United Kingdom), stew (Maghribi), roti bakar cara Welsh dan sarapan hirisan daging rusa ala Alaska.

“Tiada had, yang penting adalah kebersihan, status halal dan berkhasiat. Secara tidak langsung, anak-anak mendapat pendedahan mengenai pelbagai jenis masakan sihat dan belajar menghormati serta menikmati makanan negara lain,” ujarnya.

Nasihat Hafiza kepada ibu bapa yang memilih memberikan makanan tambahan minda supaya jangan mudah terpengaruh dengan sogokan iklan, paksaan rakan atau ahli keluarga terdekat.

Selain itu, ibu bapa jangan mudah berputus asa. Berbincang dengan suami mengenai kos pembelian makanan segar dan sihat berbanding melakukan pembaziran dengan pembelian makanan segera.

Paling penting rujuk kepada pakar pemakanan dan kesihatan sebelum membuat sebarang keputusan drastik dalam menentukan menu harian anak agar dapat mengelak kesan sampingan yang memudaratkan di samping membentuk peribadi anak yang lebih mudah dilentur.

Bagi ibu kepada dua cahaya mata, Norhidawati Abdul Aziz, 33, sejak anak sulung, Rania Qarissa Rizal berusia dua tahun dia sudah memberikan makanan tambahan berbentuk makanan sunah seperti kurma, madu, buah tin dan minyak zaitun kepada anaknya bertujuan menguatkan imunisasi badan begitu juga dengan anak kedua, Rania Quzayra, 3.

Untuk kecerdasan minda, dia memilih makanan tambahan mengandungi DHA yang bagus bagi perkembangan otak terutama bagi kanak-kanak yang memiliki masalah dalam pembelajaran.

“Setiap hari saya memberikan makanan sunah berbentuk cecair bagi menguatkan sistem imunisasi badan. Sejak diamalkan, anak saya jarang demam dan selesema. Jika ada, saya lebih suka menggunakan cara tradisional iaitu bawang putih dan minyak zaitun yang disapu ke badan. Saya jarang memberikan ubat-ubatan kerana yakin kaedah ini lebih berkesan selain tiada kesan sampingan,” katanya yang juga pengusaha Genius Baby On Board (GBOB) di Puchong dan Shah Alam.

Agar tidak salah memilih produk makanan tambahan, dia terlebih dulu membuat penyelidikan terutama dari segi bahan digunakan serta kandungan vitamin yang lain. Ini kerana ibu bapa sering diberikan maklumat salah dalam pengiklanan yang sekadar ingin melakukan produk.

“Ibu bapa perlu membaca label misalnya kandungan DHA, jenis vitamin dan mineral yang terdapat di dalamnya. Perhatikan sekiranya ada kajian dijalankan terhadap produk itu. Namun adalah lebih baik dan selamat menggunakan makanan segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Namun masalahnya kebanyakan anak-anak tidak sukakan sayuran dan buah-buahan yang menyebabkan makanan tambahan berbentuk pil atau cecair terpaksa diberikan,” katanya.

Norhidawati tidak percaya produk merangsang minda akan berjaya mencapai matlamat seandainya ibu bapa tidak melakukan rangsangan terhadap otak anak-anak.

“Ini kerana stimulasi atau rangsangan daripada ibu bapa sangat penting bagi menjadikan anak lebih pintar dan cergas. Ini boleh dilakukan dengan meluangkan masa berbual dan bermain dengan si kecil setiap hari.

“Lebih banyak masa diluangkan bersama, semakin banyak perkara yang akan dipelajari mereka. Pendedahan awal dalam dunia sebenar menjadikan kanak-kanak lebih pintar terutama apabila dilakukan dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapa,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

636 views