Seminar Kongsi Pengalaman Antara Negara

KITA tidak boleh meneka bila bencana akan menimpa, daripada bencana kecil sehinggalah ke bencana besar. Namun, kecil dan besar bencana bukanlah ukuran kerana setiap bencana perlu dilalui dan apabila menimpa, kita tidak boleh lari daripadanya.

Ada bencana alam yang boleh diagak cuma kita tidak tahu bila ia akan berlaku, contohnya tsunami. Tsunami pernah melanda Malaysia dan dijangka akan datang lagi pada tarikh yang tidak diketahui. Sebab itu, persediaan menghadapi tsunami terutama di kawasan pantai perlu dilakukan, begitu juga latihan amaran mengenainya. Begitu juga banjir, kita boleh mengagak ia akan berlaku jika hujan lebat berterusan turun tanpa henti.

Cara persediaan menempuh bencana tentu saja berdasarkan pengalaman lalu, digabung dengan pengalaman yang dilalui negara lain. Berbanding sebuah tempat yang tidak pernah menghadapi banjir, mereka akan kehilangan punca apabila ia berlaku tanpa disangka. Sebab itu, persediaan dan pengetahuan mengenai bencana amat penting.

Ramai yang memandang keperluan mempunyai persediaan sebelum bencana tidak sepenting mana iaitu apabila bencana berlaku, barulah kita mengatasinya.

Sebenarnya, persediaan menghadapi bencana akan membuatkan masyarakat lebih bersedia sebelum dan selepas bencana itu sendiri. Selalu orang menyangka bencana hanya membuatkan kita kehilangan harta benda, tetapi sebenarnya ia membuahkan akibat yang lebih besar iaitu daripada segi kehidupan seseorang secara keseluruhannya terutama jika ia membabitkan kematian juga perubahan hidup dan kerjaya.

Bagaimana menghadapi perubahan hidup selepas bencana? Daripada segi pembangunan negara, ia tentu saja mengalami kerugian ekonomi yang besar dan memerlukan persediaan supaya dapat bangkit kembali. Pendek kata, bencana bukan terkena pada orang di tempat itu saja, tetapi radius tempiasnya adalah besar.

Menyertai Seminar Persediaan Menghadapi Bencana anjuran Institut Pembangunan Wanita NAM (NIEW) di Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis mendapat begitu banyak pengetahuan baru dalam penyelenggaraan bencana yang dilakukan di Malaysia.

Begitu banyak pihak yang terbabit dan daripada situ, menyedari segala-galanya berfungsi jika perancangan terancang dibuat, begitu juga komunikasi yang baik antara semua pihak.

Seminar berkenaan menyasarkan penyertaan daripada semua peserta di bidang persediaan kecemasan seperti polis, tentera, bidang perubatan sehinggalah ke semua peringkat sama ada jabatan pelajaran, kesihatan dan sukarelawan.

Selain mendapat informasi, peserta perlu aktif menyebarkan pengetahuan yang didapati itu supaya kesedaran masyarakat mengenai persediaan menghadapi bencana semakin meningkat.

Penolong Pengarah, NIEW, Vinnilaa Aurumugam, berkata NIEW memang aktif dalam mengadakan pelbagai seminar kesedaran dan pembangunan wanita NAM sama ada untuk rakyat tempatan dan membabitkan penyertaan wakil peserta antarabangsa.

Nampaknya ia bertepatan dengan misinya yang mahu mendidik masyarakat dan wanita khususnya supaya membangun dan berjaya di dunia yang serba mencabar ini.

Seminar kali ini menampilkan penyertaan dari Brunei, Iran, Kenya, Myanmar, Emiriah Arab Bersatu dan Malaysia sendiri. Pembentang pula melakukan pembentangan daripada sudut yang sesuai dengan persediaan menghadapi bencana seperti Jabatan Kecemasan Hospital, Farmasi, Saliran, Bomba, Pemetaan, Satelit serta penyelenggara dan pengawalan hakisan pantai.

Semua ini perlu diambil kira demi pencegahan dan mengurangkan kesan daripada bencana itu sekiranya terjadi.

“Seminar ini sebagai perkongsian negara terbabit, bagaimana Malaysia mengambil langkah bersedia dalam semua sudut dalam memastikan persediaan menghadapi bencana. Walaupun bencana berat seperti gempa bumi tidak melanda Malaysia, sebenarnya kategori bencana amat luas.

“Seminar ini juga untuk memberi persediaan kepada wanita. Kita semua sedar, jika berlaku bencana, wanita selalunya tidak memikirkan dirinya saja ketika menyelamatkan nyawa.

