Seiring Pelukis Lelaki

Matanya bersinar tatkala bercakap mengenai seni lukisan kaca bertemakan lautan, malah menceritakan secara mendalam mengenai setiap pengalaman ketika menjengah ke dasar laut di beberapa kawasan menyelam terkenal di dalam dan luar negara.

Mengenalinya secara lebih dekat, nyata pemilik nama Zuzila Zain, 43, bukan sekadar pelukis berbakat, tetapi juga mempunyai jiwa yang tabah dalam melalui liku hidup penuh cabaran.

Semuanya diterima dengan hati tabah dan diolah menjadi aur positif, kemudiannya dipantulkan sepenuh jiwa ke dalam hasil seni yang dapat menarik perhatian sesiapa yang memandang.

“Memang ada masa kita akan berasa kecewa, marah dan sedih apabila datang cabaran dalam hidup, tetapi kita kena reda. Pada saya usaha dan tawakal perlu seiring; dan ia elemen yang sangat penting dalam kehidupan ini.

“Kita juga kena sentiasa berfikiran positif dan perlu bersyukur dengan apa yang kita ada kerana jika kita lihat sekeliling, ada lagi orang lain yang mempunyai kehidupan lebih susah. Bukan cabaran itu yang melemahkan kita tetapi cara kita berfikir. Bagaimana cara kita lalui sesuatu ujian itu yang penting,” katanya.

Berguru dengan pelukis terkemuka negara, Raja Azhar Idris, Zuzila adalah antara artis wanita yang berani mengetengahkan bakat menghasilkan seni kaca yang selalunya dipelopori pelukis lelaki.

Ini kerana katanya, seni berkenaan agak sukar serta berbahaya kerana menggunakan peralatan yang tajam. Malah serbuk kaca yang halus boleh menyebabkan masalah kesihatan serius sekiranya langkah keselamatan tidak ambil.

Keadaan itu menjadikannya kurang popular di kalangan artis wanita namun baginya, selain melukis dia amat tertarik dengan kerja pertukangan atau bidang yang ekstrim, kerana ia menepati jiwanya.

Malah lukisan yang dihasilkan di atas kanvas turut mendapat sentuhan kerja pertukangan apabila Zuzila memotong dan membentuk kayu hingga menyerupai hidupan laut, sebelum ditampal pada lukisannya.

Ia menjadikan hasil kerja wanita itu unik dan menarik, malah mempunyai peminat tersendiri yang tidak teragak-agak mengeluarkan wang untuk mendapatkan kerja seninya biarpun ada yang mencecah ribuan ringgit.

“Saya juga seorang penyelam profesional dan mengajar kanak-kanak untuk menyelam. Saya gemar pergi ke tempat menarik dan menyelam di sana kerana sentiasa rasa takjub dengan kehidupan di dalam laut.

“Biarpun sudah beberapa kali pergi ke tempat sama sepanjang lima tahun aktif dalam skuba tetapi setiap kali menyelam, pemandangannya berbeza. Setiap kali menyelam ia memberikan pengalaman baru kepada saya.

“Ketenangan yang saya rasakan ketika menyelam dan pemandangan indah yang dilihat dalam laut itu digabungkan bersama karya seni saya,” katanya.

Malah Zuzila turut menggemari aktiviti menyelam pada waktu malam kerana tertarik dengan keadaan dan jenis hidupan laut yang keluar pada ketika itu berbeza dengan pemandangan pada waktu siang.

Turut menerima tempahan daripada pelanggan, setiap karya seni Zuzila mengambil tempoh antara satu hingga dua minggu untuk dihasilkan bergantung kepada kerumitan dan juga idea yang datang.

Antara teknik lukisan yang digunakannya adalah ‘scribble’, pindah kolaj, pindah foto, ukiran kayu atas kanvas dan seni kaca yang menggabungkan beberapa jenis dan warna kaca untuk membentuk lukisan.

Warna terang juga mendominasi hasil kerja Zuzila memandangkan menurut wanita itu, dia memang menggemari warna sebegitu kerana ia seolah-olah memberi satu nafas kehidupan dan nampak bersemangat.

Bagi seni kaca, Zuzila berkata, dia akan memotong dan menyusun semua kaca di tempat yang dimahukan, kemudian ia akan dimasukkan dalam ketuhar dan dibakar pada suhu sehingga 1,200 darjah Celsius.

“Ada antara seni kaca saya ditempah untuk dijadikan hiasan dinding dan ada juga yang mahu ia dibentuk menjadi mangkuk hiasan. Saya memilih warna terang kerana ia nampak cantik dan saya mahu setiap orang yang melihat hasil saya akan berada gembira dan terhibur. Saya mahu orang rasa teruja setiap kali melihat karya saya,” katanya.

Selain mendapat tunjuk ajar dari Raja Azhar, Zuzila pernah mengikuti kelas seni kaca di Canberra, Australia. Semua kaca yang digunakannya diimport khas dari Australia kerana kualitinya yang tinggi.

Pemilihan tema laut dalam karya seninya juga mempunyai mesej tersendiri kerana Zuzila berharap ia akan meniup semangat cintakan khazanah laut selain meningkatkan kesedaran untuk menjaga alam sekitar sebaiknya.

Masa lapangnya juga banyak dihabiskan dengan mengajar kanak-kanak sekolah cara melukis atau membuat kraf di Balai Seni Visual Negara dan Galeri Petronas, malah turut ke sekolah pendidikan khas dan melukis mural bersama-sama pelajar.

Katanya, dia gemar menghabiskan masa bersama kanak-kanak kerana golongan cilik itu mampu memberikan inspirasi kepadanya untuk berkarya dengan lebih yakin.

Selain melukis dan menyelam, Zuzila juga suka memasak untuk menjamu rakan-rakan dan keluarga, serta sering melancong sama ada bersendirian atau bersama teman yang ditemui di luar negara.

“Saya sanggup mengambil cuti sebulan dan pergi melancong. Saya gemarkan pelancongan bajet kerana ia lebih mencabar dan memberi satu pengalaman yang sukar dilupakan.

“Bila melancong kita dapat berkenalan dengan bangsa lain, belajar sesuatu dan mengenali budaya mereka. Namun sebagai seorang Islam, kita kena teguh menjaga solat biarpun di mana pun kita berada.

“Mereka menghormati kita kerana kita ada prinsip dan melancong juga akan membantu menguatkan semangat dan menjadikan kita lebih berani berhadapan dengan sesiapa saja,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,813 views