Sekolah Bawah Tanah

Hanya 12 langkah membahagikan zon menakutkan dengan lembah keamanan tempat perlindungan bawah tanah yang didakwa satu-satunya sekolah yang beroperasi di bandar timur Syria, Deir Ezzor, di bawah kelolaan sekumpulan sukarelawan.

Selepas berbulan-bulan berada dalam keadaan huru-hara dan pertempuran antara kumpulan pemberontak dan askar Presiden Bashar al-Assad, hab minyak di sebelah timur kini rosak teruk dibedil dan jalan rayanya dipenuhi kaca serta runtuhan bangunan.

Dulu Deir Ezzor menjadi rumah kepada kira-kira 750,000 penduduk, tetapi pertempuran yang berterusan membuatkan hampir setengah juta orang termasuk sebahagian besar guru terpaksa melarikan diri ke tempat yang lebih selamat.

Kehidupan penduduk yang masih bertahan di situ memang susah kerana semuanya serba kekurangan. Malah kanak-kanak terpaksa berkongsi buku yang sudah uzur namun keadaan ini tidaklah seburuk jika dibandingkan dengan kekurangan guru bertauliah.

Yasser Tareq yang mengasaskan sekolah di kejiranan Al-Omal, melihat kepentingan untuk membuka satu pusat pendidikan dengan segera. Di sekolahnya, dia menawarkan kelas enam hari seminggu kepada kira-kira 50 kanak-kanak di seluruh bandar berkenaan.

“Ramai guru sudah melarikan diri dan hanya beberapa sukarelawan sanggup tampil membantu kami mengajar kerana ramai takut (dengan keadaan huru-hara).

“Kelas kami diadakan pada waktu malam kerana pada waktu siang keadaan amat berbahaya. Tidak banyak serangan pada waktu malam, jadi keadaan lebih selamat untuk kanak-kanak datang ke sekolah.

“Selepas diberikan makan malam dan membalut luka mana-mana pelajar yang cedera, mereka dibenarkan balik ke rumah. Mereka balik seorang demi seorang, untuk mengelakkan serangan pengganas atau pengeboman yang biasa dilakukan ke atas orang yang berjalan berkumpulan,” kata Yasser, bekas ketua keselamatan di kawasan telaga minyak.

Namun, serangan tidak pernah berhenti apabila ia bermula, kanak-kanak menerima kesan yang paling teruk. Mereka akan ketakutan, kata pengetua sekolah, Beda al-Hassan.

“Jadi pada ketika itu, kami menyanyi bersama-sama dan bertepuk tangan untuk mengatasi rasa takut. Akhirnya perlahan-lahan perhatian mereka tertumpu pada muzik dan terlupa sebentar akan serangan bom.

“Ini bukanlah kehidupan yang sesuai untuk kanak-kanak. Ini bukan salah mereka, tetapi kanak-kanaklah yang paling menderita,” jelas wanita itu.

Menurut Yasser, idea untuk menubuhkan sekolah itu bertujuan membantu kanak-kanak melupakan sebentar realiti kehidupan mereka yang pahit ketika berada di sini.

“Kami mahu mereka tahu bahawa ada perkara lain dalam hidup ini selain pengeboman dan peperangan yang memusnahkan kota ini.”

Sememangnya kaedah itu membantu.

Sultan Mussaa, 12, mengakui setiap hari dia ke sekolah kerana suka belajar.

“Di sini saya boleh lakukan sesuatu yang berbeza. Sebelum sekolah ini dibuka pada September lalu, saya habiskan masa dalam rumah yang bertutup rapat kerana ibu bapa saya bimbang kami terkena bom. Mereka tidak membenarkan saya keluar rumah langsung,” katanya.

Sidra, 10, suka pergi ke sekolah kerana di situ dia berpeluang bermain bersama rakan lain.

“Rumah saya kena bom dan semua permainan saya rosak teruk. Lebih menyedihkan serangan bom itu meragut nyawa lima sepupu saya.

“Selepas itu emak dan ayah kurung kami dalam rumah. Tetapi apabila mereka dapat tahu ada kanak-kanak di kawasan ini pergi ke sekolah, mereka ubah fikiran. Kini saya dan dua adik perempuan pergi ke sekolah setiap hari,” ujarnya.

Walaupun pendidikan itu penting, di mana kanak-kanak diajar pelbagai subjek termasuk bahasa Inggeris, matematik, bahasa Arab dan agama, aspek rekreasi juga diberi keutamaan.

Sambil bergurau, Yasser memberitahu, ia bukan sekolah sebenar, sebaliknya taman permainan. Sememangnya di situ ada taman permainan, tetapi kerana perang, ia tidak boleh diadakan di tempat terbuka.

Terletak di bahagian bawah tanah sebuah bangunan lain di kejiranan itu atas faktor keselamatan, taman permainan itu mempunyai dua meja pingpong, papan catur dan pemain video yang menayangkan kartun Tom dan Jerry.

Malah anak lelaki Beda a-Hassan yang menjadi pengetua turut menjadi pelajar di sekolah itu. Kata Quitaiba yang baru berumur lima tahun, dia menaiki motosikal mainan di situ.

“Saya tidak sabar hendak tunggu waktu sekolah tamat dan bermulanya waktu untuk bermain,” katanya tersenyum.

Apapun alasan yang diberikan kanak-kanak itu, Yasser bangga kerana semua pihak menunjukkan kesungguhan untuk bersama-sama berganding bahu menjadikan impian membuka sekolah tercapai.

“Beberapa bulan lalu ketika pengeboman sedang rancak, sekolah seperti ini memang tidak terlintas langsung dalam fikiran. Walaupun pertempuran masih berlaku, dengan adanya sekolah ini sekurang-kurangnya kanak-kanak dapat melupakan sejenak ‘neraka’ di luar sana,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

600 views