Selendang Fabrik Sifon Lebih Elegan

Pelbagai corak pemakaian selendang berbentuk separuh bulat atau dikenali sebagai halfmoon diubah suai sejak ia diminati pada 2012.

Dulu, selendang separa bulat ini hanya digayakan di majlis perkahwinan atau majlis makan malam kerana tampak mewah dengan penambahan elemen manik atau batu pada bahagian atas kepala.

Namun, seiring dengan perkembangan pantas fesyen bertudung, selendang berkenaan dipelbagaikan rekaannya agar ia boleh dipakai ke mana saja.

Menurut pemilik butik secara dalam talian, Missladyanashops, Nurliana Hassan, kebanyakan selendang separa bulat direka menggunakan fabrik seperti sifon dan kain kapas.

“Saya banyak menggunakan fabrik sifon untuk koleksi selendang ini disebabkan ciri-cirinya yang lebih beralun dan elegan.

“Malah, fabrik berkenaan juga sesuai digayakan untuk pelbagai majlis sama ada pertunangan, persandingan atau makan malam.

“Lebih menarik, fabrik sifon juga boleh digayakan sebagai aksesori harian ketika bersantai. Tidak kira bergaya glamor, kasual, sporty atau santai, pilihan selendang daripada fabrik sifon sangat sesuai,” katanya.

Ujarnya, fabrik sifon lebih sesuai digunakan pada selendang ini kerana ia mudah digayakan dengan pelbagai cara.

Bukan hanya remaja, malah wanita berusia sekitar 40-an hingga 50-an juga mula meminati selendang berkenaan kerana ia lebih mudah dipakai berbanding selendang biasa yang bersaiz panjang.

“Ia direka mengikut kesesuaian tema gaya atau majlis yang ingin dihadiri misalnya koleksi Applique yang menggunakan fabrik sifon.

“Asalnya selendang ini kosong dan direka mengikut permintaan pelanggan. Selepas itu saya tambah hiasan manik untuk ke majlis perkahwinan atau makan malam bagi menampilkan ciri-ciri mewah serta elegan.

“Selain itu, koleksi ini boleh ditambah dengan elemen renda untuk tampil berbeza daripada gaya biasa,” katanya.

Tambahnya, koleksi selendang separa bulat Nadra pula ditampilkan dengan pelbagai pilihan corak paisley, tribal dan kupu-kupu.

Bagi Muslimah yang mahu tampil eksklusif, koleksi Omera memang sesuai kerana ia boleh ditempah mengikut warna baju agar penampilan tampak senada.

Koleksi Asil pula direka kosong menggunakan fabrik sifon berkualiti dengan lebih daripada 10 warna pilihan.

Koleksi Safiyya direka dengan dua ton berbeza setiap helai. Ia mempunyai 10 warna pilihan menarik mengikut tema warna.

Selendang daripada fabrik kapas turut ditampilkan bagi mereka yang mahu bergaya pantas kerana tidak perlu digosok.

Pemakaian tudung ikut bentuk muka

Pemakaian selendang atau tudung juga perlu mengikut bentuk muka agar penampilan tampak manis dan anggun.

Berikut panduan daripada Raudhahshawlstore bagi mengelak wajah tampak janggal dan tidak selesa dengan selendang digayakan.

Bentuk wajah bujur

Wanita yang memiliki bentuk muka sebegini sangat bertuah kerana hampir semua jenis selendang sesuai dengan wajah mereka.

Mereka bebas memilih jenis tudung atau selendang diinginkan untuk penampilan menarik.

Bentuk wajah bulat

Mereka yang berwajah bulat atau tembam biasanya berisi di bahagian pipi. Berhati-hati dalam memilih tudung dan cara lilitan selendang.

Jika memilih tudung sengkuap, pastikan jahitan sengkuap panjang sehingga hampir ke tulang rahang pipi. Tudung dengan sengkuap pendek tidak sesuai dipakai kerana akan menonjolkan lagi pipi yang tembam.

Jika mahu menggayakan selendang, pastikan ia tidak dipakai terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk wajah bulat dengan jelas.

Sebaiknya, pakai sedikit longgar dan lipat bahagian bawah tudung berdekatan tulang rahang pipi supaya bentuk wajah tampak bujur. Bentukkan sedikit bahagian atas selendang dan pastikan ia tidak melekap pada dahi.

Bentuk wajah panjang

Jika bijak menyembunyikan kelemahan bentuk wajah ini, ada yang akan menyangka kita memiliki wajah bujur.

Bentuk wajah yang panjang boleh ditutup dengan memberi fokus pada bahagian atas tudung. Bahagian atas tudung memainkan peranan penting bagi menukar bentuk wajah panjang menjadi seperti bujur.

Cara paling mudah adalah dengan memakai tudung bahagian dalam atau jenis tudung yang melekap dan menutup dahi supaya bahagian berkenaan tidak kelihatan terlalu luas.

Pastikan tidak menutup bahagian pipi dengan penuh kerana ia memainkan peranan penting untuk membuat ilusi wajah tidak terlalu panjang.

Tarik sedikit tudung ke belakang hingga di bawah tulang rahang pipi. Tonjolkan tulang rahang pipi untuk membantu menyembunyikan bentuk sebenar wajah.

Bentuk wajah bersegi

Mereka yang memiliki bentuk wajah bersegi biasanya menonjolkan bahagian pangkal rahang dan tulang rahang yang lebih lebar manakala kawasan dagu tampak rata.

Elak memakai selendang yang menampilkan dahi luas seperti selendang ala serban kerana kawasan tulang rahang yang bersegi akan jelas kelihatan.

Mereka disarankan untuk memakai selendang kerana cara ini mampu menyembunyikan bentuk rahang yang bersegi.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,801 views