“Wanita akan berfikir mengenai keluarga dan orang terdekatnya dahulu, baharu mereka menyelamatkan diri. Begitu juga selepas bencana, wanita tanpa mengira masa menjadi orang yang menolong di semua sudut,” tegas Vinnilaa.

Katanya, NIEW sentiasa aktif menganjurkan seminar pembangunan wanita sepanjang tahun di Malaysia. Bagi peringkat yang membabitkan penyertaan antarabangsa, ia diadakan sebanyak empat kali setahun.

Apa kata peserta?

ANUM Faizura Mohd Hizam, 27, rasa bertuah kerana terpilih menyertai seminar berkenaan. Baginya yang baru setahun bekerja sebagai Penguasa Bomba, Bahagian Keselamatan Kebakaran, Cawangan Kesedaran Keselamatan Awam di Putrajaya, peluang menambah pengetahuan bertepatan sekali dengan bidang kerjayanya sekarang.

Berasal dari Hutan Melintang, Perak, anak ketiga daripada sembilan beradik ini teruja kerana dapat menyertai seminar yang turut disertai rakan antarabangsa.

“Memang saya seronok dan teruja untuk menyertai seminar lima hari ini dan ini seminar yang pertama sejak setahun bekerja sebaik tamat belajar,” katanya.

Peluang berbincang dengan wakil dari luar negara, Anum Faizura dapat berkongsi dan mendengar pengalaman negara lain dalam persediaan menghadapi bencana.

“Banyak pengetahuan dan pengalaman baru yang dapat saya kumpul di seminar ini.
Antara kertas kerja yang paling menarik bagi saya ialah pembentangan Dr Alzamani Mohammad Idrose mengenai persediaan jabatan kecemasan di hospital dalam menghadapi bencana di negara kita.

“Setelah mengikuti seminar ini, saya semakin jelas betapa kita perlu sentiasa bersedia menghadapi bencana supaya dapat mengurangkan kematian dan kerosakan.
Persediaan menghadapi bencana sangat penting walaupun kita tidak tahu bila tarikh ia akan berlaku.

“Melalui seminar ini juga saya melihat betapa ia memerlukan perancangan yang teliti daripada semua pihak terbabit dan bidang komunikasi yang amat penting sekali,” katanya.

Anum Faizura mengakui kesedaran masyarakat dalam persediaan menghadapi bencana tidak besar dan menyeluruh, mungkin kerana bencana di Malaysia tidak berlaku sekerap negara lain.

“Tetapi kita kena bersedia dan nampaknya pihak berkuasa banyak mengambil iktibar daripada keadaan bencana yang pernah berlaku sebagai pengajaran dan persediaan,” katanya.

Pensyarah di Politeknik Ungku Omar, Saripah Salwa Sapani, berkata walaupun berpengalaman kerja selama enam tahun di bidang kejuruteraan sivil, antara mata pelajaran lain yang perlu diajarnya adalah mengenai keselamatan yang merangkumi persediaan menghadapi bahaya dan bencana.

“Seminar ini sangat bertepatan dengan kerjaya saya dan kertas kerja pembentang dari New Zealand, Karen Stephens sangat menarik minat saya kerana ia menerangkan mengenai pengenalan bahaya dan bencana serta impaknya,” katanya.

Farah Asindua Salwa, 34, bertugas sebagai Pembantu Setiausaha di Kementerian Negeri untuk program khas yang menyelenggara bencana di Kenya.

Berkhidmat di jabatan itu sejak 2007, Farah, ibu kepada dua anak bukan hanya gembira dengan peluang menyertai seminar ini tetapi juga dapat mengunjungi Malaysia buat kali pertama.

“Saya gembira berpeluang menghadiri seminar ini dan menyukai semua kertas kerja yang dibentangkan kerana semuanya sangat penting dan berguna untuk mengawal bencana yang bakal menimpa.

“Di Kenya, kami ada mengalami gegaran gempa walaupun tidak terlalu kerap.
Bencana biasa yang kami hadapi ialah kemarau, banjir dan bangunan runtuh kerana kesilapan pembinaan, tanah runtuh dan serangan pengganas,” katanya.

Dapat berkongsi cara Malaysia menyediakan diri menghadapi bencana adalah proses pembelajaran bagi Farah. Contoh kes yang dibentangkan juga sangat membuka matanya.

“Hari terakhir saya seronok kerana diberi peluang melawat Balai Bomba dan Penyelamat di Taman Desa, Jalan Klang Lama. Dapat melihat peralatan canggih yang dimiliki Malaysia, semuanya terkini berbanding di Kenya,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,772 views